Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Pertahanan Negara Memerlukan Keutuhan Patriotisme Segenap Lapisan
Diterbitkan:  Jan 13, 2024 11:38 PM
Dikemaskini: 3:38 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) perlu menggembleng usaha dan menerajui proses penerapan semangat patriotisme serta jati diri dalam kalangan rakyat, terutama golongan muda.

Ia selari dengan beberapa agenda utama MINDEF yang menggariskan semangat patriotisme sebagai benteng pertahanan terbaik negara.

Berucap pada perutusan Tahun Baharu 2024, Selasa lalu, Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata cabang ‘non-combatant’ perlu diberi perhatian bagi melengkapkan spektrum pertahanan negara.

Beliau menjelaskan aspek pertahanan negara tidak hanya menjurus kepada ancaman luar, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Ini kerana, katanya, naratif dan slogan pertahanan negara adalah tanggungjawab bersama yang sekali gus memerlukan dasar mahupun inisiatif jelas bagi merealisasikan sasaran berkenaan.

Justeru, tegasnya, MINDEF tidak boleh hanya menjadi pihak pemerhati atau pelengkap agenda berkenaan, sebaliknya perlu melaksanakan usaha menyeluruh agar pemulihan semula semangat cintakan tanah air dapat disemai dan diamalkan semua lapisan masyarakat.

"Kementerian perlu memastikan keputusan kerajaan untuk mengembalikan dan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dijayakan dengan sebaiknya.

"MINDEF juga perlu mula meneliti secara mendalam dan segera, aspek penting seperti kesesuaian kumpulan sasar, keberkesanan modul latihan dan kepelbagaian cakupan pengisian.

"Semuanya perlu didefinisikan secara strategik dengan mengambil kira keperluan masa depan negara dan kedinamikan gaya hidup semasa. Negara hanya akan kekal terbela jika ia dihuni anak bangsa yang berani, terlatih dan bersedia untuk memberi yang terbaik kepada tanah air," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut menegaskan agar MINDEF dapat memastikan pelaksanaan PLKN sebagai serampang pelbagai mata, terutama bagi mendepani pelbagai cabaran semasa dan akan datang.

Beliau berkata, PLKN juga perlu dijadikan sebagai wahana memupuk perpaduan menerusi kepelbagaian kaum dan indentiti bangsa dirai serta diperkukuh, terutama dalam kalangan generasi muda.

Selain itu, katanya, PLKN juga perlu menjadi ruang dan peluang kepada MINDEF untuk menyemarakkan semangat jati diri berdasarkan acuan dan kaedah tersendiri, mengikut nilai kebangsaan yang dijunjung semua pihak.

"Program seperti ini (PLKN) juga akan meningkatkan kefahaman dan penghayatan mengenai Malaysia MADANI yang menjadi agenda utama negara.

"Pelaksanaannya antara lain berupaya menjadi antara pendekatan bagi meningkatkan minat serta keanggotaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelbagai skim, termasuk anggota simpanan," katanya.


Artikel ini dipetik daripada ucapan perutusan Tahun Baharu 2024, oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS