Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Malaysia dan UAE meterai MOU Kerjasama Pertahanan, perluas skop kerjasama pertahanan

Malaysia melalui Kementerian Pertahanan memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) Kerjasama Pertahanan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam, yang bertujuan meluaskan skop kerjasama pertahanan secara lebih menyeluruh.

Pemeteraian itu dilaksanakan ketika lawatan kerja Menteri Pertahanan (MENHAN), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke negara timur tengah itu bagi memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.

Mohamed Khaled dalam sebuah kenyataan berkata, usaha itu selari dengan aspirasi kedua-dua negara untuk mewujudkan diplomasi pertahanan yang lebih erat, moden dan berpandangan jauh, bukan sahaja tertumpu kepada aspek ketenteraan. 

Menurut beliau, MOU itu mencerminkan komitmen Malaysia dan UAE dalam menggalakkan penyelidikan pertahanan bersama, meneroka pengeluaran produk pertahanan dan membangunkan keupayaan baharu yang memberi manfaat timbal balik.

Menteri Pertahanan (MENHAN), Datuk Seri Mohamed Khaled dan Menteri bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE, TYT Mohamed Bin Mubarak Fadhel Al Mazrouei ketika menandatangani MOU Kerjasama Pertahanan

“MOU ini juga bakal menjadi jambatan penting bagi memulakan libat urus industri dengan segera, khususnya dalam mengenal pasti bidang tumpuan bersama dan potensi projek berimpak tinggi yang boleh dikomersialkan demi memperkukuh ekosistem industri pertahanan di kedua-dua negara.

“Malaysia dan UAE turut komited dalam meningkatkan koordinasi latihan ketenteraan dan perkongsian kepakaran, termasuk inisiatif latihan bersama yang memperkukuh kesiapsiagaan, interoperabiliti dan keupayaan angkatan kedua-dua negara.

“Diharapkan MOU ini akan membuka lembaran baharu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE yang lebih kukuh, saling melengkapi dan berpaksikan keamanan serta kestabilan serantau dan sejagat,” katanya. 

Pemeteraian MOU itu diadakan ketika pertemuan dua hala antara MENHAN dan Menteri bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE, TYT Mohamed Mubarak Fadhel Al Mazrouei di Kementerian Pertahanan UAE, Abu Dhabi.

Pertemuan Mohamed Khaled dengan TYT Mohamed membawa tujuan yang melebihi aspek ketenteraan

Sepanjang pertemuan itu, MENHAN berkata beliau turut berpeluang menjelaskan keupayaan Malaysia dalam bidang semikonduktor dan komponen aeroangkasa yang berpotensi menyokong rantaian bekalan produk pertahanan EDGE Group, sebuah konglomerat teknologi dan pertahanan milik Kerajaan UAE,  pada masa hadapan.

Tambah beliau, Malaysia juga mencadangkan kolaborasi latihan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kapal kelas Gowind milik UAE sebagai sebahagian daripada persiapan tentera negara mengoperasikan kapal LCS Malaysia yang berlandaskan teknologi sama. 

Menurut MENHAN, cadangan itu disambut baik oleh pihak UAE dan akan diteliti dengan lebih lanjut dari segi bentuk keperluan latihan bersesuaian.

“Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas jemputan dan layan mesra pihak UAE, selain menekankan kepentingan untuk terus mengukuhkan kerjasama pertahanan secara konsisten, selari dengan hubungan ekonomi dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan UAE.

“Dalam pertemuan tersebut, pihak UAE mengiktiraf hubungan akrab Malaysia-UAE dan mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan EDGE Group.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk terus memperkukuh perkongsian maklumat, pembangunan modal insan, kerjasama pertahanan serta pembangunan inisiatif baharu yang membawa manfaat bersama,” katanya. 

Di kesempatan itu, beliau menitipkan harapan agar usaha-usaha tersebut menyumbang kepada pengukuhan keselamatan dan keamanan serantau dan sejagat, di samping mengeratkan hubungan dua hala Malaysia-UAE, khususnya dalam bidang pertahanan. 

Mohamed Khaled bersama TYT Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin serta seluruh warga Kedutaan Besar Malaysia di UAE, Abu Dhabi

Menghampiri penghujung lawatan, Mohamed Khaled berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di UAE, Abu Dhabi dan disambut oleh Duta Besar, TYT Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin serta seluruh warga kedutaan.

Beliau menzahirkan penghargaan atas komitmen yang dipamerkan dalam memperkukuh hubungan Malaysia-UAE, termasuk aspek pertahanan yang sangat penting kepada kedua-dua negara selain memastikan kepentingan rakyat Malaysia di UAE sentiasa terpelihara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS