Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu ketika - agak lama juga - aku sedang melayari YouTube . Entah apa yang aku cari. Entah apa yang ingin aku layari. Mungkin pada malam itu aku sedang mencari dokumentari tentang ganja. Ini kerana aku pernah terbaca tentang kebaikan ganja untuk mengubati migrain.

Sebagai pengidap migrain aku memang amat tertarik dengan berita sedemikian. Atau aku sedang mencari dokumentari tentang War on Terror - kempen baru dari kuasa imperial Amerika. Atau aku sedang mencari dokumentari yang bertajuk Forbidden Sex In Saudi Arabia atau dokumentari Jihad For Love .

Secara jujur aku katakan di sini - secara tidak sengaja aku 'tersampai' kepada klip temubual seorang Minah. Loghatnya pekat telor Amerika. Mukanya cun dan kiut-miut. Minah ini seorang ahli

akademik dari universiti tersohor di Amerika. Kulitnya sawo matang - ada iras-iras Melayu. Cuma hidungnya mancung kalau tidak Minah ini pasti akan dianggap Minah Melayu.

Nama Minah ini ialah Irshad Manji. Lahir di Uganda. Ayahnya berasal dari India dan ibunya dari Mesir. Pada awal tahun 70-an dahulu - di zaman Presiden Idi Amin Dada - telah berlaku kacau-bilau dan huru-hara politik di Uganda.

Ramai pendatang asing dan kaum imigran telah dihalau dari Uganda. Maka keluarga Irshad telah melarikan diri ke Kanada. Ketika berpindah Irshad baru berumur 4 tahun. Sosok ini memang hebat. Dibentuk dari dua budaya tertua dalam tamadun dunia - Hindu dan Arab.

Mendapat didikan agama Islam dan sekular di Vancouver, Kanada. Pencapaian akademik Irshad cukup cemerlang. Semua maklumat ini aku dapati dari Lebai Google. Kalau salah Lebai Google maka salahlah aku.

Klip yang aku 'terserempak' dalam YouTube itu tidaklah menggemparkan. Si Irshad ini telah menulis sebuah buku bertajuk - The Trouble With Islam Today atau dalam bahasa Melayunya - 'Masalah Islam Hari Ini'. Klip yang aku tonton ini ialah ucapan si Irshad ketika mempromosi buku ini.

Wow! - The Trouble with Islam Today - pastilah satu tajuk buku yang menggemparkan. Dalam suasana kempen War On Terror , pastilah buku ini 'meletup'. Dalam strategi kuasa imperial Anglo-Amerika, musuh yang menjadi sasaran pada ketika ini ialah gerombolan fundamentalis Islam.

Kalau dahulu yang diserang ialah Soviet Union dan China kerana negara ini menjalankan dasar ekonomi sosialis, hari ini Amerika mengajak kaum kerabatnya melihat Islam sebagai musuh.

Justeru, ketika Irshad mengiklankan buku ini pastilah buku ini akan terjual seperti larisnya pelampong terjual dalam kapal Titanic . Tetapi dalam masa yang sama aku juga wajib jujur kerana aku belum lagi membaca buku ini. Jadi adalah tidak sopan - tidak bersifat intelektual - jika aku menulis tentang pekara yang aku belum baca.

Buku ini dikatakan telah diharamkan dari menemui pembaca macam aku ini di Malaysia. Kenapa buku ini diharamkan wallahhu'alam - tidaklah aku tahu sebab musababnya.

Kemudian aku terlupa akan klip YouTube tentang Irshad Manji ini. Aku tidak pula berusaha untuk menyeludupkan buku 'The Problems With Islam Today'. Aku berpendapat tanpa buku si Irshad ini, aku sendiri telah mengetahui banyak masalah yang sedang dihadapi oleh penganut agama di Malaysia ini.

Mustahil aku tidak menyedari tentang kisah-kisah keluarga berebut-rebut mayat. Tentang kubur-kubur digali kembali untuk melihat sama ada si mati ini bersunat atau tidak. Tentang perebutan

anak kerana si Ayah dari 'taniwalla' telah menjadi penganut yang soleh. Mustahil aku tidak mengetahui tentang Lina Joy. Malah aku juga tahu dan kenal kisah-kisah anak-anak muda yang dilamun cinta.

Tetapi cinta mereka terhalang kerana berlainan agama. Ada anak muda yang mengundurkan diri dari Malaysia kerana mahu berkahwin tetapi tidak mahu menukar agama. Ada anak muda yang lari dari Malaysia kerana ingin menukar agama.

Mustahil aku tidak menyedari tentang 'hukum sebat' yang dikenakan ke atas para penganut atas nama Islam. Mustahil aku tidak mengetahui bagaimana agama telah digunakan untuk menipu golongan miskin. Bagaimana agama telah digunakan untuk menghalalkan tanah orang kampung dirampas.

Bagaimana agama digunakan untuk menafikan hak warga dari ditipu dalam pilihan raya. Bagaimana salasilah budaya Melayu telah diroboh dan dirosak-punah atas nama agama.

Justeru, aku merasakan tidak perlu aku mencari buku yang telah diharamkan ini. Di hadapan mata aku ada bertaburan ayat-ayat yang belum disusun untuk dijadikan buku. Bertaburan naratif tentang kehidupan warga yang terseksa kerana agama. Bertaburan kisah absurd jika dipentaskan akan menandingi kerja teater Luigi Pirandello.

Tiba-tiba dua minggu lalu aku terbaca kenyataan ketua Dewan Pemuda PAS yang ingin melarang kemasukan seorang hamba Allah ke Malaysia. Aku menyangka hamba Allah ini adalah warga Indonesia

kerana namanya macam nama Melayu. Aku hairan dan ingin mengetahui apa pula kesilapan Mat Indon ini sehingga perlu dilarang untuk memasuki Malaysia.

Lalu aku bertanya dengan Lebai Google . Demi Zeus, aku terperanjat besar. Hamba Allah ini bukan lelaki dari Jawa. Rupa-rupanya hamba Allah ini tidak lain dan tidak bukan ialah hamba Allah yang pernah aku terlihat dalam YouTube dahulu. Irshad Manji sedang melakukan lawatan ke Indonesia. Dia juga sedang merancang untuk datang ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur dikatakan Si Minah ini akan mengadakan perbincangan terbuka di sebuah gedung ilmu. Aku juga difahamkan bahawa Irshad Manji ini akan melancarkan bukunya yang telah di-Melayukan.

Mendengar gedung ilmu ini menjadikan aku terangsang. Aku ingin juga melihat dengan mata kepala aku sendiri muka cun si Irshad Manji ini. Kemudian berita kesampaian Irshad Manji ini senyap. Aku tidak tahu apakah dia akan datang atau tidak. Apakah tuntutan dari Dewan Pemuda PAS itu telah ditunaikan.

Kemudian seorang kawan yang juga seorang penulis memberitahu bahawa perbincangan pencerahan universiti telah dibatalkan. Dua buah universiti telah membatalkan program pencerahan ini.

Pelancaran buku terjemahan Irshad di sebuah kedai buku tersohor juga dibatalkan sama.

Untuk aku pembatalan sebagini bukan satu yang baru. Ketika aku membuat teater Tok Ampoo pada tahun 1999-2000 telah beberapa kali beralih tempat walaupun tiket telah terjual. Tekanan dari pihak berkuasa menjadikan tuan empunya dewan kecut lagi mecut.

Dalam masa yang sama aku terbaca dalam media tradisional tentang beberapa NGO Melayu Islam menuntut agar Irshad Manji tidak dibenarkan masuk ke Malaysia. Jika telah masuk, maka wajib dihalau keluar dan program Irshad Manji ini diharamkan.

Mengikut tuntutan NGO ini, pandangan Irshad Manji ini amat-amat berlawanan dengan Islam. Akhirnya aku diberitahu Dewan Perhimpunan China telah bersetuju menyewakan dewan untuk Irshad

Manji melancarkan bukunya.

Petang itu aku menapak ke Dewan Perhimpuan China. Aku terlewat 10 minit. Ertinya aku tidak mendengar ayat-ayat suci awal yang telah dibaca oleh Irshad tentang perlunya kita merendah diri dan tidakangkuh kerana kita semuanya hamba Allah.

Untuk aku, tidak ada apa-apa yang belum pernah aku dengar dan aku baca tentang Islam yang dikatakan oleh Irshad. Aku mengetahui bagaimana Baitul Hikmah didirikan di zaman Khalifah Harun

al-Rashid dan anaknya al-Ma'mun. Ini di zaman kegemilangan pemerintahan Abbasid di kurun ke 9 hingga ke-13.

Baitul Hikmah atau Gedung Ilmu ini menjadi sarang pemikir yang membawa ahli falsafah, guru dan murid dari Timur dan Barat. Kota Baghdad menjadi kota ilmu di mana segala buku yang boleh ditemui di zaman itu akan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.

