Puteri Umno: Bapak borek anaknya rintik
Ketua pergerakan wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz hairan mengapa dan bagaimana "budak-budak muda" boleh cepat sangat berkelahi dan berpecah-belah. Beliau seolah-olah naf bila merasa hairan dan bertanya pula mengenai sikap itu. Sudah geharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula itulah jawapan untuk Rafidah!
Rafidah seperti berpura-pura tidak tahu, sedangkan beliau sedar bahawa penyakit berpecah-belah, merebut jawatan, politik wang, tikam belakang, fitnah-memfitnah dan kata-mengata sudah menjadi tradisi dalam Umno.
Rafidah sendiri sudah melalui asam garam tradisi itu. Beliau pernah dicabar dan mencabar. Beliau pernah menang dan tewas, kemudian menang semula dalam perpecahan dan perebutan pucuk pimpinan pergerakan yang dipimpinnya sekarang.
Apa yang berlaku dalam Puteri Umno sekarang tidak perlu dihairankan. Ia adalah warisan dari pergerakan dan sayap yang ada dalam Umno. Puteri Umno tidak boleh dipersalahkan, bapak borek anaknya rintik.

"Budak-budak" belajar daripada orang tua. Puteri-puteri ini mencontohi apa yang dilakukan oleh abang, kakak, makacik, pakcik, datuk dan nenek mereka di dalam Umno!
Perebutan jawatan dalam pergerakan yang baru setahun jagung itu tidak sepatutnya dihairankan, jauh sekali daripada dihalang. Biarkan ia berlaku di atas nama untuk menyuburkan demokrasi di dalam parti. Biarkan ketua penaja, Azalina Othman dicabar oleh Mastina Abdul Hamid atau sesiapa sahaja. Semua ahli Umno berhak untuk bertanding apa-apa jawatan dalam parti.
Apa yang berlaku dalam Puteri Umno sekarang sangat menarik dibincangkan. Baru hendak mengadakan pemilihan pucuk pimpinan yang pertama, ia sudah dilanda krisis. Sejak awal lagi penubuhannya, sayap baru Umno ini tidak habis-habis dilanda kontroversi.
Bermula dari penubuhannya yang kurang disenangi Wanita Umno, krisis dalam barisan exconya hinggakan setiauasaha kerja dan bendaharinya silih berganti hingga mewujudkan kumpulan 'Enam Jahanam'.'
Kemuncaknya ialah apabila meletup isu "Azalina Lesbian" seperti yang didakwa oleh Khalid Jefri. Kini krisis dalam Puteri Umno makin gawat bila bekas orang kanan Azalina membuat aduan polis terhadap apa yang didakwanya sebagai salahlaku ketua penaja Puteri Umno itu.
Nampaknya terlalu banyak kepincangan dalam sayap terbaru Umno ini. Namun begitu, dalam pengurusannya yang kelam-kabut dan krisis kepimpinan yang tidak kunjung padam, terbukti Puteri Umno berjaya menjalankan tugasnya dengan berkesan untuk menarik wanita muda menyertai parti itu. Keahliannya menurut Azalina telah melebihi 90,000 orang.
Puteri Umno agresif menjalankan programnya termasuk berkempen dalam beberapa pilihanraya kecil. Azalina diiktiraf kemampuannya bila Majlis Tertinggi parti memutuskan jawatan ketua Puteri Umno diberikan taraf yang sama dengan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Umno automatik menjadi naib presiden parti.
Konflik dalam kepimpinan Puteri Umno ini pada awalnya cuba dibendung dan dilindung tetapi akhirnya rahsia itu terbocor juga. Apabila pelakon/pengarah Erma Fatima bersama-sama beberapa bekas exco pertubuhan itu 'berperang' dengan Azalina secara terbuka di media massa, pekung di dada Puteri Umno terserlah.
Cara kepimpinan Azalina dikatakan keras dan angkuh, enggan menerima teguran. Kini krisis itu makin serius, sudah terbentuk 'team A' (kumpulan Azalina) dan 'team B' (puak Mastina). Semakin hampir hari pemilihan, kempen akan menjadi semakin hangat dan puak yang menentang Azalina berjanji akan mendedahkan lebih banyak pekung Azalina.
"Budak-budak" setahun jagung ini akan pergi ke pejabat-pejabat akhbar, membuat laporan polis dan menjelajah ke seluruh bahagian Umno untuk memburukkan antara satu sama lain bagi meraih undi.
Nampak seolah-olah krisis ini sudah tidak dapat dikawal lagi. Pucuk pimpinan Umno, terutamanya Presiden dan timbalannya setakat ini masih membisu, sekadar memerhatikan gelagat puteri-puteri mereka.
Adakah Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad akan membiarkan sahaja Azalina yang menjadi pilihannya itu dibelasah dan dijatuhkan oleh musuh-musuhnya? Mungkinkah beliau akan bersuara tidak lama lagi untuk meredakan keadaan? Kita lihat sejauh mana 'jantan'nya Mastina dan kumpulan 'Enam Jahanam' apabila ditegur oleh presiden parti.
Adakah team B ini akan menikus atau terus mara untuk menghapuskan kepincangan yang mereka dakwa berleluasa dalam Puteri Umno? Diharapkan Mastina dan rakan-rakannya tidak 'tersangkut' sebagaimana sifat Pemuda Umno, Wanita Umno dan tukang karut-tukang karut lain yang akan membisu bila dijeling oleh Presiden.
Nampaknya sepak terajang dan nafsu politik "budak-budak" lebih hebat dari politik orang-orang tua!
AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.