Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Bil pembetungan di Malaysia: Memahami apa yang anda bayar
Diterbitkan:  Dec 5, 2025 5:30 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Dalam kehidupan seharian, sebaik sahaja air kumbahan disalurkan keluar, sama ada selepas mengepam tandas atau dari singki dapur— ianya sering dilupakan. Apa yang tidak kelihatan, sering kali tidak diendahkan. Namun, pengurusan air sisa kumbahan adalah perkhidmatan yang sangat penting demi memastikan kesihatan awam, perlindungan alam sekitar dan sanitasi kekal terjaga.

Di Malaysia, tanggungjawab ini dipikul oleh syarikat pembetungan negara, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd. Meskipun memegang peranan penting, perkhidmatan pembetungan sering kali diambil mudah atau terus dilupakan. Ini mungkin berlaku kerana ramai tidak tahu apa akan berlaku selepas air kumbahan dipam atau keluar dari premis kediaman/perniagaan. 

Salah satu soalan yang paling kerap ditanya oleh pemilik premis ialah mengenai bil pembetungan. Bil ini sering menimbulkan persoalan seperti “Bayaran ini sebenarnya untuk apa? Bagaimanakah perkhidmatan ini dilaksanakan?”

Untuk memahami dengan lebih jelas, adalah penting untuk terlebih dahulu memahami jenis-jenis sistem pembetungan yang terdapat di Malaysia.

Jenis-jenis sistem pembetungan

Terdapat dua jenis sistem pembetungan utama: Sistem Pembetungan Bersambung dan Tangki Septik (Individu atau Komunal).

Sistem Bersambung merujuk kepada premis yang disambungkan ke rangkaian paip pembetungan awam. Air kumbahan dari premis ini disalurkan melalui paip pembetungan bawah tanah ke loji rawatan kumbahan awam yang dikendalikan IWK. Premis yang menggunakan sistem ini akan menerima bil pembetungan setiap enam bulan, yang merangkumi kos kutipan, rawatan dan penyelenggaraan infrastruktur.

Tangki Septik (Individu atau Komunal) pula digunakan oleh premis yang tidak bersambung ke sistem pembetungan awam. Premis ini bergantung kepada tangki septik individu atau komunal untuk menyimpan air sisa kumbahan secara sementara. Tangki ini perlu disedut secara berkala (sebaiknya setiap dua tahun) bagi mengelak limpahan dan pencemaran alam sekitar. Untuk premis jenis ini, IWK menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik melalui permohonan daripada pelanggan. Tiada bil berkala dikenakan kecuali apabila perkhidmatan dijalankan, dan bayaran sekali sahaja akan dikenakan bagi setiap perkhidmatan pengosongan tangki septik yang telah dibuat.

Fahami Apa yang Termasuk di dalam Pembayaran 

Bagi sistem pembetungan bersambung, caj yang dikenakan adalah mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006: Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Caj Perkhidmatan Pembetungan) 2022 dan (Pindaan) 2025. Caj yang dikenakan bagi perkhidmatan pembetungan adalah untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan infrastruktur pembetungan moden negara. Ini merangkumi pengoperasian dan penyelenggaraan 9,133 loji rawatan kumbahan serta stesen pam, dan lebih daripada 22,000 km rangkaian paip pembetungan bawah tanah untuk kegunaan kira-kira 32 juta penduduk setara (cPE). Pemantauan dan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar, serta kerja-kerja naik taraf dan pembaikan infrastruktur, turut menjadi antara peranan utama yang dilaksanakan.

Contoh bil IWK
Contoh bil IWK

Loji Rawatan Kumbahan (LRK) IWK beroperasi secara berterusan, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kerana proses rawatan air kumbahan adalah tugas yang berterusan. Memastikan semua peralatan berfungsi secara optimum melalui sistem pemantauan canggih adalah penting bagi mengurangkan sebarang gangguan operasi. Walaupun kebanyakan LRK dilengkapi sistem mekanikal dan automatik, ribuan pekerja masih diperlukan untuk mengurus dan menyelenggara keseluruhan sistem dengan berkesan.

