Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan meminda aktanya September ini bagi memperkasakan dirinya — kononnya untuk memastikan proses pilihanraya negara ini berjalan lebih demokratik, adil dan bersopan.

Antara lain agensi pelaksana dan pemantau pilihanraya itu meminta ditingkatkan kuasa penguatkuasaannnya meliputi kuasa membatalkan kelayakan calon pilihanraya yang didapati mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan semasa kempennya.

SPR juga mahu mengharamkan individu daripada mengundi jika didapati mengeluarkan kata-kata yang serupa. Dengan lebih kuasa, agensi boleh bertindak menurunkan kain rentang atau poster yang berunsur fitnah dan hasutan serta menghukum pihak-pihak yang bertanggungjawab serta-merta tanpa menunggu laporan polis dibuat.

Agensi itu berharap dapat mengawal keadaan sepanjang kempen berlangsung terutamanya dalam memastikan ceramah dan kempen berjalan dengan bersopan dan mengikut peraturan.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim menegaskan kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan SPR yang mahu menghukum calon dan individu daripada menjadi calon dan mengundi kerana ia akan melibatkan hal-hal perlembagaan. Oleh itu, ia mungkin tidak "sesuai".

Rundingan

Reaksi SPR mahu memperkasakan dirinya adalah ekoran daripada keadaan kempen dalam pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit di Kedah baru-baru ini yang dikatakan "ganas dan tidak mematuhi etika pilihanraya".

Barisan Nasional terutamanya Umno yang kecewa dengan keputusan pilihanraya itu telah menjadikan tindak-tanduk parti pembangkang dan para penyokongnya sepanjang proses kempen sebagai alasan untuk mengetatkan lagi tatacara berkempen. Para penyokong PAS telah dituduh sebagai ganas dan kasar bila petugas BN didakwa dikasari, Puteri Umno didakwa terkena gangguan seksual, poster dan kain rentangnya dikoyak dan risalah berunsur hasutan dan fitnah disebarkan.

Semua unsur-unsur negatif dalam kempen di dua kawasan itu dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan menghadkan demokrasi di negara ini. Kali ini agensi yang sepatutnya memastikan demokrasi berkembang dengan subur menerusi proses pilihanraya sendiri mahu menyekatkan kebebasan berpolitik itu.

Sepatutnya sebelum memutuskan untuk meminda undang-undang pilihanraya itu SPR seharusnya mengadakan rundingan dan pertemuan dengan semua parti-parti politik bagi mengumpul maklum-balas. Sebagai sebuah badan "bebas", SPR sepatutnya bertindak adil dan saksama kepada semua pihak. SPR tidak boleh hanya mendengar pendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan sahaja.

Suara rakyat

Tidak dinafikan kuasa SPR patut ditambah tetapi biarlah apa sahaja tambahan kuasa atau peruntukan-peruntukan baru dalam akta yang ada mengambilkira kepentingan semua pihak, bukan sahaja pendapat parti-parti politik tetapi suara rakyat patut juga diambilkira.

SPR perlu ingat bahawa yang pergi mengundi ialah rakyat, bukannya kerajaan atau parti-parti politik. Kuasa sebenarnya adalah di tangan rakyat. Oleh itu sewajarnya suara mereka didengar kerana proses pilihanraya melibatkan mereka secara langsung.

Agensi ini dilihat sebagai tidak adil dalam tindakannya untuk meminda undang-undangnya bila didapati ada penyokong BN atau Puteri Umno 'dikasari'. Tidak wajar peraturan-peraturan baru dibuat semata-mata kerana adanya risalah dan poster yang menunjukkan Dr Mahathir bertemu Pope John Paul.

Mengapa bila berlaku pergaduhan sehingga seorang penyokong pembangkang tercedera dan terpaksa dijahit kepalanya dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan, Perlis, SPR tidak bertindak mahu meminda undang-undangnya?

Mengapa bila poster-poster dan kain rentang Parti Keadilan Nasional dikoyak dan dirosakkan di Port Dickson, Indera Kayangan dan Lunas, SPR berdiam diri?

Sepatutnya semua aduan yang dibuat oleh parti-parti yang bertanding disiasat. Belum tentu poster Dr Mahathir memakai kopiah Pope itu dicetak dan diedarkan oleh orang PAS. Sesiapa sahaja yang mahu melakukan provokasi dan memburuk-burukkan PAS boleh melakukannya.

Pengundi hantu

Masalah-masalah yang sering menghantui ketelusan dan kesahihan sesuatu keputusan pilihanraya itu sepatutnya lebih diutamakan. Isu pengundi hantu yang terus-terusan mencacatkan ketulenan keputusan pilihanraya di negara ini harus ditangani segera.

SPR hendaklah menjaga kepentingan semua pihak. Suara dan hak rakyat perlu diambilkira sebelum pindaan-pindaan dibuat. Janganlah badan "bebas" ini menjadi kuda tunggangan kerajaan. SPR janganlah lebih sudu dari kuah!

Langkah memperkasakan SPR ini sebenarnya lebih merupakan langkah untuk memperkasakan kerajaan BN. Dalam keadaan yang tertekan setelah melihat rakyat terutamanya orang Melayu terus condong kepada Barisan Alternatif, BN terpaksa melakukan apa sahaja bagi memastikannya terus menang dalam pilihanraya umum akan datang.


AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.