Gendang perang pilihanraya umum makin kuat dipalu oleh para pemimpin Umno. Kalau dilihat pada keghairahan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mencabar dan menyerang parti-parti pembangkang, seolah-olah pilihanraya umum ke-11 akan diadakan pada hujung tahun ini.

Beliau dengan berani dan yakin menegaskan baru-baru ini bahawa peluang parti-parti pembangkang untuk mengulangi kejayaan pada tahun 1999 adalah tipis. Sebaliknya beliau percaya BN akan mencapai kemenangan yang lebih besar.

Beliau menegaskan, isu dan orang yang diperalatkan oleh parti-parti pembangkang terutamanya PAS sudah tidak menjadi isu lagi. Oleh itu parti-parti pembangkang sudah ketandusan modal untuk berkempen.

Serentak dengan itu Dr Mahathir meminta semua parti komponen BN supaya menyerang parti-parti pembangkang dengan mendedahkan segala muslihat dan kepincangan para pemimpin mereka.

Nampaknya BN terutamanya Umno yang begitu defensif pada tahun 1998 hingga tahun 2000, telah mengubah taktik politik mereka. Umno telah belajar daripada kesilapan dan kelemahan pada tahun-tahun berkenaan di mana ia hanya membiarkan sahaja PAS, Keadilan, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan DAP melanyak para pemimpinnya, terutama sekali presiden parti.

Ketika itu Umno tidak mampu menangkis serangan pembangkang, terutamanya berhubung isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, rasuah, amalan kronisme dan nepotisme.

Umno terduduk bila setiap malam ia diserang dari segenap penjuru ceramah di seluruh negara. Parti itu dan Dr. Mahathir dilabel dengan pelbagai gelaran. Tiada siapa akan melupakan gelaran "mahafiraun, mahazalim" dan sebagainya.

Undi bukan Melayu

Bila Umno gagal menangkis segala serangan itu dengan menyakinkan, segala dakwaan ataupun fitnah pembangkang itu dianggap sebagai berita dan cerita yang sahih.

Kesannya, undi orang Melayu unutk Umno merosot teruk. Terengganu dan Kelantan jatuh ke tangan PAS dan banyak kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu dimenangi PAS dan Keadilan. Umno terpaksa bergantung pada undi bukan Melayu untuk bernafas.

Berdasarkan pengalaman ini, Umno sejak setahun lalu telah melancarkan serangan kepada pembangkang, khususnya PAS. Media arus perdana, terutamanya stesen RTM setiap hari menyerang PAS.

Video peristiwa Memali ditayangkan semula, serangan ke atas World Trade Centre dan Taliban dikaitkan dengan PAS manakala ucapan-ucapan kasar Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang melontarkan perkataan "barua" diulang tayang setiap hari.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Umno akan menyerang pembangkang habis-habisan bagi mendedahkan segala kelemahan mereka.

"Kita tidak mahu lagi menjadi defensif. Kita ada banyak maklumat mengenai mereka yang membolehkan kita bertindak lebih agresif," tegasnya baru-baru ini.

Sementara itu Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Senator Datuk Zainuddin Maidin yang secara tidak rasmi dilantik sebagai "ayam sabung" Umno yang baru kini aktif melanyak para pemimpin PAS.

Terkini beliau terlibat dalam perang mulut dengan ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azimuddin. Beliau mencabar bekas Imam Besar Masjid Negara itu supaya mendedahkan "rahsia besar" mengenai skandal seks seorang bekas pemimpin negara.

Senjata makan tuan

Beliau menuduhkan Taib berbohong bila ahli Parlimen Baling itu menyatakan dia tidak mempunyai apa-apa "rahsia besar " kerana menurutnya apa yang dianggap "rahsia besar" oleh Zainuddin itu telah diketahui umum.

Bila Zainuddin tidak berhenti-henti menyerang dan mencabarnya, Taib menggugut untuk mendedahkan banyak rahsia para pemimpin Umno yang pernah datang mendapatkan khidmat kaunseling darinya ketika berkhidmat sebagai Imam Besar dulu.

Antara rahsia yang dimaksudkan oleh Taib itu termasuklah dakwaan skandal bekas ketua pengarang akhbar dengan seorang gadis. Kini serangan Zainuddin terhadap Taib reda sedikit. Nampaknya gertak bekas Imam Besar irtu berkesan. Malah ada di kalangan ahli-ahli dan pemimpin Umno kini mempersoalkan kebijaksanaan Zainuddin memainkan isu ini.

Mungkin benar Zainuddin tersilap langkah kali ini. Senjata makan tuan kerana isu skandal seks terlalu mudah dipatahkan oleh parti-parti pembangkang kerana ramai pemimpin Umno terbabit dalam masalah ini.

Bila isu ini dimainkan dengan muadah ia terpalit semula ke muka para pemimpin Umno. Oleh itu adalah lebih bijak jika Zainuddin mencari isu lain yang tidak membabitkan Umno dan para pemimpinnya. Lebih baik diperbesarkan isu janji-janji kosong wakil-wakil rakyat pembangkang dan kegagalan mereka membawa pembangunan kepada rakyat.

Ketepikan isu peribadi terutamanya skandal seks kerana bagi rakyat Umno sudaah sinonim dengan rasuah, politik wang, politik balak, pembolotan saham dan skandal seks.

Walaupun Tun Daim telah meletakkan jawatan dan beberapa kroni korporat dikenakan tindakan undang-undang dan ceramah pembangkang dihalang, rakyat masih tidak lupa apa yang diperkatakan sepanjang kempen pilihanraya umum 1999.

Memang Umno berada dalam keadaan yang selesa sekarang kerana iklim ekonomi makin baik dan aktiviti parti pembangkang berjaya dikekang. Tetapi ini tidak bermakna rakyat telah melupakan peristiwa "mata lebam", dakwaan-dakwaan rasuah dan skandal seks terhadap beberapa orang pemimpin Umno.

Tidak dinafikan ramai orang Melayu telah kembali menyokong kerajaan tetapi itu tidak menjamin Umno akan menang mudah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Umno boleh merasa yakin tetapi jangan anggap orang Melayu mudah lupa!


AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.