Umno terus melakukan perbuatan sumbang dan songsang. 'Sumbang politik' Umno kali ini dilakukan dalam menangani konflik Puteri Umno. Kesongsangan itu terjadi bila lembaga disiplin parti itu menghukum seorang ahli Puteri Umno, Elly Zalilah Yusof di atas 'kesalahan' membuat laporan polis dan mendedahkan kepincangan dalam akaun kewangan sayap baru parti itu.

Elly yang merupakan bekas pembantu peribadi Ketua Penaja Puteri Umno, Azalina Othman Said diberikan surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya kerana melanggar tataetika ahli Umno. Beliau dikehandaki mengadap lembaga itu pada 2 Oktober ini.

Tidakkah tindakan lembaga disiplin Umno itu songsang dan sumbang? Sepatutnya tindakan segera diambil ke atas Azalina kerana beliau didakwa melakukan salah laku tetapi perkara sebaliknya dilakukan. Pengadu pula dikenakan hukuman manakala yang kena adu atau tertuduh lepas bebas.

Lembaga disiplin itu sepatutnya mengambil langkah segera menyiasat Azalina, bukannya melengah-lengahkannya hingga menimbul ketidakselesaan dan kesangsian di kalangan ahli-ahli Umno. Hanya pada 26 September Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan siasatan ke atas Azalina sedang dilakukan.

Pengumuman beliau itu dibuat serentak dengan tindakan surat tunjuk sebab yang dikenakan ke atas Elly. Nampak seperti ada elemen 'balas dendam' dan 'ugutan' di sini. Pucuk pimpinan Umno menghantar isyarat kepada ahli-ahli Puteri Umno supaya jangan lagi mendedahkan kelemahan Azalina dan kepincangan dalam pergerakan itu di khalayak ramai; jika engkar akan dkenakan tindakan!

Anwar dan Ezam

Apa yang dihadapi oleh Elly sekarang adalah ulangan kepada apa yang pernah berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Ezam Mohd Nor sebelum ini. Anwar yang mengadu kepada polis mengenai fitnah yang dilakukan terhadapnya, namun beliau pula yang disiasat dan akhirnya dihukum penjara. Begitu juga yang berlaku ke atas Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Ezam. Beliau mendedahkan dan membuat laporan polis berhubung dakwaan rasuah ke atas seorang menteri dan seorang pemimpin Umno, tetapi sebaliknya beliau didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi dan kini merengkok di penjara selama dua tahun.

Nasib Anwar dan Ezam nampaknya menimpa Elly walaupun kes ahli pergerakan Puteri Umno itu jauh lebih ringan dan tidak memberi kesan besar kepadanya. Paling teruk pun Elly hanya akan dikenakan amaran atau digantung keahliannya. Namun dari aspek moral Umno, implikasinya sangat besar. Umno akan dilihat oleh rakyat sebagai sebuah parti yang melindungi kepincangan dan salah laku para pemimpinnya. Umno akan dicap sebagai parti yang songsang!

Umno sepatutnya belajar dari pengalaman lalu. Imejnya sudah rosak teruk bila ia terus-menerus melindungi kepincangan dan salah laku para pemimpinnya walaupun terdapat bukti-bukti nyata menunjukkan pemimpin berkenaan jelas melakukan rasuah dan sudah tersenarai dalam senarai 'wanted' Peguam Negara.

Kini songsang politik itu dilakukan ke atas puterinya yang masih mentah dalam sepak terajang politik. Elly dikatakan bersalah kerana melanggar peruntukan 3, 4.1 dan 4.2 tataetika ahli-ahli Umno bila membuat sidang akhbar di Hotel Quality pada 12 September lalu.

Lembaga disiplin itu merasakan sidang akhbar tersebut telah mengancam atau mengugut Azalina dengan tujuan untuk mendorong atau memaksa orang untuk tidak mengundi beliau dalam mana-mana pemilihan parti.

Dakwaan Elly

Elly di dalam siding akhbar tersebut telah mempersoalkan pendaftaran empat buah van Puteri Umno di atas nama abangnya, Azman Othman dan sahabat karibnya, Datin Sabrina Syed Agil. Beliau juga mendedahkan beberapa kepincangan Azalina termasuk unsur-unsur apa yang didakwanya sebagai 'gangsterisme' ke atas ahli-ahli Puteri Umno yang menentangnya.

Dakwaan Elly ke atas Azalina itu serius. Ia boleh membabitkan perbuatan pecah amanah dan jenayah dan lembaga disiplin Umno sepatutnya bertindak segera dan tegas. Malangnya lembaga itu bertindak sebaliknya, memilih untuk mencari kesilapan Elly yang sepatutnya dihargai kerana cuba menyelamatkan parti daripada diperkudakan oleh individu untuk kepentingan sendiri.

Tindakan lembaga itu ke atas Elly dijangka akan menghangatkan kontroversi dalam pemilihan pucuk pimpinan Puteri Umno ini. Sedangkan dakwaan kononnya berlakunya sekatan atau halangan bagi ahli-ahli Puteri Umno untuk mencalonkan orang lain bagi jawatan nombor satu itu belum lagi terjawab, kini muncul pula isu baru yang menunjukkan seolah-olah pucuk pimpinan Umno beria-ia benar mahu memastikan Azalina diangkat sebagai ketua pergerakan itu.

Kontroversi ini akan makin hangat bila Azalina tidak membersihkan namanya dari dakwaan yang dibuat oleh Elly itu. Arang yang dipalit oleh penulis Khalid Jeffri ke atas mukanya berhubung dengan isu lesbian belum dibuang, kini timbul pula dakwaan salah laku yang bukan sahaja akan menjejaskan imejnya tetapi turut merosakkan nama baik Umno.

Bayangkan apa akan berlaku bila lembaga disiplin yang sedang menyiasat Azalina mengumumkan dakwaan atau tuduhan Elly tidak berasas dan membenarkan peguam itu terus bertanding dalam pemilihan pada 1 November itu.