Pengarang dan penerbit yang telah menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan karya  50 dalil Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM  kini bikin gempar lagi, kali ini dengan pendedahan apa yang didakwanya Azalina lesbian.

Tetapi kali ini beliau tidak menulis buku sebaliknya menggunakan media tabloid miliknya Perdana Sari untuk menyerang Ketua Puteri Umno, Azalina Othman Said.

Pendedahan berani Khalid yang lengkap dengan nama dan gambar seorang Datin yang didakwanya sebagai kekasih Azalina itu amat menarik dan menimbulkan persoalan besar serta menambah kemelut kepimpinan dalam pergerakan Puteri Umno.

Walaupun Azalina telah menafikan dakwaan Khalid itu namun pengarang kontroversial itu tetap mempertahankan laporannya. Beliau sebaliknya mencabar peguam muda itu supaya mengheretnya ke mahkamah jika benar semua dakwaannya itu fitnah. Khalid menyatakan beliau mempunyai bukti-bukti kukuh mengenai  hubungan cinta Azalina itu.

Setelah mengenali kredibiliti Khalid dan mengikuti perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim, masyarakat umum tidak lagi mempersoalkan sangat sama ada dakwaan beliau terhadap Azalina itu benar atau tidak.

Puteri Umno tidak disenangi

Masyarakat Malaysia, khususnya ahli-ahli Umno, mengikuti perkembangan ini dengan penuh minat tetapi ramai di antaranya tidak menelan sepenuhnya apa yang dilaporkan oleh akhbar tabloid itu.

Malah ramai di antara mereka, khususnya pemimpin Umno, melihat dakwaan Khalid itu tidak lebih daripada permainan politik pihak tertentu untuk menjatuhkan pemimpin muda yang semakin tempat di dalam Umno sekarang.

Cara para pemimpin Umno mentafsir laporan Perdana Sari itu jelas menunjukkan bahawa kewujudan Puteri Umno sebenarnya masih tidak disenangi oleh kumpulan tertentu dalam parti itu.

Ada pihak yang berasa tergugat dengan kehadiran Puteri Umno dan kewibawaan Azalina. Gaya kepimpinan Azlina yang agresif dan tegas, telah meletakkan pergerakan itu di satu tahap yang tinggi dan dalam kes-kes dan isu-isu tertentu, ia jauh lebih ke depan daripada Wanita dan Pemuda Umno sendiri.

Bila berlaku kemelut kepimpinan di kalangan exco Puteri Umno hingga menyebabkan Erra Fazira, Erma Fatima dan beberapa yang lain meletakkan jawatan, pihak-pihak yang tidak menyenangi Azalina telah bertindak, menangguk di air keruh.

Gaya kepimpinan Azalina telah ditegur dan beliau diminta menyelesaikan segala masalah dalaman pergerakan itu dengan segera. Sejauh mana seriusnya krisis dalam barisan kepimpinan pergerakan itu tidak dapat dipastikan tetapi sumber-sumber yang rapat dengan Puteri Umno menyatakan ia tidak lebih daripada kocakan air dalam cawan.

Menurut sumber itu sebahagian besar exco menyenangi gaya Azalina. Cuma beberapa orang sahaja yang tidak tahan dengan cara beliau yang tegas dan  no nonsense .

Tidak melatah

Sejauh mana laporan Perdana Sari itu menjejaskan imej Azalina dan Puteri Umno belum dapat diukur tetapi banyak pihak menjangka ia tidak akan menjejaskan ketua pergerakan itu.

Setakat ini Azalina nampak kental dan tenang. Beliau tidak melatah sebagaimana beberapa orang pemimpin Umno yang terlalu sensitif dengan serangan-serangan peribadi terhadap mereka. Kalangan ahli dan pemimpin Umno, termasuk presidennya, tidak menunjukkan minat terhadap dakwaan Khalid itu.

Memang sepatutnya Azalina dan para pemimpin Umno tidak melayan serangan-serangan peribadi ini. Lebih baik ia didiamkan sahaja, lama-lama isu ini akan tenggelam dengan sendirinya.

Azalina tidak perlu gentar terhadap serangan peribadi ini jika beliau bersih dan tidak melakukan apa-apa kesalahan. Berani kerana benar!


AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.