Saman RM50 juta, hadiah hari jadi untuk Suhakam
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyambut ulang tahun keduanya bulan April ini. Sepatutnya suruhanjaya itu menyambut ulang tahunnya dengan kemeriahan dan semangat baru tetapi ia dihadiahkan dengan saman RM50 juta oleh seorang penduduk Taman Medan, Petaling Jaya.
Begitulah nasib Suhakam, dalam usianya yang mentah itu pelbagai cabaran dihadapi, mendapat pujian dan cemuhan. Paling menyedihkan agensi ini akan menyambut hari jadinya dengan pengunduran diri Pengerusinya, Tan Sri Musa Hitam.
Suruhanjaya ini juga akan kehilangan dua orang pesuruhjaya yang berwibawa, Tan Sri Anuar Zainal Abidin dan Mehrun Siraj, yang tidak dilantik semula mengisi jawatan mereka.
Pemergian Musa, Anuar dan Mehrun tentunya amat dirasai kerana selama dua tahun ini mereka telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan dedikasi, berani dan adil.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah membuat beberapa kenyataan kontroversi mengenai hak asasi manusia dan demokrasi di negara ini. Ada di antara pendirian beliau yang dianggap keras oleh kerajaan hinggakan Suhakam dilabel sebagai anti-kerajaan.
Berani dan adil
Sepanjang dua tahun penubuhannya Suhakam telah menyiasat beberapa kes pencabulan hak asasi manusia yang serius, antaranya insiden keganasan polis di Lebuhraya Kesas pada 5 November, 2000 dan pergaduhan kaum di Petaling Jaya Selatan pada bulan Mac tahun lalu. Anuar dan Mehrun yang mengetuai kumpulan kerja aduan dan siasatan telah bertanggungjawab menyiasat kes-kes tersebut.
Dalam kes demonstrasi di Lebuhraya Kesas, Suhakam telah mengkritik cara polis menyuraikan perhimpunan tanpa permit itu. Setelah menjalankan siasatan selama beberapa minggu dengan menyoal siasat peserta tunjuk perasaan dan pegawai polis, suruhanjaya itu mendapati pihak berkuasa bersalah.
Suhakam sebaliknya berpendapat rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan perlu diberi masa secukupnya untuk bersurai sebelum dikenakan sebarang tindakan keras oleh pihak berkuasa.
Pengguguran Anuar dan Mehrun dianggap oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pejuang hak asasi manusia sebagai tindakan kerajaan untuk mengenepikan tokoh-tokoh yang berani bersuara dan bertindak berani dan adil.
Badan pertubuhan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) telah mengkritik tindakan kerajaan itu dengan menegaskan bahawa sepatutnya kedua-dua mereka patut dikekalkan kerana telah menjalankan tugas dengan baik.
Malahan Suaram berpendapat Anuar patut dilantik sebagai pengerusi bagi menggantikan Musa.
Harapan rakyat
Bagaimanapun dua nama lain disebut-sebut akan dilantik sebagai Pengerusi Suhakam. Mereka ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Osman dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.
Perlantikan salah seorang daripada mereka dijangka akan mengubah pendekatan Suhakam dalam mentafsir dan menangani isu hak asasi manusia. Adakah suruhanjaya ini akan makin bertaring atau menikus? Hanya masa akan menentukannya.
Bagaimanapun harapan rakyat pada Suhakam amat tinggi tanpa mengira siapa pengerusi barunya. Rakyat berharap suruhanjaya ini akan lebih ke depan, berani dan berkesan dalam memantau, melindungi dan membela hak asasi manusia yang semakin terhakis di negara ini.
Sesuai dengan matlamat penubuhannya, Suhakam harus berdiri tegak melaksanakan agendanya tanpa rasa takut dan berat sebelah.
Banyak cabaran yang dilalui oleh Suhakam sepanjang dua tahun kewujudannya. Hingga ke satu peringkat bila ia cuba menjalankan tugasnya dengan adil dan berani, ia telah dipandang serong oleh kerajaan.
Semua ini meletakkan Suhakam dalam dilema antara kepentingan kerajaan dan rakyat. Sepatutnya suruhanjaya ini tidak ditekan oleh mana-mana pihak. Biarkan ia bergerak bebas. Kerajaan perlu bersikap terbuka menerima kritikan dan cadangan Suhakam. Kerajaan tidak boleh mengharapkan semua pendapat suruhanjaya itu sealirannya dengannya.
Suruhanjaya pak turut
Jika pandangan Suhakam dalam laporan tahunannya yang dibentangkan di Parlimen setiap tahun itu tidak mahu dipertimbangkan dan didengar oleh kerajaan, apa guna mempunyai sebuah suruhanjaya hak asasi manusia di negara ini?
Adakah kita mahu mempunyai sebuah surahanjaya hak asasi manusia yang bersifat pak turut sahaja? Baik jangan bazirkan tenaga, wang dan masa rakyat.
Kini Suhakam menjangkau usia dua tahun, sewajarnya ia dihormati dan diberikan kuasa untuk berfungsi tanpa sebarang rasa takut atau pilih kasih!
Sedangkan semasa Musa menjadi pengerusinya Suhakam seperti melukut di tepi gantang sahaja, bagaimana agaknya nasibnya selepas mendapat pengerusi baru kelak?
AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.