Di negara kita, menjadi pembangkang atau pengkritik kerajaan, malah menulis dengan merdeka, menjadi satu dosa pada sisi pemerintah. Oleh itu, ucapan atau karya mereka tidak layak diberikan tempat dalam media, termasuk stesen televisyen milik awam.

Jika media milik pemerintah atau parti kerajaan menyiarkannya, ucapan atau karya itu, ia mestilah memenuhi 'ciri-ciri dosa' sebagai hukuman yang mengaibkan di depan orang ramai. Mudah-mudahan ia menjadi pengajaran kepada semua pihak. Maksudnya, jangan ulangi amalan-amalan dosa itu dan jangan berani meniru gelagat pengamal dosa terkutuk itu.

Inilah yang terjadi pada sajak Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad, dan keratan ucapan wakil rakyat PAS, Mohamad Sabu yang disiarkan RTM sejak awal bulan ini. Walaupun 'dua dosa' itu kelihatan bertujuan mempengaruhi pengundi di Pendang dan Anak Bukit menjelang pilihanraya kecil 18 Julai ini, tetapi rentak penyiaran seumpama itu bukan lagi asing di negara kita.

Tidak cukup dengan tayangan yang berulang-ulang dan maklum-balas orang ramai yang mencemuh dosa itu, Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Zainuddin Maidin terpaksa pula mempertahankan tindakannya itu — dan malah sedikit 'memuji' kebaikan tindakan dirinya sendiri itu.

Kalau dulu beliau boleh menulis semahu mungkin dalam akhbar pimpinannya, kini dia harus muncul pula di depan kamera. Gelagatnya sama, untuk turut menyertai sesuatu isu sehingga ada waktu-waktunya, mukanya lebih kerap ditayangkan daripada gambar menteri penerangan sendiri!

Media kerajaan, dengan kuasa dan wang, boleh memanjang-manjangkan tempoh serangan terhadap pembangkang atau sesuatu yang dianggap mengganggunya. Misalnya, ketika RTM menyerang akhbar web Malaysiakini.com tahun lalu, isu itu berlanjutan sehingga lebih sebulan.

ISA dan Akujanji

Begitu juga ketika mereka cuba melumpuhkan gerakan pelajar pada pertengahan tahun lalu, daripada satu insiden kebakaran biasa di Universiti Malaya, kempen media boleh menghasilkan beberapa tindakan mendadak.

Tindakan itu termasuk menangkap pemimpin pelajar mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan melaksanakan Akujanji. Dua tindakan ini sebagai hukuman akibat dosa gerakan pelajar di universiti-universiti tempatan.

Jika mengalami kerugian akibat diboikot oleh penonton dan pembaca, kerajaan sanggup menambahkan suntikan wang kepada media mereka. Misalnya bagaimana Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), waktu itu dipimpin oleh Menteri tugas-tugas khas Daim Zainuddin, menyalurkan jutaan wang kepada kumpulan akhbar New Straits Times Press pada akhir 1998 untuk menampung kerugian dalam kempen memburuk-burukkan Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi.

Dan Anwar sendiri pun tahu bagaimana media yang dikuasainya digunakan untuk memastikan beliau memenangi jawatan nombor dua dalam parti serta kerajaan pada 1993 dan memburuk-burukkan musuh-musuh politiknya, termasuk Dr Mahathir Mohamad, selepas krisis ekonomi Asia pertengahan 1997 yang turut melanda negara kita.

Ketika kumpulan Musa Hitam-Tengku Razaleigh Hamzah bertembung dengan Mahathir-Ghafar Baba pada 1987, media juga turut digunakan untuk menyerang kumpulan lawan dan memperindahkan diri masing-masing. Bagi kerajaan (sebenarnya Umno), memperalatkan media untuk mengubah pendapat awam adalah satu cabang seni berpolitik yang harus dimaksimakan.

Tetapi harga permainan politik media ini ditanggung oleh rakyat terbanyak, bukan sahaja di negara kita tetapi di mana-mana negara lain. Beberapa kumpulan wartawan di Asia Tenggara, selepas krisis ekonomi Asia itu, tergamam dengan kegagalan media memberikan 'amaran awal' tragedi ekonomi yang dahsyat itu.

