Pemimpin yang membenarkan ahli politik di sekelilingnya mengamalkan rasuah, walau dia sendiri tidak berbuat demikian, lebih merosakkan berbanding jika dia sendiri terbabit. Pemimpin ini nampak bersih tetapi berdiam diri terhadap keburukan orang di kelilingnya, begitu hujah ahli sosiologi terkenal Syed Hussein Alatas.

Memang sukar mencari bukti Perdana Menteri terlibat dalam amalan rasuah. Tetapi bagaimana sikapnya terhadap amalan rasuah pemimpin-pemimpin kanan kerajaan yang disukainya?

Bekas ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah, Shafie Yahya, dua tahun lalu mendedahkan Dr Mahathir Mohamad pernah menghalangnya meneruskan siasatan terhadap ketua Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri apabila ditemui wang tunai yang banyak di dalam laci meja pejabatnya. Orang yang sama, Ali Abul Hassan Sulaiman, kemudiannya dilantik sebagai Gabenor Bank Negara, sebelum Dr Zeti Akhtar Aziz.

Mohamad Ezam Mohd Nor, kini dihukum penjara dua tahun di Kajang, memberitahu: "Siasatan [BPR] tidak dapat dikemukakan tanpa 'restu' Perdana Menteri." Memang ada siasatan dijalankan namun bukan untuk dihadapkan di mahkamah serta dihukum jika sabit kesalahan, "tetapi ia [siasatan itu] menjadi komoditi tukaran kesetiaan kepada Perdana Menteri".

Tambah bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim lagi: "Saya sendiri pernah melihat [membaca] laporan BPR mengenai perolehan dan harta semua wakil rakyat Barisan Nasional di Selangor. Berdasarkan laporan itu, hampir semua [wakil rakyat ini] boleh didakwa [di mahkamah].

"Namun, bukan itu tujuannya [siasatan BPR]. Tujuan laporan BPR terhadap pemimpin politik ialah untuk mengikat kesetiaan mereka kepada Perdana Menteri," kata Ezam kepada penulis ini dalam satu wawancara eksklusif.

Isu Menteri Besar

Cerita aktivis Pemuda Keadilan ini mengingatkan saya perihal wakil-wakil rakyat Kedah yang beriya-iya hendak mempertahankan kepimpinan Menteri Besar Osman Arof. Selepas dipanggil menemui Dr Mahathir, seorang demi seorang menyatakan persetujuan untuk menerima Sanusi Junid seperti disyor oleh Perdana Menteri.

Khabarnya, mereka terpaksa akur kehendak Dr Mahathir itu apabila "ditunjukkan fail (harta) masing-masing (yang disyaki melibatkan rasuah)."

Cerita Ezam lagi: "Semasa menjadi setiausaha politik [Anwar], saya sendiri melihat bagaimana beliau membawa laporan BPR mengenai Perwaja kepada Perdana Menteri. Saya diberitahu oleh Anwar ketika itu, Perdana Menteri langsung tidak menunjukkan perhatian serius terhadap laporan itu. Malah beliau [Mahathir] tidak pun membuka fail siasatan [ke atas Perwaja] tersebut ketika [dokumen itu] diberikan kepadanya,"

Bagaimana pula kedudukan dua menteri besar PAS di Kelantan dan Terengganu? Apakah mereka walau dianggap tok guru yang warak juga boleh dikategorikan dalam maksud ahli sosiologi tersohor yang mengkaji rasuah itu?

Nik Aziz Nik Mat, pada 1992, dilihat cuba melindungi pemimpin-pemimpin PAS yang mengambil kepentingan ekonomi daripada pentadbiran baru sejak 1990. Beliau tidak senang dengan usul serta pendedahan para perwakilan PAS yang mengkritik kerajaannya dalam satu muktamar tahunan, yang kebetulan diadakan di negeri itu.

Hikayat Tiga Abdul

Orang ramai menghormatinya tetapi bagaimana tanggapan buruk amalan KKN (rasuah, kronisme dan nepotisme) di kalangan pemimpin-pemimpin kanannya? Isu ini sudah lama menjadi buah mulut penduduk Kelantan. Sayuti Omar, penulis politik, menerbitkan sedikit-sedikit isu KKN ini dalam Hikayat Tok Guru dan Tiga Abdul (cetakan tahun 2000).

Kini Abdul Hadi Awang dilihat sedang memikul kesan negatif KKN di kalangan ahli-ahli politik di keliling pinggangnya. Perlahan-lahan isu ini merebak kepada masyarakat akar umbi di negeri 'serambi Madinah' selepas ia sudah membiak di 'serambi Mekah' (Kelantan). Mujurlah wang royalti Petronas diambil (walau secara luar biasa) oleh kerajaan pusat; jika tidak, amalan KKN dipercayai akan lebih cepat marak di Terengganu.

Sedikit sebanyak saya telah mengupas beberapa kes KKN di dua negeri PAS itu dalam tulisan lepas (Kolum Tiada Noktah dalam malaysiakini ), berdasarkan laporan tabloid Risik: " KKN Kelantan, Terengganu macam Umno" . Tetapi sebenarnya banyak lagi kes yang tidak dilaporkan oleh media, sama ada arus perdana atau media bebas. Kenapa?