Ketika kota Baghdad bersinar sebagai kota ilmu, Eropah masih lagi dalam Zaman Gelap - Dark Ages. Ingin aku merakamkan di sini bahawa semua buku-buku falsafah Greek kuno - tulisan Aristotle, Plato, Xenophanes, Phthagoras, Epicurus - semuanya diterjemahkan untuk keilmuan pemikir Arab dan kaum kerabat di Baitul Hikmah.

Wajib juga aku rakamkan di sini bahawa Al-Farabi, ahli falsafah tersohor itu juga dinobatkan sebagai Aristotle Kedua. Peranan Al-Farabi dan ahli-ahli falsafah Arab merungkai falsafah Greek kuno seperti Aristotle, Socrates dan Plato hingga terbuka pintu Pencerahah/Renaissance di Eropah. Berakhirnya Zaman Gelap di Eropah adalah hasil pemikiran falsafah Arab.

Aku menulis tentang Pencerahan dan falsafah Greek ini kerana aku amat yakin bahawa perbincangan terbuka - berpandukan ilmu dan falsafah adalah jalan terbaik. Kita semua membaca berita pembuangan bayi setiap bulan. Kita juga membaca hukum hakam yang dikeluarkan seolah-olah mereka yang membuat hukum hakam ini 'sedang online dengan Yang Maha Esa'. Kita juga dihadapkan dengan pelbagai fatwadan fatwi.

Pada hemat aku, menutup dari membincangkan perkara-perkara ini kerana mereka yang ingin berbicara tanpa tauliah atau tidak tahu berbahasa Arab tidak lagi dapat diterima pada zaman internet ini. Ilmu pengetahuan kini bertaburan dan bersepah-sepah. Dimana sahaja boleh ditemui.

Buku Irshad yang diharamkan itu boleh dimuat turun dari laman rasmi Irshad Manji. Menahan anak-anak muda kita dari mengetahui tentang seks dan hubungan seksual dalam zaman internet ini samalah seperti menahan matahari muncul dari sebelah Timur. Kepelbagian pandangan wajib dihamparkan, dibincangkan dan dirungkai. Yang baik diterima dan yang tidak sesuai ditolak.

Inilah satu perkara yang aku rasa sebagai kunci dan isi kandungan ceramah Irshad Manji di Dewan Cina pada petang itu. Umat Islam - menurut Irshad Manji wajib menerima kepelbagian. Kepelbagaian yang wujud dalam dunia ini adalah juga rahmat dari Allah.

Kepelbagian ini wajib dirayakan bersama. Petang itu Irshad tidak 'berkhutbah' panjang. Selesai berceramah ada sesi soal jawab. Sesi soal jawab ini menjadi menarik kerana ini berkait dengan buku 'Allah, Kebebasan dan Cinta' yang juga dilancarkan sama.

Untuk aku, si Irshad Manji menjadi kontroversi kerana dia secara terbuka telah jatuh cinta dengan wanita. Cinta sejenis ini menjadi perbincangan hebat. Keberahian perempuan terhadap perempuan ini dikatakan oleh setengah alim ulamak sebagai unsur yang menghuru-harakan Islam.

Akhirnya disini aku ingin merakamkan tentang Abu Nawas penyair dizaman Khalifah Harun Al-Rashid - di zaman kegemilangan ilmuan di Baghdad. Abu Nawas atau Abu-Nuwas al-Hasan ben Hani al-Hakimi (756-814) - adalah juga seorang lelaki yang telah jatuh cinta dengan lelaki. Abu Nawas menulis puisi khamriyyat - merayakan air anggur - genre puisi yang mempengaruhi Omar Khayyam dan Hafiz.

Abu Nawas juga membawa syair bergenre mujuniyyat - humour erotik - tentang lelaki jatuh cinta dengan lelaki. Hingga ke hari ini singgahlah ke bumi Arab pasti akan kedengaran puisi-puis ini. Qasidah Abu Nawas terus didendangkan untuk dirayakan hingga ke hari ini.

Di zaman pemerentahan Khalifah al-Amin - putera Harun al-Rashid, Abu Nawas duduk setaraf bersama para Iman, Kadzi dan ahli falsafah untuk membincangkan keilmuan dan garis tamadun manusia. Keberahian Abu Nawas terhadap lelaki tidak menggugat perkembangan keilmuan Baitul Hikmah.

ADS