Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menghadiri Program Kenduri Rakyat bersama Komuniti Bandar Kemayan pada Ahad lalu. Beliau beramah mesra dengan masyarakat setempat yang hadir serta memaklumkan inisiatif yang akan beliau laksanakan. 

“Ceramah pun saya kurang, kita lebih kepada edar risalah tentang Bajet 2023 dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sejak saya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar selepas program kenduri di Bilik Gerakan Bandar Kemayan, Bera, Pahang.

Menurut beliau, inisiatif yang dikandung dalam risalah tersebut adalah inisiatif beliau sebelum ini dan juga inisiatif yang akan dilaksanakan untuk kepentingan rakyat, terutamanya rakyat luar bandar berdasarkan Bajet 2023 yang telah dibentangkan pada 7 Oktober lalu.

Menerusi pengumuman Bajet 2023, kerajaan telah memperuntukkan RM2.6 bilion untuk Felda, Felcra dan Risda sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi negara. Tambahan pula, peruntukan menaik taraf infrastruktur tanah perancangan juga dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM66,000 setahun.

Sambil mengulas inisiatif beliau kepada golongan Felda, beliau menekankan bahawan bantuan yang diberikan tidak terhad kepada peneroka Felda sahaja, malah, bantuan untuk generasi kedua akan dilaksanakan melalui pelbagai insentif yang diumumkan baru-baru ini. Ini turut membuktikan keprihatinan dan aspirasi beliau untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di Felda.

Antara inisiatif beliau adalah memberikan fokus kepada projek perumahan generasi baharu di mana peneroka Felda generasi kedua boleh memohon lot tanah untuk membina kediaman mereka sendiri. Sebanyak RM20 juta juga telah diperuntukkan oleh Felda menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan.

“Kerajaan juga melalui Bajet 2023 menyediakan skim jaminan kredit perumahan di mana sesiapa yang tidak mempunyai slip gaji masih boleh memohon pinjaman perumahan dan skim akan dijamin kerajaan,” katanya.

“Begitu juga pinjaman belia kepada generasi kedua untuk memulakan perniagaan, Felda menyediakan skim untuk pinjaman bagi usaha generasi kedua Felda ini dan mereka juga terbuka mohon skim lain seperti Agrobank dan sebagainya ataupun tawaran pinjaman daripada agensi-agensi Kerajaan,” tambahnya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulaskan bahawa fokus kepada generasi kedua Felda amat penting kerana ia dapat menjamin ekonomi dan pendapatan negara. Melalui pinjaman dan insentif yang disebutkan dapat meringankan beban mereka untuk memulakan perniagaan mereka sendiri.

Tambahan pula, isu perumahan juga antara fokus utama beliau kerana menurutnya, “ramai generasi kedua Felda yang masih tinggal bersama ibu bapa mereka. Suatu ketika dahulu kita fokus kepada pembinaan rumah tetapi disebabkan harga rumah yang terlalu mahal, ramai yang tidak mampu membelinya. Oleh itu, kita bertukar kepada pembelian lot tanah, ini adalah alternatif yang lebih murah dan mereka mampu membelinya daripada Felda”.