Inflasi perubatan merupakan cabaran global yang turut dihadapi oleh Malaysia, namun jika tidak ditangani dengan berhati-hati, harga premium insurans akan terus melonjak sehingga pemegang polisi tidak mampu lagi membayar dan menjejaskan akses kepada perlindungan kesihatan mereka, kata pakar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Monash University Malaysia, Datuk Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman, isu kenaikan harga premium insurans dan takaful itu menjadi pencetus pembentukan strategi RESET dan produk asas MHIT oleh kerajaan.

Beliau menjelaskan bahawa antara punca peningkatan harga premium perkhidmatan itu adalah penambahan jumlah tuntutan yang melebihi jumlah kutipan caruman insurans dan takaful oleh pemegang polisi. 

“Peningkatan tuntutan insurans dan takaful ini adalah berdasarkan tiga sebab utama iaitu kenaikan jumlah pesakit kronik, populasi negara semakin menua dan kecanggihan teknologi hari ini yang boleh merawat lebih banyak penyakit kompleks”.

“Rawatan bagi pesakit kronik, warga emas yang kini lebih kerap menghidap penyakit dan pesakit dengan masalah kesihatan yang rumit, sudah tentu menelan kos yang tinggi memandangkan mereka memerlukan penjagaan khusus dan terperinci,” katanya. 

Berdasarkan laporan dari AON Global Medical Trend Rates Report, inflasi perubatan negara mencapai 15 peratus iaitu sebuah jumlah yang lebih tinggi daripada purata global dan Asia Pasifik.

Data yang dimuat naik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2024 (sumber: Laporan Tahunan 2024, BNM)

Pada masa sama, laporan tahunan 2024 Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan peningkatan jumlah kutipan premium sebanyak 21 peratus yang tidak setanding dengan peningkatan jumlah tuntutan sebanyak 73 peratus dari tahun 2021 hingga 2023. 

Lebih merunsingkan, laporan itu turut menunjukkan kekerapan tuntutan meningkat lebih dua kali ganda antara tahun 2018 hingga 2023.

Harga premium dilaraskan bagi menampung jumlah tuntutan pemegang polisi

Dalam satu siaran akhbar pada Disember 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan penyedia perkhidmatan insurans dan takaful (ITO) terpaksa melaraskan premium produk Insurans atau Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) disebabkan peningkatan kos rawatan dan pembayaran tuntutan oleh pemegang polisi. 

Ini untuk memastikan operasi mereka kekal mampan, tuntutan boleh terus dibayar dan produk terus boleh ditawarkan dalam jangka masa panjang, sekali gus membolehkan perlindungan berterusan diberikan kepada rakyat.

BNM juga menjelaskan bahawa ITO tidak dibenarkan untuk menaikkan harga premium mereka untuk meningkatkan keuntungan syarikat semata-mata. 

“ITO ialah sebuah perniagaan dan seperti perniagaan-perniagaan lain, mereka perlu menghasilkan keuntungan kerana mereka mempunyai pemegang taruh yang melabur ke dalam syarikat mereka dan kos-kos operasi harian.

“Secara  objektif, saya tidak mengatakan ini adalah betul atau salah tetapi ini adalah fakta yang perlu kita fahami kerana syarikat insurans juga adalah seperti syarikat lain,” jelasnya. 

Strategi RESET adalah rancangan jangka masa panjang bagi mengatasi inflasi perubatan

Adeeba menegaskan bahawa inflasi perubatan merupakan sebuah cabaran yang kompleks dan memerlukan kerjasama antara pelbagai pihak melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-nation).

Kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama untuk menangani inflasi kos perubatan serta memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia. 

Usaha ini bertujuan untuk memastikan aksesibiliti dan kemampanan sistem penjagaan kesihatan, dengan penekanan kepada pencapaian keseluruhan hasil kesihatan pesakit yang lebih baik.

Adeeba menjelaskan, RESET merangkumi lima teras strategik bertujuan untuk menangani cabaran dalam sistem penjagaan kesihatan swasta di Malaysia, melalui pelaksanaan 11 inisiatif utama.

