Kerajaan Kelantan yang dikuasai PAS sejak 1990 memang ada 'masalah serius' tersendiri. Masalah itu nampaknya sudah menjangkiti negeri jiran yang turut dikuasai parti Islam. KKN (korupsi, kolusi, nepotisme) barangkali dosa semua orang politik, Soeharto, Dr Mahathir dan PAS tidak terkecuali!

Lama sebelum penulis politik Mohd Sayuti Omar mendedahkan unsur-unsur penyelewengan dalam bukunya Hikayat Tok Guru dan Tiga Abdul dua tahun lalu, debat tertutup antara kumpulan pro-Kelantan dengan penentang KKN dalam parti itu pernah mengakibatkan adegan bertumbuk.

Kumpulan penentang KKN, kebanyakannya pula berada di luar Kelantan, dibelasah di tempat pertemuan itu atau sebaik sahaja selepas debat hangat (konflik sebenarnya!) yang diadakan di sebuah kem di negeri Serambi Mekah.

Sementara seorang ahli politik bertaraf ustaz yang disegani, anak seorang tokoh ulama di Kelantan, dikasari selepas membantah amalan KKN yang dikaitkan dengan kepimpinan Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ahli parlimen itu jatuh sakit dan kemudiannya meninggal dunia - dipercayai akibat sangat terkejut diperlakukan sekasar itu oleh orang PAS sendiri.

Seperti pemimpin Umno dalam kerajaan menyembunyikan amalan buruk KKN atau masalah pertembungan dalam parti, aktivis-aktivis PAS juga bijak menyorok insiden memalukan ini yang terjadi kira-kira 10 tahun lalu, yakni pada tahun-tahun awal selepas parti Islam berjaya merampas semula Kelantan. (Nota: Barisan Nasional menguasai negeri itu selama 12 tahun sejak 1978)

Apabila akhbar Utusan Malaysia tahun lalu mendedahkan kerajaan PAS Terengganu meluluskan projek 'ladang kelapa sawit' dan ternakan di kawasan seluas 9,635 ekar kepada beberapa orang kuat Harakah , penyakit yang pernah didakwa membiak di Kelantan dibimbangi merebak pula ke negeri jirannya.

Kesan ekologi

Saham terbesar, 90 peratus, syarikat North East Plantation yang memohon tanah itu dimiliki oleh Hishamuddin Yahya, pengarah urusan Harakah dan juga calon PAS dalam pilihanraya kecil Sanggang, Pahang pada awal 2000.

Sementara tabloid pro-Umno Risik pula mendakwa 40 peratus tanah yang diluluskan itu tidak sesuai untuk kelapa sawit kerana berkecerunan lebih 25 darjah dan tanah rezab hutan simpan kekal yang boleh "membawa kesan (kemusnahan) ekologi yang buruk."

"Kerana kroni, pengarah Perhutanan Terengganu pula terpaksa (mengambil) tindakan untuk membatalkan pewartawaan hutan simpan berkenaan (atas arahan kerajaan negeri)," lapor Risik pada awal tahun ini.

Tabloid ini mendakwa ia mendapat dokumen yang menunjukkan lima jabatan di peringkat negeri membantah projek itu, kecuali dengan beberapa syarat dan pindaan, dalam satu mesyuarat pada 23 Ogos 2000. Projek ini diluluskan dalam mesyuarat exco Terengganu pada 15 Nov tahun berkenaan, selepas tindakan susulan daripada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun tabloid itu juga mendakwa "bantahan dan pandangan jabatan-jabatan berkenaan jelas diperlekeh oleh kerajaan PAS Terengganu" dan seterusnya mendakwa syarikat itu "nampaknya jauh lebih berpengaruh" jika dibandingkan dengan pegawai kanan lima jabatan tersebut.

Dalam keluaran terbaru (Ogos-Sept), Risik melaporkan kerajaan Kelantan "menyelewengkan konsesi balak" berjumlah RM300 juta sebagai dana untuk menampung gerak kerja PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Konsesi balak

Konsesi seluas 10,000 ekar selama 10 tahun di Hutan Simpan Lebir diberikan kepada pihak ketiga oleh Akademi Yakin Sdn Bhd, sebuah agensi milik kerajaan negeri yang ditubuh untuk mengurus sebuah kolej kerajaan Kelantan yang belum wujud, Kolej Islam Antarabangsa (Kias).

Konsesi itu dibayar sebanyak RM10 juta sedangkan anggaran sepatutnya, menurut satu aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), berjumlah RM300 juta.

Menurut laporan Risik lagi, kawasan (balak) ini diberikan tanpa tender. Dipercayai kelulusan (ini) atas campurtangan seorang anggota exco (kerajaan Kelantan) berpengaruh setelah (ahli) lembaga Akademi Yakin mengadakan mesyuaratnya pada 5 Mei lalu di Kota Bharu.

Sementara Azaha Abdul Rani, dalam laporan kepada BPR, berkata: "Oleh itu adalah diyakini penyelewengan dan rasuah telah telah berlaku di dalam penyerahan konsesi balak kepada (pihak ketiga) Yakin Mother Earth Sdn Bhd."

Laporan BPR ini dan dakwaan tabloid pro-Umno itu seakan-akan sama dengan laporan Ahmad Lutfi Othman kepada agensi itu Oktober tahun lepas dan juga tulisan dalam akhbar terbitannya Memo 20 .

