Kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan kaum wanita yang telah banyak berjasa terhadap arus pembangunan negara, dan mereka bukan sahaja perlu dihormati tetapi wajar diberikan pengiktirafan.

Bajet 2023 iktiraf peranan wanita segenap lapisan

Pelbagai inisiatif dan keistimewaan diberikan kepada wanita menerusi Bajet 2023 yang membuktikan kerajaan mengiktiraf peranan setiap golongan kaum wanita.

Salah satu inisiatif tersebut adalah pengecualian cukai pendapatan dari 2023 hingga 2028 akan diberikan kepada wanita kembali bekerja selain memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita, mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Selain itu, para ibu daripada isi rumah yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada 2023 akan menerima bantuan tunai secara one off sebanyak RM500 di bawah program CahayaMata Keluarga Malaysia.

Kerajaan juga memperuntukkan RM11 juta untuk Subsidi Ujian Mamogram dan Saringan Kanser Servik. Pelaksanaan saringan kanser serviks menggunakan kaedah baharu ujian saringan PCR. Berikutan itu, RM235 juta diperuntukkan untuk dana pembiayaan khas wanita seperti Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, Dananita MARA, Bizlady Bank Rakyat.

“Melalui subsidi ujian mamogram dan saringan kanser servik yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, lebih ramai wanita akan mampu membuat ujian ini,” kata Dania, penerbit acara.

Vani, 42, berkata inisiatif kerajaan dalam mempertingkat bilangan wanita yang layak menjadi ahli lembaga pengarah akan memberi lebih ramai golongan wanita motivasi untuk menceburi bidang kerjaya mereka.

Selain memastikan wanita mendapat peluang dan ruang, pemerkasaan akan terus menjadi salah satu agenda penting negara.

Penubuhan Majlis Wanita Negara (MWN)

Pertubuhan seperti Majlis Wanita Negara (MWN), Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara (JEWN) dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri (JKWNi) berperanan untuk memperkasa golongan wanita di peringkat persekutuan dan negeri.

Perwujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual (RUU)

Pada bulan Julai lepas, Rang Undang-undang Anti-Gangguan Seksual 2021 (AGS 2021)  telah diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Rakyat. Rang Undang-undang ini telah diluluskan untuk melindungi bukan sahaja golongan wanita, tetapi juga golongan lelaki daripada gangguan seksual.

Selain itu, kementerian turut menyediakan Perkhidmatan Talian Kasih 15999 sebagai platform penghubung antara kumpulan sasar dengan pihak kementerian bagi tujuan pertanyaan, aduan dan permohonan bantuan yang turut merangkumi aspek antara lain kaunseling, perlindungan dan kebajikan termasuk aduan gangguan seksual.

Akta Pembiayaan Kewangan diperkenalkan melalui Jabatan Kehakiman Sariah Malaysia Kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan di mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

Melalui inisiatif itu, pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan tuntutan nafkah wang ringgit di mahkamah.

Ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi digalakkan untuk membenarkan wanita yang kematian suami bekerja dari rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.