Beliau berkata, lima teras itu termasuk menyusun semula penawaran produk MHIT, meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh sistem kesihatan digital, memperluas pilihan yang menjimatkan kos dan mengubah mekanisme pembayaran kesihatan.

Menurutnya, RESET menekankan penjagaan kesihatan berasaskan nilai, dengan memberi fokus kepada hasil keseluruhan pesakit, mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang kos efektif, dan meningkatkan akses kepada penjagaan berkualiti.

Strategi RESET meliputi pelbagai aspek dalam sistem kesihatan Malaysia bagi memastikan masa depan sektor itu terjamin untuk kesejahteraan rakyat (sumber: Laporan Tahunan 2024, BNM)

“Antara cabaran utama dalam sistem penjagaan kesihatan di Malaysia sekarang adalah penggunaan perkhidmatan kesihatan swasta secara berlebihan apabila reka bentuk produk MHIT berkembang menjadi lebih komprehensif hasil persaingan antara ITO.

“Sebagai contoh, had manfaat yang tinggi oleh pemegang polisi mendorong penggunaan dan pengenaan caj yang tinggi bagi perkhidmatan kesihatan,” katanya. 

Cabaran lain termasuklah pendedahan harga perubatan yang kurang telus, penggunaan penjagaan yang lebih kos efektif seperti penjagaan pesakit luar yang masih terhad, serta model pembayaran fee-for-service di sektor swasta yang mendorong kepada rawatan berlebihan dan tidak mampan. 

Sehubungan itu, kerajaan di bawah inisiatif RESET sedang membangunkan produk asas MHIT yang seragam bagi menyediakan perlindungan lebih mampu milik dan mampan dalam jangka panjang agar rakyat Malaysia terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan apabila diperlukan. 

Produk MHIT bakal jadi teras industri insuran dan takaful, pastikan tiada lapisan masyarakat tercicir

Adeeba berkata, produk perlindungan asas MHIT yang bersifat sukarela itu akan menyusun semula pasaran insurans dengan menjadikan produk asas MHIT sebagai rujukan bagi ITO serta melengkapkan sistem perkhidmatan kesihatan awam dengan lebih baik.

“Produk asas MHIT itu akan berfungsi sebagai lapisan teras yang seragam dan ditawarkan oleh semua ITO yang menjalankan perniagaan MHIT. 

“Oleh itu, pembangunan produk asas MHIT ini akan membuka jalan kepada pembaharuan sistem penjagaan kesihatan negara yang lebih bersepadu dan mampan demi kesejahteraan pesakit,” katanya.

Produk MHIT keluaran kerajaan adalah rancangan jangka panjang negara dalam memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses kepada fasiliti kesihatan berkualiti.

Jelasnya, produk itu menawarkan perlindungan kesihatan asas bagi pengguna yang berkemampuan termasuk golongan kelas pertengahan (M40) serta perlindungan tambahan bagi golongan yang memerlukan melalui produk MHIT tambah atau base plus.

Tambah Adeeba, pemegang polisi boleh menjangkakan produk itu dilancarkan  di pasaran pada awal tahun 2027 bagi memenuhi keperluan perlindungan kesihatan yang berbeza.

Katanya, apabila produk perlindungan asas itu diseragamkan, pengumpulan risiko yang lebih luas bagi pemegang-pemegang polisi dan langkah pengawalan kos lebih mudah untuk dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Monash University Malaysia, Datuk Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman

Seperti yang diumumkan oleh kerajaan, pemegang polisi produk MHIT asas boleh membayar menggunakan apa-apa sumber kewangan milik mereka termasuk simpanan Akaun Sejahtera KWSP. 

Namun, pemegang polisi memiliki kuasa untuk memilih secara sukarela, di mana penggunaan dana Akaun Sejahtera  KWSP pemegang polisi hanya salah satu daripada beberapa kaedah pembayaran. 

DRG, insentif cukai antara inisiatif tarik penyertaan rakyat dalam skim produk MHIT asas

Terdapat beberapa pihak juga berpendapat bahawa pembangunan produk MHIT asas mungkin mengundang penyertaan yang rendah disebabkan sifatnya yang sukarela dan tiada subsidi kerajaan atau mandat untuk meluaskan kumpulan risiko. 

Beliau berkata, usul sedang dibangunkan untuk menyelaraskan semula atau memperluaskan insentif cukai sedia ada bagi menggalakkan penyertaan. 

Mekanisme lain, termasuk model pengedaran untuk menggalakkan penyertaan, terutama bagi golongan muda, juga sedang dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada reka bentuk produk asas. Ini penting bagi meningkatkan kemampanan jangka panjang.

Menurut Adeeba, DRG menjadi salah satu reka bentuk produk MHIT asas. 

“Salah satu komponen reka bentuk utama bagi produk asas MHIT ialah model pembayaran penjagaan kesihatan yang lebih kos efektif, di mana ia akan meneroka model pembayaran penjagaan kesihatan berdasarkan DRG (Diagnosis-Related Groups).

“DRG atau Diagnosis-Related-Group adalah sistem klasifikasi pesakit berdasarkan diagnosis, prosedur, ciri pesakit untuk menetapkan bayaran tetap bagi siri rawatan seterusnya merentas hospital dan fasiliti kesihatan.

“Akan tetapi, beberapa pihak berkepentingan menyorot bahawa laluan undang-undang masih tidak jelas untuk melaksanakan DRG”, katanya. 

Beliau berkata, hospital swasta dan syarikat insurans akan secara beransur-ansur beralih daripada pembayaran fee-for-service kepada pembayaran berasaskan DRG, yang akan diperkenalkan bersama dengan pelancaran produk asas MHIT. 

Menurut Kementerian Kesihatan, proses pemindaan Akta Fasiliti dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 untuk menambah baik pengumpulan data bagi menyokong pelaksanaan pembayaran berdasarkan DRG secara berfasa sedang dijalankan. 

“Perbincangan dengan hospital swasta dan penyedia perkhidmatan kesihatan mengenai perkara ini sedang berlangsung, termasuk perincian berkaitan pengumpulan data serta pengenalan pembayaran DRG secara berfasa. 

“Hospital swasta juga bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam penyerahan data tersebut - dimulakan dengan rancangan agar hospital-hospital besar secara sukarela menyediakan data kepada KKM  pada separuh pertama 2026 sambil menunggu pindaan undang-undang berkuatkuasa,” katanya

Inflasi perubatan perlukan pendekatan whole-of-nation untuk ditangani bersama

Adeeba mengulas bahawa penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan terhadap cabaran semasa tidak boleh bergantung kepada satu pihak sahaja. 

Katanya, semua pihak mempunyai peranan masing-masing dalam menjayakan pembaharuan sistem kesihatan, tanpa perlu menuding jari kepada pihak yang lain. 

“Adalah penting untuk diperhatikan bahawa melalui RESET, penggubal dasar komited untuk menyelaras dan berunding secara meluas, terutamanya untuk mengimbangi perkara yang tidak dapat dielakkan. 

“Antaranya, terdapat kos jangka pendek (contohnya, apabila meningkatkan sistem dan amalan) demi manfaat jangka panjang (akses yang lebih adil dan mampu milik). 

“Tidak semua orang mungkin mendapat apa yang mereka inginkan atau harapkan, tetapi sistem sekarang perlu berada pada tahap yang lebih baik,” katanya.

Adeeba juga menekankan pentingnya usaha kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan sektor kesihatan yang lebih meluas. 

“Kerajaan juga perlu memperkasakan sistem kesihatan awam, termasuk untuk membangunkan skim insuran kesihatan nasional atau sosial. 

“Produk perlindungan asas akan menyediakan perlindungan mampu milik bagi individu yang berkemampuan, contohnya golongan M40  dan ke atas, untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan swasta. 

“Tetapi masih ada keperluan besar untuk melabur dalam fasiliti dan tenaga kerja kesihatan awam untuk semua, termasuk golongan B40”, katanya.