"Doktor Gila!" Dr Lim Keng Yeik melenting memarahi media arus perdana kerana membuat laporan yang yang berbeza-beza berhubung sikapnya dalam isu penggunaan bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

"Akhbar berbahasa Cina melaporkan saya menentang dasar baru itu. Akhbar bahasa Melayu pula menyatakan saya menyokongnya manakala akhbar Inggeris pula menuduh saya chauvinistik dan oportunis. Mereka menggambarkan saya seolah-olah seorang "doktor gila". Begitu sekali Presiden parti Gerakan itu melenting menyalahkan media.

Begitulah sebuah drama politik Malaysia, di penyudah ceritanya medialah yang akan dipersalahkan. Skrip Dr Lim dalam opera ini tidak boleh lari dari stereotaip ini. Beliau tidak bersalah sebaliknya yang tersilap ialah media kerana tersilap lapor kenyataannya.

Persoalannya sekarang benarkah medai tersilap lapor? Kalau hanya sebuah akhbar melaporkan demikian, mungkin dakwaan "doktor gila" (sekadar meminjam kata-kata Dr Lim) ini benar, tetapi bagaimana kalau semua akhbar melaporkan perkara yang sama?

Seringkali orang politik berselindung di sebalik 'kesilapan' media untuk menutup pekung di dada sendiri. Sudah menjadi trend di negara ini seseorang pemimpin akan meletup atau melatah, kemudian akan menyedari kesalahan atau kesilapannya, lalu esok harinya akan membuat penafian. Seluruh kata-katanya akan dinafikan dan wartawan akan dipersalahkan sebagai tersilap laporan atau salah tafsir.

Tindakan mahkamah

Penyakit menafi dan menyalahkan media ini sudah sebati dalam diri para pemimpin negara ini. Mereka tidak berani bertanggungjawab pada kata-kata sendiri. Bila mahu melepaskan tengkuk sendiri, mereka akan bermain wayang. Mereka akan kekal sebagai hero yang bersih dan suci, manakala yang salah dan kotor ialah media.

Sepatutnya kalau mana-mana pemimpin merasakan media tersalah lapor hingga memalukan dirinya seolah-olah "seorang bodoh atau doktor gila", mengapa tidak mengambil tindakan mahkamah? Mengapa tidak dibersihkan nama secara terbuka dan berbudi bahasa?

Sebenarnya kemarahan Dr Lim terhadap media berhubung isu bahasa Inggeris di SJKC ini adalah sebahagian daripada opera parti itu. Kalangan orang politik percaya memang itulah pendirian parti Gerakan. Selama ini parti pelbagai kaum yang dikuasai oleh kaum Cina itu sering menjadi 'pembangkang' dalam Barisan Nasional (BN).

Kerapkali dalam isu-isu kontroversial termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Gerakan menongkah arus BN. Tidak hairan kalau kali ini parti itu sekali lagi bertentangan pendapat dengan komponen-komponen BN yang lain.

Rakyat terbanyak lebih menghormati Gerakan berbanding MCA dan MIC yang seperti kerbau dicucuk hidung itu kerana ia lebih tegas, berani berpendirian sendiri. Bagaimanapun bila berlaku operasi SJKC ini, Gerakan dilihat tidak lebih daripada "parti gila dan bodoh".

Rentak Pemuda Umno

Kalau Presidennya tidak melenting, mungkin tanggapan umum pada parti ini tidak begitu buruk. Kalau Dr Lim dan Gerakan terus berpegang pada pendirian asalnya menentang dasar baru pendidikan itu kerana bimbangkan ia tidak memberi kesan baik kepada mutu pembelajaran di sekolah-sekolah berkenaan, beliau dan partinya akan lebih dihormati.

Namun bila beliau terikut-ikut rentak Pemuda Umno yang tidak konsisten pendiriannya dan berperang mulut dengan Parti Progresif Rakyat (PPP), isu ini meletup menjadi tidak tentu arah.

Akhirnya Gerakan menjadi mangsa. Komuniti Cina melihatnya sebagai parti yang tidak konsisten dan orang Melayu menganggapnya sebagai chauvinis dan oportunis.

Isu bahasa Inggeris ini sebenarnya telah memerangkap kerajaan sendiri. Kerajaan dilihat sebagai tidak berpandang jauh, bertindak terburu-buru,tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan dan menimbulkan perbalahan di kalangan komponen-komponen BN. Lebih menyayat hati, pak pacaknya dalam opera ini, Pemuda Umno terperangkap dalam pendiriannya yang tidak konsisten.

Pihak yang akan meraih keuntungan ialah Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina (Jiao Zong) dan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang muncul sebagai juara kaum itu.

Opera politik

Parti-parti pembangkang yang melihat dengan senyuman perbalahan antara Gerakan, PPP dan nasionalis-nasionalis Melayu itu pula mendapat modal baru untuk memburuk-burukkan kerajaan dan BN.

Bila lima buah parti yang berteraskan sokongan masyarakat Cina seperti MCA, Gerakan, SUPP, SAPP dan LDP gagal mencapai kata sepakat mengenai isu ini maka terpaksalah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan bagi pihak kelima-lima parti itu.

Keputusan kerajaan tetap bertegas meneruskan dasar pendidikan yang baru ini bagaimanapun pintu rundingan masih dibuka. Dan kaedah pelaksanaannya belum diputuskan.

Namun keputusan Dr Mahathir itu tidak mampu meleyapkan terus opera kelima-lima parti itu. Ia hanya nampak tenang dan sejuk dari luar namun gelodaknya berterusan, lebih-lebih lagi apabila pilihanraya umum mungkin diadakan tahun depan.

Kelima-lima parti itu bimbang isu ini berpanjangan dan kalau Dong Zong dan Jiao Zong sekali lagi berpihak kepada pembangkang, kemungkinan kekalahan di Lunas akibat daripada isu sekolah wawasan akan berulang lagi!