Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan lima langkah yang akan diambil bagi menjamin sekuriti makanan negara.

Berkaitan sekuriti makanan, mesyuarat bersetuju untuk memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input.

Pengenalan harga siling bergerak itu juga seiring perancangan bantuan terus secara bersasar kepada golongan memerlukan seperti diumumkan sebelum ini.

Katanya lagi, ekosistem agromakanan akan diperluaskan dengan rantaian bekalan diterajui secara koordinasi oleh syarikat pelaburan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.

“Sebagai contoh bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada pembekal anak ayam, ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya”.

Kurangkan kebergantungan import makanan

Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga akan dipertingkatkan dalam usaha meningkatkan keluasan tanah bagi kegunaan pertanian. Ini untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam masa terdekat.“

Kerjasama awam dan swasta akan memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalakkan pertanian pintar dalam meningkatkan hasil pertanian. Inisiatif ini akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah antara keputusan yang dicapai hasil mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), dan menurutnya mesyuarat itu membincangkan tiga perkara utama yang berhubung kait dengan sekuriti makanan, memudahkan urusan perniagaan di Malaysia, serta menangani tenaga mahir dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran

Ismail Sabri berkata, kerajaan turut akan memastikan hasil pertanian mempunyai pasaran seperti ladang kontrak di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah untuk memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran.

Kerajaan, melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), akan terus berusaha untuk memodenkan peraturan-peraturan berkaitan perniagaan bagi melonjak produktiviti dan daya saing negara. Mesyuarat telah bersetuju untuk memperkukuhkan pelaksanaan MyMudah di semua Kementerian, Agensi Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Persatuan Perniagaan.

Mesyuarat bersetuju merancakkan lagi program uji kaji peraturan yang dikelola oleh Unit-Unit MyMudah dengan sasaran penyelesaian isu dalam tempoh 60 hari berbanding dengan 6 hingga 12 bulan sebelum ini.

Kerajaan berkomited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik bagi mendepani cabaran global untuk menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.