Krisis air membuka peluang penswastaan
Pujangga Barat ada mengatakan dalam setiap krisis wujud peluang. Begitulah yang berlaku dalam krisis air yang melanda Lembah Kelang baru-baru ini. Pihak tertentu telah nampak satu peluang keemasan dari masalah kekurangan air itu.
Bagi peniaga barangan plastik, krisis air itu memberi peluang kepada mereka untuk menjual sebanyak mungkin baldi dan tong air. Namun itu adalah perkara biasa dan tidak mengejutkan para pengguna air.
Yang mengejutkan dan membimbangkan para pengguna ialah ada pihak tertentu mengambil kesempatan dari krisis ini untuk menyuarakan cadangan untuk menswastakan perkhidmatan bekalan air.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu telah menyuarakan cadangan untuk menswastakan perkhidmatan bekalan air bersih sebagai jalan untuk mengelak krisis air daripada berulang.
Katanya, perkhidmatan utiliti itu mungkin terpaksa diswastakan bagi membolehkan kos pengeluaran air dan pembekalannya dikongsi bersama oleh pengguna.
Orang akhbar tempatan, perseorangan, pertubuhan dan kesatuan sekerja telah membantah cadangan Samy Vellu itu dengan menyifatkan kerajaan cuba lari daripada tanggungjawab sosialnya.
Kesatuan sekerja membantah
Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada Khamis lalu menyokong bekalan air diswastakan kerana baginya jika perkhidmatan itu kekal di tangan kerajaan, mutu perkhidmatan dan air akan kekal ditakuk lama.
Menurutnya, rakyat harus mempunyai minda terbuka dan bersedia menerima perubahan, termasuk kemungkinan penswastaan bekalan air.
Begitulah norma di negara ini sekarang, setiap kali berlaku krisis, ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk membuat perubahan.Semasa berlaku gangguan bekalan eletrik di seluruh negara pada tahun 1990-an dulu, kerajaan telah menyalahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan mendakwanya tidak efisyen.
Lantas dicadangkan supaya dibina stesen-stesen penjanaan kuasa eletrik. Beberapa syarikat swasta diberikan kontrak pembinaan dan hak menjual tenaga yang dijana itu kepada TNB. Kini terbukti stesen penjanaan tenaga yang diuruskan oleh sector swasta itu tidaklah secekap mana dan TNB terpaksa membeli tenaga dari mereka dengan kos yang lebih tinggi daripada kos menjananya secara sendiri.
Kemudian berlaku krisis air pada tahun 1998 dan ekoran itu dicadangkan pula supaya dibina empangan baru di Selangor untuk membekalkan air bersih kepada seluruh penduduk Lembah Kelang.
Konsesi mengurus empangan
Akhirnya konsortium Splash diberikan kontrak dan konsesi menguruskan empangan di Sungai Selangor itu. Empangan itu belum siap dibina dan krisi air berulang dan kini cadangan yang lebih drastik dikemukakan.
Kalau cadangan penswastaan bekalan air ini dilaksanakan, mungkin dua tahun lagi kita perlu membayar tarif yang lebih tinggi.
Kita bukannya menentang penswastaan atau perubahan tetapi bimbang langkah itu akan menyebabkan tarif air dinaikkan bagi menanggung kos operasi dan untuk menjamin syarikat swasta berkenaan mendapat keuntungan.
Kenaikan kos dan tariff tidak dapat dielakkan bila penswastaan dilakukan. Lihat sahaja dalam kes TNB dan Telekom Malaysia Berhad, tarifnya sudah dinaikkan sejak diswastakan pada pertengahan tahun 1990-an lalu walaupun kedua-dua syarikat itu mencatatkan keuntungan berbilion RM setiap tahun.
Kita memang hendakkan perkhidmatan yang cekap dan mutu air yang tinggi. Kehendak itu boleh dipenuhi jika kerajaan menyusun semula Jabatan Bekalan Air termasuk struktur gaji kakitangannya serta mengambil inisiatif mengubah sikap para pekerjanya.
Kakitangan kerajaan sama seperti rakan-rakan mereka di sektor swasta boleh dimotivasi menjadi pekerja yang cekap dan dedikasi jika mendapat ganjaran yang memuaskan.
Ganjaran memuaskan
Beberapa penswastaan kerajaan seperti sistem pembentungan nasional yang diserahkan kepada Indah Water Konsortium dan Syarikat Penerbangan Malaysia telah gagal. Akhirnya kedua-dua syarikat ini terpaksa diselamatkan dengan wang pembayar cukai.
Kita bimbang penswastaan bekalan air akan menerima nasib yang sama kerana kos penyelenggaraan dan mengganti paip air serta rawatan air bukannya murah.
Oleh itu eloklah difikirkan alternatif lain untuk mengatasi krisis air ini. Kalau faktor pemusnahan alam sekitar menjadi penyebab mengapa hujan tidak tururn di Lembah Kelang, eloklah dicari jalan untuk mengatasi masalah itu.
Kalaupun kita menswastakan bekalan air tetapi sumber air tidak dipelihara, krisis air tetap akan berulang! Jangan gunakan krisis untuk menghalalkan matlamat kita.
AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.

