Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Rumah Ronald McDonald Ketiga di Hospital Tunku Azizah, Catat 4,000 Keluarga Sejak Beroperasi
Diterbitkan:  Feb 26, 2025 12:21 PM
Dikemaskini: Mar 2, 2025 6:59 AM

Bayangkan perlu berjaga malam di hospital, menempuh perjalanan jauh setiap hari, dan memikirkan kos penginapan—semuanya demi memastikan anak yang sakit mendapat rawatan terbaik.

Di Rumah Ronald McDonald (RMH), pelbagai kemudahan disediakan untuk keluarga yang memerlukan, khususnya mereka yang mempunyai anak yang sedang menjalani rawatan perubatan.

Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Tunku Azizah (HTA) terima 4,000 keluarga sejak 2021
Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) baru-baru ini mengadakan Majlis Perasmian Rumah Ronald McDonald (RMH) Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur sempena meraikan pencapaian empat tahunnya sejak beroperasi di hospital berkenaan.

Fasiliti kediaman sementara ketiga milik RMHC Malaysia itu dirasmikan oleh Abdulrahman Alireza, pemegang saham McDonald’s Malaysia dari Kumpulan Reza, Arab Saudi bersama Dato’ Haji Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia dan Dr Shamsul Anuar, Pengarah Hospital Tunku Azizah. RMHC Malaysia merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia dan telah menjalankan kerjasama dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Menurut Dato’ Haji Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia, “RMH-HTA adalah sebuah fasiliti strategik di pusat perubatan kanak-kanak ibu kota yang memberikan kemudahan kepada keluarga dari seluruh negara untuk sentiasa dekat dengan anak mereka dalam persekitaran yang selesa dan pada harga berpatutan. Kami menerima kunjungan yang sangat menggalakkan, yang mana kira-kira 4,000 keluarga telah menetap di sini sejak fasiliti ini mula beroperasi. Perasmian ini bukan sahaja meraikan pencapaian RMH-HTA tetapi juga menghargai dedikasi doktor dan staf perubatan HTA dalam memberikan rawatan terbaik kepada kanak-kanak.

”Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin berkata RMH berkonsepkan
home away from home, ia direka khas untuk memberi keselesaan kepada keluarga dengan kemudahan lengkap seperti bilik keluarga, dapur, dobi, surau dan ruang permainan kanak-kanak.

RMH-HTA, yang dibuka pada 2021 ketika negara berdepan wabak COVID-19, terletak di tingkat 10 kompleks parkir HTA dan dilengkapi 20 bilik keluarga yang mampu menampung hingga 80 penghuni.

Abdulrahman Alireza Sumbang RM100,000 untuk RMHC Malaysia

Dalam majlis yang sama, Abdulrahman Alireza turut mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada RMHC Malaysia, khusus bagi menyokong operasi kesemua RMH di seluruh Malaysia. Sumbangan ini bertujuan menambah baik fasiliti dan operasi RMH agar dapat memastikan lebih ramai keluarga menikmati kemudahan penginapan yang selesa semasa anak mereka sedang menerima rawatan di hospital.

Antara lokasi RMH yang lain ialah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) yang ditubuhkan pada 1999; Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada 2019; dan Hospital Wanita & Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) pada 2023. 

Dalam pada itu, RMHC Malaysia turut merancang untuk membuka fasiliti RMH kelima di Hospital Umum Sarawak menjelang 2026 sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memastikan akses kesihatan kepada kanak-kanak yang lebih baik di seluruh Malaysia.

Layari https://rmhc-malaysia.my/ untuk maklumat lanjut. 


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS