Mana lagi nak mak mee rebus?
Tindakan PAS bertegas untuk meneruskan ceramah politik walaupun tanpa permit adalah satu kesalahan namun ketegasan itu adalah berita baik untuk para penyokong Barisan Alternatif.
Telah sekian lama sejak kerajaan melancarkan provokasi politik, termasuk mengharamkan ceramah politik pada pertengahan tahun lalu, PAS hanya mendiamkan diri hingga menimbulkan tanda tanya di kalangan para penyokongnya "apa sudah jadi dengan parti pembangkang?".
Kini PAS bangkit untuk menegakkan haknya sebagai sebuah parti politik - iaitu hak untuk bersuara dan menyampaikan maklumat yang benar kepada rakyat. Walaupun tindakan itu nampak seolah-olah keras kerana ia mencabar undang-undang dan pihak berkuasa namun itulah yang dinanti-nantikan oleh rakyat.
Selama ini PAS mengambil pendekatan bertahan atau berlembut selepas serangan demi serangan dihamburkan oleh kerajaan Barisan Nasional dan Umno kepadanya. Hingga satu ketika sikap berdiam diri PAS itu dianggap oleh para penyokongnya sebagai "pengecut". Para penyokongnya mula menyimpulkan para pemimpin PAS tidak berani menghadapi risiko dan hanya mahu menjaga periuk nasi sendiri.
Rakyat mula membandingkan sikap pemimpin PAS dengan pemimpin-pemimpin muda Keadilan yang sanggup ditahan di Kamunting semata-mata kerana mempertahankan hak demokrasi mereka.
PAS menjadi lebih tertekan bila berlaku tragedi 11 September dan peperangan Amerika dengan Taliban kerana kerajaan mengaitkan keganasaan itu dengan Islam. Sebagai sebuah parti Islam yang bercita-cita menegak daulah Islam di negara ini PAS menerima kesan buruk daripada kedua-dua kejadian itu. Propaganda anti keganasan itu telah menyebabkan imej PAS di mata masyarakat bukan Islam merudum.
Satu pengajaran
Ketegasan para pemimpin PAS terutama timbalan presidennya Haji Hadi Awang tidak melarang mana-mana ahlinya menganjur atau menghadiri perhimpunan haram telah dilihat oleh media massa arus perdana dan pemimpin kerajaan sebagai perbuatan yang terang-terang mengajak para penyokongnya melanggar undang-undang negara.
Dengan merujuk kepada kejadian membaling batu dan kebakaran trak polis di Kuala Ketil beberapa hari lalu, para pemimpin dan penyokong PAS telah dilabel sebagai ganas. Sebenarnya, perbuatan melabel atau menuduh PAS sebagai parti ganas adalah keterlaluan semata-mata berdasarkan kes di Kuala Ketil itu.
Kita belum tahu siapa sebenarnya yang membaling batu dan membakar trak polis itu. Tidak mungkinkah ia dilakukan oleh "agen-agen provokatur" yang merancang untuk memburukkan nama baik PAS dan BA? Aspek ini tidak boleh ditolak sama sekali dan siasatan yang teliti dan adil perlu dilakukan untuk mencari siapa sebenarnya petualang yang membakar trak polis itu.
Dalam menangani kes ini semua pihak perlu bersikap rasional dan profesional. Kerajaan, para pemimpin Umno, pemimpin PAS dan pihak berkuasa jangan cepat menunding jari kerana dalam ribuan rakyat yang hadir dalam majlis ceramah PAS di Kuala Ketil itu mungkin ada "anasir subversif " yang mengambil kesempatan.
Para pemimpin PAS perlu melihat kejadian di Kuala Ketil itu sebagai satu pengajaran kerana jika sesuatu majlis gagal dikawal, pelbagai kemungkinan yang tidak diingini boleh berlaku. Pihak polis pula perlu mengkaji kelemahan mereka dalam melakukan kerja-kerja menyuraikan perhimpunan haram itu. Mesti ada sebab mengapa orang ramai melawan dan bertindak balas. Adakah mereka sudah diberikan amaran dan masa secukupnya untuk bersurai?
Tidak ganas
Kerajaan Barisan Nasional pula harus membuka mata untuk mengkaji semula perintah larangan berceramah yang dikenakan di seluruh negara sejak peristiwa Kampung Medan pada tahun lalu itu. Kerajaan harus peka pada kehendak rakyat. Ceramah politik sudah menjadi darah daging di negara ini dan tidak pernah ia menimbulkan masalah besar. Oleh itu perintah larangan itu perlu dikaji semula.
Larangan berceramah bukan sahaja dikenakan ke atas tempat-tempat awam malahan ke kawasan persendirian atau terrtutup. Banyak perhimpunan aman di dalam dewan atau di kawasan rumah diserbu oleh pihak polis. Ini mungkin agak keterlaluan. Apa lagi yang tinggal untuk rakyat jika berhimpun di kawasan rumah sendiri dianggap "haram"?
Oleh itu budi bicara untuk melonggarkan perintah larangan itu amat perlu. Rakyat Malaysia sudah lebih 40 tahun berpolitik, mereka sudah matang. Politik negara ini tidak ganas walaupun ia penuh dengan korupsi dan muslihat.
Kerajaan Barisan Nasional yang telah banyak berjasa pada rakyat dan semakin pulih pengaruhnya sekarang tidak seharusnya takut pada bayang-bayang sendiri.
Sewajarnyalah larangan berceramah itu ditarik balik kerana di situlah tempat rakyat marhain bersantai sambil menekmati semangkuk mee rebus dan teh tarik!

