Bumiputra perlukan wang bukannya kuota.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Hussein Onn dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik bertikam lidah berhubung isu kuota bumiputra di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) — satu perdebatan yang tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada para pelajar bumiputra.
Kedua-dua pemimpin yang cuba menjadi 'hero' kaum masing-masing ini sebenarnya mendedahkan kejahilan mereka tentang keperluan semasa para pelajar bumiputra. Hishamuddin khususnya "menembak" sasaran yang salah bila meminta IPTS memberi kuota kepada pelajar bumiputra.
Mungkin beliau mendapat fakta yang silap daripada para penasihat di sekelilingnya. Tidakkah beliau tahu bahawa faktor kurangnya pelajar Melayu di IPTS bukan disebabkan oleh halangan kuota?
Untuk pengetahuan Hishamuddin serta para pemimpin Umno yang lain, punca utama kurangnya bumiputra di IPTS ialah faktor wang!
IPTS selama ini tidak pernah mengenakan apa-apa kuota kepada mana-mana kaum. Sesiapa sahaja yang layak dan mampu boleh meneruskan pengajian di mana-mana IPTS di negara ini atau di luar negara.
Oleh itu apa yang ditegaskan oleh Dr Ling adalah tepat. Memang kuota tidak diperlukan di IPTS, malah jika ada pun tidak mungkin diisi oleh bumiputra kerana yuran pengajiannya sangat tinggi.
Faktor kos
Tidak sedarkah Hishamuddin bahawa para pelajar Melayu berlumba-lumba memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kerana mahukan kos pengajian yang murah?
Purata Kos tahunan di IPTA sekarang ialah RM4,000 - RM5,000 berbanding IPTS yang sekali ganda tingginya, antara RM9,000 - RM12,000.
Para pelajar bumiputra sebahagiannya dari golongan miskin. Mereka mampu ke IPTA pun dengan bantuan Pinjaman Tabung Pendidikan Negara (PTPN).
Dengan bantuan RM5,000 setahun mereka dapat menampung kos di IPTA tetapi untuk ke IPTS mereka perlu membiayai sendiri separuh daripda kos pengajian berkenaan. Di mana mereka hendak cekup wang itu?
Inilah sebabnya mengapa para pelajar tidak ke kolej swasta, bukan kerana tidak berminat tetapi keranatidak mampu. Isu kuota tidak timbul sama sekali. Kalau kerajaan sanggup memberikan pembiayaan 100 peratus untuk ke IPTS tentu ramai para bumiputra yang ingin ke Universiti Tunku Abdul Rahman, Taylor's College, Kolej Damansara Utama (KDU) dan sebagainya.
Bantuan kewangan
Oleh itu apa yang patut diperjuangkan oleh Pemuda Umno sekarang bukannya kuota ke IPTS tetapi mendesak kerajaan menyediakan bantuan kewangan yang lebih besar untuk para pelajar yang memerlukannya.
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menegaskan, kerajaan tidak boleh membiayai sepenuhnya kos bumiputra di IPTS kerana jika itu dilakukan jumlah pelajar yang boleh mendapat pinjaman PTPN akan berkurangan sebab kos di IPTS lebih tinggi.
Bertitik tolak daripada penjelasan Dr Mahathir itu sepatutnya Pemuda Umno mendesak kerajaan menambah dana PTPN bagi membolehkan pinjaman yang lebih besar dapat dipinjam kepada para pelajar bumiputra.
Apa salahnya ditambah dana itu dan ditingkatkan pinjaman maksimum daripada RM5,000 kepada RM10,000 setahun? Kalau kita boleh membelanjakan berbilion-bilion RM untuk menyelamatkan syarikat gergasi dan projek mega, mengapa terlalu lokek untuk kepentingan anak-anak bangsa sendiri? Di mana keutamaan kita?
Pemuda Umno harus sedar keadaan ini dan perbetulkan sasaran perjuangan yang sudah tersasar itu. Memang tidak wajar Hishamuddin dan Dr Ling bertikam lidah di media sedangkan hasilnya kosong.
Dalam dasar meritokrasi yang diamalkan sekarang, isu kuota tidak sepatutnya timbul lagi sebaliknya bantuan kewangan dan kemudahan pembelajaran yang baik dan lengkap patut ditekankan supaya semua kaum boleh bersaing secara adil.
AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.