Misalnya, projek jalan di Sekinchan yang diberikan oleh kerajaan Selangor bernilai RM92.5 juta, sedangkan taksiran Jabatan Kerja Raya (JKR) sekitar RM50 juta sahaja. Begitu juga projek memasang paip air dari Semenyih ke Banting yang ditawarkan pada harga RM82.4 juta, sedangkan taksiran awal hanya RM40 juta.

Dalam edisi sebelum ini, Risik mendakwa menteri besar Kelantan meluluskan projek berjumlah RM667.5 juta kepada sebuah syarikat yang dimiliki, antaranya oleh besannya sendiri, yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun.

Projek raksasa

Abdul Fatah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat ini, Pubel U-Home Everight Sdn Bhd pada 15 Mac baru lalu. Sementara ketua eksekutifnya dipegang oleh seorang pemimpin PAS, Mohd Zahari Awang yang berasal dari Pulau Belanga. Menurut tabloid itu, nama syarikat tersebut 'Pubel' adalah singkatan daripada 'Pulau Belanga.'

Projek pembangunan bandar pengangkutan automotif bersepadu (Afta City) di kawasan 220.7 hektar di Gual Periok, Rantau Panjang, dakwa tabloid itu lagi, sukar dijayakan oleh syarikat berkenaan yang tidak berpengalaman dan hanya bertujuan meraih wang segera (apabila dijual kepada syarikat lain) menjelang pilihanraya umum akan datang.

Projek mega Afta City diisytihar tiga bulan selepas satu projek raksasa yang diumumkan pada Januari tahun ini. Nik Aziz pernah meluluskan projek 'menara berkembar Kelantan' bernilai RM100 juta dan dijangka siap menjelang 2004. Menurut Risik (Feb-Mac), projek menara Kelantan itu diberikan kepada syarikat yang tidak aktif (dormant), tidak berpengalaman dan telah rugi.

Tinjauan tabloid itu mendapati syarikat tersebut, Finconsult Sdn Bhd, tidak mempunyai aset dan "tidak menggambarkan ia sebuah syarikat yang layak diberi projek sebesar itu."

Selain dua projek mega ini yang diragui kejayaannya, Kelantan sebelumnya pernah gagal membangunkan projek besar di Pengkalan Kubor, Tumpat. Projek pembangunan bandar baru di kawasan 7,200 hektar yang bernilai RM2.3 bilion terpaksa dibatalkan.

Selepas projek itu dikecilkan kepada 174 hektar dengan belanja RM200 juta, syarikat yang dipilih MJS Partners Sdn Bhd masih gagal menjayakannya walaupun RM12 juta telah hangus. Tabloid Risik merumuskan "penyelewengan disyaki berlaku dalam pelaksanaan projek (itu)."

Tabloid itu juga pernah memetik kenyataan pemimpin Umno yang mendakwa Kelantan 'menggadai' tanah milik kerajaan negeri kepada 40 syarikat kroni untuk dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit sejak tiga tahun lalu.

Disenaraihitam

Tindakan itu, lapor Risik , mengulangi apa yang pernah berlaku ketika PAS memerintah Kelantan 20 tahun sebelum ini (sebelum ditewaskan 1978) apabila pemimpinnya menggadai kawasan hutan balak di situ.

Di Terengganu pula, dakwa tabloid pro-Umno itu lagi, kerajaan pimpinan Abdul Hadi Awang meluluskan kawasan pembalakan seluas 41,000 ekar dengan nilai RM260 juta kepada seorang pembalak yang telah disenaraihitamkan kerana pernah menceroboh kawasan yang tidak digazetkan.

Hutan Simpan Petuang dan Tembat di Kenyir, Ulu Terengganu, diberikan kepada SPT Sdn Bhd pada 8 Julai tahun lepas dan surat kelulusan itu dikeluarkan oleh pengarah jabatan perhutanan negeri pada 7 Oktober tahun yang sama.

"Siasatan Risik menunjukkan berlaku banyak penyelewengan dalam pemberian projek ini, khususnya amalan pilih kasih (nepotisme) kepada SPT Sdn Bhd," dakwa akhbar itu.

Antaranya, syarikat itu diberikan tempoh 60 hari untuk membayar RM5.3 juta sebagai syarat kos projek. Tetapi empat syarikat lain yang berminat diberikan tempoh selama 14 hari sahaja.

Cuma, sebagai akhbar yang digerakkan oleh tukang-tukang kempen Umno, Risik tidak pernah membangkitkan penyelewengan pentadbiran Barisan Nasional. Malah, berdasarkan gaya laporan-laporannya, ia kerap juga memuatkan tulisan-tulisan yang memenuhi ciri-ciri propaganda BN. (Media kerajaan BN antaranya suka membesar-besarkan isu remeh, meremeh-remehkan isu besar atau melencongkan isu-isu tertentu).

Bagaimanapun pendedahan demi pendedahan amalan KKN di Kelantan dan Terengganu melalui tabloi Risik sudah memadai bagi menunjukkan beberapa sisi buruk PAS yang kini dijulang sebagai parti alternatif kepada BN. Dalam demokrasi yang sihat, akhbar-akhbar harus dibenarkan bersaing untuk mendedahkan keburukan kerajaan demi menjaga kepentingan awam.


FATHI ARIS OMAR, pernah bertugas bersama Malaysiakini.com, kini wartawan bebas. 'Tiada Noktah' cuba mengungkapkan isu-isu yang saling bergabung jalin antara media, wartawan, buku, penerbitan, teknologi maklumat dan sosio-politik negara kita. Penulis boleh dihubungi di faomar@yahoo.com