Pendang dan Anak Bukit peningkan PAS dan Umno
Keputusan seri 1-1 antara PAS dan Umno dalam perlawanan terbaru mereka menunjukkan kedua-dua parti sama kuat dan berpengaruh. Tiada mana-mana parti boleh mendabik dada mendakwa ia adalah parti Melayu terbesar atau parti Melayu yang paling unggul.
Malah keputusan dalam pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit ini menghantar isyarat yang mengelirukan. Ia tidak menggembirakan Umno dan tidak juga menyukakan PAS.
Lebih teruk lagi ia merungsingkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kerana keputusan itu membuktikan Umno belum pulih sepenuhnya sedangkan sebelum ini beliau mendakwa parti pimpinannya itu sudah pulih, oleh itu beliau boleh bersara.
Para pemimpin kedua-dua parti seharusnya bimbang melihat aliran pengundian di kedua-dua kawasan ini. Umno terutamanya tidak boleh berasa selesa walaupun mereka berjaya mengurangkan majoriti PAS di Anak Bukit dan menang di Pendang.
Begitu juga PAS, ia sepatutnya bangun dari mimpi untuk menakluki negeri Kedah dalam pilihanraya umum akan datang setelah melihat keputusan pengundi di kedua-dua kawasan itu.
Walaupun Umno menang di Pendang namun ia sepatutnya sedar bahawa sokongan orang Melayu padanya masih tidak banyak berubah. Umno masih bergantung pada undi bukan Melayu untuk berkuasa.
Buktinya di Pendang, walaupun Dr Mohd Hayati Othman tewas dengan majoriti tipis 283 undi, namun jumlah undi yang diperolehinya lebih banyak daripada apa yang diraih oleh Allahyarham Datuk Dr. Fadzil Noor dalam pilihanraya umum 1999.
Pengundi baru
Dr Mohd Hayati mendapat 22,542 undi berbanding Fadzil yang memperolehi 22,413, meningkat 129 undi. Ini menunjukkan undi untuk PAS tidak berganjak sebaliknya meningkat.
Cuma yang sepatutnya membimbangkan PAS ialah wujudnya kemungkinan pengundi baru lebih cenderung mengundi Barisan Nasional (BN) kerana peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi kali ini iaitu 81.09 peratus berbanding 79.73 peratus pada tahun 1999.
Ini menunjukkan ramai pengundi yang tidak mengundi pada pilihan aya umum lalu dan pengundi baru telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka dan memilih Datuk Othman Abdul.
Aliran ini sewajarnya meletakkan PAS dalam kebimbangan kerana sebelum ini parti-parti pembangkang sering mendakwa pangundi baru terutamanya golongan muda lebih memihak kepada Barisan Alternatif.
Umno pula tentunya gembira dengan aliran ini kerana ia memberi peluang cerah kepadanya untuk memenangi balik kawasan yang dirampas oleh PAS, terutamanya di Kedah dengan majoriti tipis pada pilihanraya umum lalu.
Mungkin kejayaan memikat pengundi baru ini ada kaitannya dengan kewujudan Puteri Umno. Tetapi ini tidak bermakna Umno boleh berasa selesa kerana pengundi lama nampaknya tidak mengubah "mind set" mereka walaupun BN menggunakan segala jentera seperti media, jabatan kerajaan, projek-projek pembangunan, umpan kain batik dan wang untuk mengubah pendirian mereka.
BN khususnya Umno perlu berkerja lebih keras untuk mengubah sikap pengundi lama yang terus berpegang pada amanat Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat: "Beri kain pakai, beri gila kacau, beri wang belanjakan tapi bila mengundi, pangkah bulan."
Majoriti dua pertiga
Walaupun berjaya menembusi beberapa kubu kuat PAS di Pendang namun itu tidak mencukupi mencatatkan satu kemenangan yang boleh menyakinkan Umno untuk menghadapi PAS di Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam pilihanraya akan datang.
Begitu juga dengan keputusan di Anak Bukit, walaupun berjaya mengurangkan majoriti kemenangan PAS kepada 508 undi, namun ia tidak menunjukkan penurunan besar pengaruh PAS di kawasan itu. Undi untuk PAS hanya turun sebanyak 182 undi berbanding undi yang diraih oleh Fadzil pada tahun 1999.
Umno patut berterima kasih kepada pengundi baru dan pengundi yang dahulunya tidak keluar mengundi tetapi kali ini telah pergi mengundi dan memilih Datuk Zakaria Said. Nampaknya pengaruh penyokong PAS dan Barisan Alternatif di kawasan ini tidak banyak berubah walaupun pelbagai kempen dan usaha dilakukan oleh Umno untuk memulihkan semula pengaruhnya di negeri ini.
Kekalahan di Anak Bukit tentunya lebih memeritkan kerana itu bermakna BN gagal mengembalikan majoriti dua pertiganya di Dewan Undangan Negeri Kedah.
Ini tentunya amat mengecewakan kerana tanpa majoriti dua pertiga itu, hasrat untuk melakukan persempadanan semula di negeri jelapang padi itu tidak akan dapat dilaksanakan kerana PAS pastinya akan menyekat usul itu jika ia merugikan mereka.
Mungkin kalau diberi pilihan di antara Pendang dan Anak Bukit, Umno akan memilih untuk menang di Anak Bukit dan rela kalah di Pendang kerana kemenangan atau kekalahan di kawasan parlimen itu tidak memberi kesan apa-apa kepada kuasa dua pertiga BN di Dewan Rakyat.
PAS tentunya bersyukur kerana dapat mempertahankan Anak Bukit kerana ia memberi suntikan semangat kepadanya untuk meneruskan agenda menawan Kedah dalam pilihanraya umum akan datang.
Jentera kerajaan
Walaupun kekalahan di Pendang sedikit sebanyak mengecewakan penyokong parti Islam itu namun ia tidaklah sehingga menjejaskan moral dan semangat perjuangan mereka.
Mengenali PAS, kekalahan di Pendang itu akan menyemarakkan lagi kempen mereka untuk menawan Kedah dan akan membangunkan mereka daripada "lena" atau rasa selesa selepas meraih kejayaan besar dalam pilihan raya umum 1999.
Bagi Umno pula ,di sebalik kegembiraan mengembalikan Datuk Othman Abdul ke Parlimen, ia perlu melipatgandakan usaha untuk memenangi hati rakyat kerana dengan segala jentera kerajaan dan media serta semua menteri kabinet dan kehadiran Dr.Mahathir berkempen di kedua-dua kawasan itu, ia masih gagal untuk mencatatkan kemenangan cemerlang.
Dalam pilihan aya kecil seperti ini BN dan Umno boleh memberi sepenuh tumpuan di sini tetapi bagaimana kalau menghadapi pilihanraya umum? Dalam pilihanraya umum semua menteri terpaksa kembali ke kawasan masing-masing untuk berkempen dan jentera-jentera kerajaan terpaksa diagihkan ke seluruh negara.
Oleh itu, tentunya usaha untuk memujuk atau mempengaruhi pengundi akan menjadi lebih sukar. Jelas sekali keputusan di Pendang dan Anak Bukit ini menunjukkan PAS dan Umno sama besar pengaruhnya dalam masyarakat Melayu.
Dan yang paling penting zaman BN atau Umno boleh meletakkan sesiap sahaja sebagai calonnya dan pasti akan mencapai kemenangan, sudah berlalu. Keadaan sekarang ibarat sudah bertemu buku dengan ruas.
AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka

