Saya tidak faham kenapa isu media arus perdana dan 'media alternatif' tiba-tiba dikatakan tidak wujud, tidak tepat ( misleading ) atau tidak perlu diperkatakan dalam konteks senario persaingan media di negara ini.

Membezakan atau membahagikan media arus perdana dengan media alternatif dianggap kurang relevan; yang lebih relevan kononnya soal "kewartawanan yang baik" (berkualiti atau profesional) dan "kewartawanan yang buruk".

Ketika saya menghadiri satu pertemuan aktivis media pada Mac tahun ini, yang dianjurkan oleh satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjelang sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, beberapa peserta menghujahkan hal ini. Saya benar-benar terperanjat dengan reaksi dan analisis sedemikian.

Bagi saya, pandangan sedemikian boleh dianggap kaku. Tetapi sebagai menghormati adab bermesyuarat untuk merumus beberapa acara praktikal, saya fikir tidaklah wajar saya membahaskan isu itu (yang boleh dikira bersifat teoritikal atau konseptual) dalam pertemuan tertutup itu.

Kekeliruan atau keprihatinan mereka itu tentunya datang daripada kegagalan kita sendiri untuk mengupas isu-isu media dengan lebih teratur. Kita memang menyimpan banyak rungutan dan sudut pandang tetapi jarang sekali menghadapkannya kepada khalayak awam. Kita di sini maksudnya wartawan, aktivis media dan pengamat media. Belum ada perbahasan panjang dan popular tentang media selain yang dikatakan media arus perdana. Semua orang faham, dan memang banyak kajian dihasil selama ini, tentang media arus perdana.

Media arus perdana dimiliki oleh syarikat-syarikat besar yang berhubung rapat dengan parti pemerintah; ia mengikut sahaja agenda politik parti kerajaan; ia tidak membenarkan perbahasan bebas atau laporan independen tentang pengkritik-pengkritik pemimpin kerajaan (termasuk pemimpin parti-parti Barisan Nasional yang tidak menerajui kuasa).

Ada waktu-waktunya media itu boleh sahaja keluar daripada batas etika yang paling asasi. Berita-berita utama tidak disiarkan ( blacked out ) atau diremehkan. Wartawan-wartawan media perdana tertekan antara mengikut agenda politik pemerintah itu atau prinsip profesionalisme yang dipegang. Media arus perdana di Malaysia terkongkong atau dicucuk hidung memang kita sangat maklum.

Istilah tepat, ringkas

Kearifan kita tentang media arus perdana ini menjadikan kita terlupa kewujudan media bukan arus perdana, juga boleh sebut "media alternatif". Memang belum ada kajian serta perbahasan panjang tentang peranan, bentuk laporan, aspek perniagaan, masalah serta halangan yang dialami oleh media bukan arus perdana.

Bagi saya, "media alternatif" memang wujud di negara ini. Sekurang-kurangnya sebagai satu kelompok umum sejenis senario media di luar lingkungan media arus perdana. Media alternatif wujud setidak-tidaknya sebagai kata nama untuk pembahagian atau identifikasi mudah di luar lingkungan itu. Kita boleh menggelar atau mengkelaskan gejala ini dengan nama-nama lain; misalnya "media bukan arus perdana", "media bebas" ( independent ), "media nyamuk" atau "media pembangkang".

Tetapi tidak ada satu istilah yang lebih tepat serta ringkas daripada "media alternatif". "Media bukan arus perdana" memang tepat untuk menggambarkan gejala itu tetapi istilah ini agak panjang. Barangkali kekeliruan kita timbul daripada perkataan "alternatif" sehingga kita rasa kekok atau tidak berselera menggunakannya.

Kita melihat alternatif sebagai pilihan yang 'lebih baik'. Tetapi melihat kualiti laporan serta persembahan media di luar arus perdana, tentunya sukar untuk dikatakan ia sebagai media yang lebih baik (sebab andaian kita media arus perdana sudah memualkan).