Gelembung ekonomi

Mereka terlopong melihat bangkai korupsi, nepotisme dan skandal pengurusan ekonomi yang selama ini berjaya dibungkus rapi oleh pemerintah korup dan sistem tidak telus di negara masing-masing.

Rakyat tidak sedar bagaimana wang negara dibelanjakan untuk mengepam gelembung ekonomi dan ghairah mengejar 'wang panas' demi memenuhi impian negara perindustrian baru (NIC) atau mempertahankan gelaran 'negara-negara ekonomi harimau'.

Media massa waktu itu lebih sibuk mempropagandakan keindahan ekonomi negara akibat pelaburan asing, kejayaan misi-misi dagang serta kerjasama-kerjasama ekonomi serantau dan juga global sejak penghujung 1980-an.

Akhirnya gelembung itu meletup dan kekayaan yang dikecapi tiba-tiba susut. Semua jenis bangkai, yang kecil dan besar, terpampang di depan mata.

Sambil minum-minum dan berbincang, beberapa aktivis persatuan wartawan utama di Thailand (TJA), pusat kewartawanan penyiasatan (PCIJ) di Filipina dan dua lagi kumpulan (AJI dan ISAI) di Indonesia akhirnya menubuhkan Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa).

Pakatan akhbar inilah yang membantu memberikan modal awal untuk menjayakan akhbar web pertama di negara kita, Malaysiakini.com pada lewat 1999.

Tembelang sebenar

Bagaimanapun, bagi setiausaha parlimen Kementerian Penerangan itu, Seapa 'cuba mengajar' Malaysia, sedangkan negara masing-masing kacau-bilau! Seperti juga beliau dan ramai penyokong Anwar, krisis ekonomi 1997 sahaja tidak cukup membuka mata mereka walaupun bau bangkai itu mulai terhidu.

Insiden pemecatan Anwar pada September 1998 itulah yang menolong mendedahkan tembelang sebenar 'keakraban' hubungan Anwar-Mahathir, sama juga 'keunggulan' kepimpinan Musa-Mahathir (2M) sebelum 1986.

Media negara kita tidak mendedahkan apa-apa bayangan (isyarat amaran) betapa seriusnya krisis politik dan ekonomi negara sehinggalah Anwar berhenti berperanan sebagai ' team player '.

Ramai orang mulai sedar diri selepas insiden ini. Pada hemat saya, apa yang disebut reformasi itu sebetulnya sejenis kemalangan besar yang menimpa rakyat, satu tragedi yang layak disebut "tragedi minda" akibat kawalan maklumat yang sangat ketat — sama ada dalam bentuk penerbitan atau pertemuan terbuka.

Rakyat tidak memiliki maklumat untuk membuat keputusan yang matang walau demokrasi sangat-sangat mengutamakan asas ini. Mereka tengadah apabila sudah terantuk. Oleh itu tidak hairan masih ramai lagi yang percaya pada permainan RTM tentang 'puisi kematian' Shahnon dan 'ucapan tuhan' Mat Sabu.

Meski banyak lagi kenyataan, memorandum, manifesto, diskusi dan tulisan yang baik daripada pengkritik kerajaan (termasuk Shahnon dan Mat Sabu), semuanya tidak diumumkan melalui RTM atau akhbar harian utama kepada awam.

Ada orang cukup dengan insiden pemecatan Anwar dan barang kali majoriti rakyat negara ini menunggu kejatuhan seperti Argentina.

"Kami kini dipandang lebih teruk daripada pembunuh bersiri," kata seorang pengurus bank HSBC, antara beberapa buah bank asing yang diserang oleh ribuan penunjuk perasaan, sebahagian besarnya golongan kelas menengah yang dahulunya hidup selesa dan tidak mempedulikan politik!


FATHI ARIS OMAR pernah bertugas bersama Malaysiakini.com dan kini merupakan wartawan bebas. 'Tiada Noktah' cuba mengungkapkan isu-isu yang saling bergabung jalin antara kebebasan media, kewartawanan, revolusi pengetahuan, teknologi maklumat dan sosio-politik negara kita. Penulis boleh dihubungi di faomar@yahoo.com