Meskipun perkhidmatan pembetungan banyak beroperasi di sebalik tabir, kesannya sangat besar untuk mencegah pencemaran sungai, tanah dan sumber air oleh air sisa kumbahan yang tidak dirawat. Ini memberi kesan secara langsung bukan sahaja kepada alam sekitar, tetapi juga kepada kesihatan awam dan sistem sanitasi negara.

Mengapa Caj IWK Perlu Diselaraskan?

IWK mengekalkan struktur tarif yang sama selama hampir 28 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1994. Namun begitu, sepanjang tempoh tersebut, permintaan terhadap perkhidmatan pembetungan semakin meningkat dengan ketara. Syarikat telah mengambil alih lebih banyak loji rawatan serta berdepan dengan kenaikan kos operasi disamping perlu menguruskan jumlah air sisa kumbahan yang semakin bertambah—semuanya tanpa sebarang pelarasan caj sehinggalah baru-baru ini.

Caj pembetungan telah ditetapkan Kerajaan Malaysia berdasarkan prinsip kemampuan dan kesaksamaan bagi menyokong pengurusan pembetungan yang cekap. Struktur tarif telah disemak semula pada 1 Oktober 2022 bagi perkhidmatan pengosongan tangki septik, dan pada 1 Januari 2023 bagi perkhidmatan pembetungan bersambung. Maklumat lanjut boleh dirujuk dalam Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Caj Perkhidmatan Pembetungan) 2022 di sini dan (Pindaan) 2025 di sini.

Pelarasan tarif ini mencerminkan keperluan untuk mengekalkan dan menambah baik sistem pembetungan negara agar selaras dengan piawaian moden, mematuhi peraturan alam sekitar, serta menyokong pertumbuhan populasi yang semakin meningkat.

Untuk memahami dengan lebih jelas ke mana perginya kutipan bayaran bil IWK, berikut ialah pecahan kepada jumlah yang disalurkan:

IWK mengenakan caj kepada pelanggan di bawah kos sebenar bagi penyediaan perkhidmatan pembetungan. Purata kos penyelenggaraan bagi premis yang disambung ke sistem pembetungan berpusat adalah sekitar RM17 sebulan, manakala caj semasa hanya berada dalam lingkungan RM4.09 hingga RM12.32 sebulan, bergantung kepada kategori premis.

Perbezaan ketara antara caj semasa dan kos operasi sebenar juga jelas dalam perkhidmatan pengosongan tangki septik IWK, di mana pelanggan hanya dikenakan RM192 bagi setiap perkhidmatan, sedangkan kos sebenar adalah sekitar RM430 bagi setiap tangki septik individu—berdasarkan purata isipadu sedutan 1.7m³ dan kos seunit sebanyak RM263 setiap m³.

Perkhidmatan pembetungan mungkin sukar dilihat dalam kehidupan seharian, namun nilainya tidak boleh dipandang ringan. Caj yang dibayar kepada IWK dapat membantu usaha melindungi kesihatan, alam sekitar, serta memastikan komuniti kekal bersih dan selamat. Memahami peranan perkhidmatan pembetungan dan bagaimana sistem pengebilan dapat membantu menghargai usaha yang diperlukan dalam mengurus salah satu kemudahan awam terpenting bagi masyarakat di Malaysia.

Bayangkan pada masa depan, di mana IWK tidak lagi mampu beroperasi dengan cekap — loji rawatan kumbahan gagal berfungsi, sungai tercemar, risiko kesihatan meningkat, dan alam sekitar terjejas. Apakah akan terjadi kepada sumber air negara dan alam kita? Justeru, IWK sentiasa menghargai segala kerjasama dan sokongan pelanggan dalam menjelaskan bil perkhidmatan pembetungan anda. Sokongan yang anda beri hari ini dapat menjamin masa depan generasi akan datang.  


Kandungan ini disediakan oleh Indah Water Konsortium

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS