Alangkah ruginya orang Melayu, tidak pandai dan berani mempertahankan hak sendiri walaupun kuasa ada di tangan. Orang Melayu nampaknya tidak pandai menggunakan kuasa politik mereka sebaik-baiknya. Mudah sangat tunduk pada kata-kata kerajaan atau lebih tepat kata-kata Umno.

Mungkin orang Melayu patut belajar daripada orang Cina bagaimana untuk 'berpolitik' dalam segala bidang. Jelas sekali orang Cina tahu bila masanya untuk menggunakan pengaruh dan kuasa politik mereka. Ketika orang Melayu semuanya mengangguk bagaikan seekor lembu bodoh yang dicucuk hidungnya, orang Cina menggunakan kebijaksanaan sepak terajang politik mereka untuk mengekalkan dan menguasai hak mereka.

Itulah yang terjadi dalam isu penggunaan bahasa Inggeris di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) baru-baru ini. Orang Cina termasuk parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) telah 'bermain wayang' dan 'bermain tarik tali'. Mulanya mereka bersetuju, kemudian membantah dan akhir sekali berkompromi dengan jalan tengah yang jelas memberikan 'kemenangan besar' kepada mereka.

Lihat sahaja gambar Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik di akhbar-akhbar bila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan persetujuan kerajaan membenarkan Sains dan Matematik diajar dalam dua bahasa bahasa Cina dan Inggeris di SJKC; Dr Ling tersenyum puas. Tergambar kemenangan di wajahnya. MCA muncul sebagai 'hero' orang Cina walaupun sebelum itu DAP dan pelbagai pertubuhan sekolah-sekolah Cina membantah keras dasar baru Kementerian Pendidikan itu.

Langkah sumbang

Sedang orang Cina terutamanya MCA meraikan 'kemenangan' itu, orang Melayu sekadar mengeluh dan menggeleng-gelengkan kepala. Ramai yang tidak percaya kerajaan akan tunduk pada desakan-desakan itu. Ramai yang percaya kerajaan tidak akan berganjak daripada keputusannya. Apa sudah jadi? Di mana ketegasan yang dilaung-laungkan sebelum itu?

Bagi majoriti orang Melayu tindakan kerajaan berkompromi dengan MCA dalam isu ini adalah satu langkah sumbang. Bagi mereka kerajaan yang dikepalai oleh Umno takut pada desakan kumpulan-kumpulan pendesak itu. Mereka menganggap kerajaan sanggup menggadai kepentingan bahasa kebangsaan tetapi takut untuk mengurangkan penggunaan bahasa Cina di SJKC.

Dalam diam mereka tertanya-tanya mengapa bahasa Melayu dikorbankan. Mengapa tidak diberikan layanan yang sama? Kalau dwi-bahasa boleh digunakan untuk subjek matematik dan sains di SJKC, mengapa tidak ia juga dilakukan di sekolah kebangsan?

Orang Melayu tidak boleh marah pada keputusan kerajaan itu. Mereka perlu menyalahkan diri sendiri. Pemikir, pejuang bahasa Melayu, sasterawan, orang politik termasuk pemimpin-pemimpin Umno perlu menyalahkan diri sendiri. Sikap dan tindakan mereka sebenarnya yang menyebabkan bahasa ibunda sendiri terkorban. Sikap mereka sendiri yang menyebabkan pandangan dan buah fikiran mereka tidak dipandanag serius oleh kerajaan.

Keputusan kerajaan itu mungkin lebih didorong oleh agenda politik. Dr Mahathir tahu isu pelajaran begitu sensitif bagi orang Cina. Ia ibarat menjolok sarang tebuan. Buktinya bila isu sekolah wawasan dimainkan, BN telah kecundang dalam pilihanraya kecil di Lunas.

Tentunya mimpi buruk di Lunas masih menghantui Dr Mahathir lebih-lebih lagi di penghujung kariernya sebagai Perdana Menteri ini. Jangan lupa pilihanraya umum mungkin diadakan pada tahun depan; ini menjadikan isu bahasa Inggeris ini sangat kritikal untuk kepentingan politik BN.

Menang sorak

Kita tidak cemburu dengan 'kemenangan' yang dikecapi oleh orang Cina dalam isu bahasa Inggeris ini. Memang sewajarnya mereka menang kerana mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan hak mereka. Yang dikesalkan ialah sikap orang Melayu, tidak berani mati untuk mempertahankan jatidiri dan hak sendiri. Bagaimana pula nasib orang India?

Sepatutnya orang Melayu, Cina dan India bergabung membantah isu ini, bukannya melepaskan tengkuk masing-masing sahaja kerana banyak cara lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Begitulah adanya, orang Melayu sering dikorbankan untuk kepentingan politik BN terutamanya di saat pengaruh Umno di kalangan kaumnya sendiri masih belum pulih. Bila Umno 'bertongkatkan' MCA dan Gerakan, beginilah jadinya. Kita akan menang sorak tapi perlahan-lahan segala kepentingan, hak dan kampung akan tergadai.

Orang Melayu tidak bodoh tetapi lembut dan berhemah tinggi hingga kadang-kala tolak-ansurnya tidak bertempat.