Apatah lagi jika 'media alternatif' itu dikaitkan, secara sedar atau tidak, dengan parti-parti pembangkang yang bergabung dalam Barisan Alternatif (BA). Gelaran atau konsep media alternatif dalam kupasan isu ini tidak kena mengena dengan BA walau banyak sekali laporan media di luar arus perdana itu menumpukan kepada kenyataan atau berita tentang parti-parti pembangkang.

Kita sepatutnya berpuas hati dengan istilah "alternatif" dalam Bahasa Inggeris; yakni sebagai satu lagi pilihan. "Alternatif" sebagai beza dengan "arus perdana". Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu. Memang ada sarjana media menggelarkan "media alternatif" dan "media arus perdana" apabila mereka membicarakan analisis peranan media di sesebuah negara. Untuk bacaan awal, saya kira buku The journalist as storyteller karya Ahmad Murad Merican, pensyarah kanan kajian media di Universiti Teknologi Mara sudah memadai.

Definisi

Bagaimanapun, ini tidak bermakna pembahagian-pembahagian lain tidak penting atau tidak wujud. Pembahagian "media alternatif" lawan "media perdana" ini hanya satu sudut pandang. Memang ada sudut-sudut pandang lain, seperti yang disebut "kewartawanan baik" dengan "kewartawanan buruk"; atau "kewartawanan prokerajaan" dengan "kewartawanan propembangkang"; atau "kewartawanan bebas" dengan "kewartawanan kerajaan" (agensi sebaran am milik awam); atau "kewartawanan dagang" atau "kewartawanan bukan berorientasikan untung" (perjuangan atau organisasi).

Saya nampak apabila kita menerima dua jenis pembahagian ini (alternatif dengan arus perdana), kita harus banyak menyelami kompleksiti media alternatif. Aspek ini yang lebih penting. Kita harus memberikannya definisi, skop, ciri-ciri dan ragamnya sebagaimana kita arif tentang kerencaman serta keruwetan media arus perdana.

Kita boleh melihat misalnya aspek-aspek perniagaan serta modal, latihan serta profesonalisme, atau tekanan politik serta kecondongannya ( bias ). Kita boleh melihat antaranya sikap media alternatif terhadap isu-isu jantina, agama, kaum atau hak asasi dalam konteks isu-isu utama tertentu di negara ini dalam period-period tertentu.

Aspek-aspek ini sangat penting digali, dibawa ke muka perbahasan dan difahami. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, memang isu media alternatif lebih besar liputannya berbanding sebelumnya. Tetapi berita dan analisis itu banyak tertumpu pada aspek tekanan kerajaan. Laporan seperti ini hanya sesuai untuk dimasukkan dalam buku-buku tebal tahunan organisasi-organisasi pejuang kebebasan media seperti RSF

(Wartawan Tanpa Sempadan) atau CPJ (Jawatankuasa Melindungi Wartawan).

Saya tidak pasti sejauh mana sekolah kajian media massa, yang semakin bercambah, di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan telah menyelami aspek-aspek penting di atas.

Tetapi saya kira kumpulan penerbit media alternatif (atau media bebas, seperti yang kita suka sebut) dan aktivis media bebas harus memberikan tumpuan serius dalam hal ini. Kita perlu kumpulan kajian, misalnya apa yang diusahakan oleh ISAI

(Institut Studi Arus Informasi) dan AJI (Aliansi Jurnalis Indepenen) di Jakarta, dan menerbitkannya untuk disebarkan kepada umum.

Inilah period yang paling sesuai — period menuntut hak kebebasan media dalam arus reformasi yang datang bersama tekanan pemerintah yang semakin autokratik.


FATHI ARIS OMAR, pernah bertugas bersama Malaysiakini.com, kini wartawan bebas. 'Tiada Noktah' cuba mengungkapkan isu-isu yang saling bergabung jalin antara media, wartawan, penerbitan, buku, teknologi maklumat dan sosio-politik negara kita. Penulis boleh dihubungi di faomar@yahoo.com