Jawapan kepada persoalan menarik ini akan mendedahkan kita beberapa perkara mendasar: (a) dinamika hubungan media dengan parti-parti politik, sama ada Barisan Nasional atau Barisan Alternatif; (b) komitmen kita, pengamal media, dan pembaca terhadap rasuah; (c) kesulitan untuk mengamalkan kewartawanan siasatan, khususnya dalam hubungan antara ahli politik dengan wartawan.

Walau isu KKN telah muncul seawal dua tahun pentadbiran PAS di Kelantan, tetapi tidak ada media yang melaporkannya sehinggalah terbitnya buku Sayuti itu. Isu ini turut membabitkan semangat kepuakan dalam parti itu, setidak-tidaknya antara kepimpinan PAS Kelantan dengan penentang KKN.

Ertinya, walaupun isu ini diketahui agak meluas di kalangan aktivis parti tetapi ianya tidak terbocor kepada media, khususnya bukti-bukti dokumen yang dikumpul ketika isu itu dibawa untuk dibahaskan. Dari sudut ini, aktivis PAS sama sahaja dengan pemimpin Umno mereka menggunakan isu KKN untuk politik dalaman.

Kurang kredibiliti

Dua majalah yang rapat dengan parti itu, Muslimah dan Dunia Islam (sekarang sudah tidak beroperasi), tidak melaporkannya. Begitu juga akhbar bebas Media Islam dan juga tabloid-tabloid mingguan yang memuatkan rencana politik.

Isu-isu ini tiba-tiba muncul dalam akhbar Risik yang sarat dengan propaganda Umno lalu kes-kes yang dikemukakan itu kurang kredibilitinya kerana sikap prasangka pembaca terhadap parti kerajaan itu. Kenapa tabloid atau majalah lain yang lebih bebas, misalnya Tamadun , Utusan Pengguna , Aliran Monthly , Perspektif Pedas (majalah berbahasa Mandarin) atau Cabaran , tidak melaporkannya?

Kenapa pula media arus perdana tidak memanjangkan isu ini seperti lazimnya isu-isu menarik tertentu dilaporkan sebagai susulan berita? Utusan Malaysia pernah membawa isu KKN ini pemberian tanah kepada pengarah urusan Harakah tahun lepas melalui kenyataan yang dibuat oleh seorang wakil rakyat Umno Terengganu, Rasol Wahid.

Kita boleh faham sesetengah tabloid 'bebas' itu sebenarnya tidak sanggup berdepan dengan PAS, mungkin kerana hubungan mesra pengarang dengan pemimpin parti atau penerbit mengharapkan pasaran di kalangan penyokong parti berkenaan. Oleh itu, mereka lebih suka mendiamkannya.

Hubungan mesra ini membenarkan wartawan mendapat maklumat mengenai KKN tetapi pendedahan ini nanti akan merenggangkan hubungan baik, misalnya untuk mendapat wawancara atau kenyataan media. Kemelut ini sangat besar dan kompleks (saya akan bincangkan dalam artikel yang lain).

Hal yang sama berlaku pada wartawan arus perdana, misalnya Malay Mail , yang membuat liputan jenayah. Mereka sentiasa bimbang untuk 'mengganggu polis' yang dijadikan sumber berita, termasuk maklumat eksklusif. Oleh itu, isu-isu keburukan polis tidak galak dilaporkan oleh wartawan meja jenayah.

Atau, pengamal media 'bebas' beranggapan KKN dalam Barisan Nasional jauh lebih parah dan mewabak, maka harus diberikan keutamaan yang tinggi, misalnya isu (dakwaan) rasuah menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo. Tetapi kenapa pula akhbar arus perdana turut tidak mendedahkan KKN PAS, musuh politik yang sering dijadikan sasaran?

Konspirasi

Baru-baru ini menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Rais Yatim, pernah cuba membangkitkan isu ini di Kelantan tetapi tiba-tiba diam seolah-olahnya ada 'konspirasi' di kalangan pengamal media arus perdana dengan pemimpin kerajaan untuk tidak membesar-besarkannya.

Apakah kerana mereka bimbang isu ini, yang jauh lebih serius dalam kerajaan BN, akan 'memakan tuan' apabila PAS diserang? Tetapi kenapa RTM membesar-besarkan isu kemiskinan di dua negeri pembangkang itu sedangkan ia juga berpotensi 'memakan tuan'? Atau, mereka sedang menunggu saat-saat yang sesuai untuk mengejutkan pemimpin parti pembangkang?

Selain faktor serta dinamik yang disebut tadi, walau wartawan beriya-iya mendedahkannya, memang sukar sebenarnya untuk mendapat maklumat KKN tanpa kerjasama orang dalam. Orang dalam pula tidak mudah berbuat demikian jika kepentingan politik atau ekonominya tidak tergugat oleh amalan KKN.

Saya bimbang KKN di Kelantan dan Terengganu tidak didedahkan kerana 'rasa terdesak' belum wujud di kalangan media bebas dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) seperti melalui Utusan Pengguna atau Aliran Monthly . Atau, kumpulan penentang KKN dalam parti Islam itu berasa kerosakan akibat rasuah 'masih boleh ditolak ansur.'

Apabila tiada pendedahan, KKN di dua negeri Pantai Timur itu berkemungkinan membiak lagi dengan berselindung di sebalik kepimpinan ulama dan juga keutamaan kita untuk membogelkan KKN dalam BN.

Media serta wartawan yang bertanggungjawab harus memikirkan isu-isu yang dibangkitkan ini dengan serius. Media, khususnya dalam perjuangan demokrasi dan kebebasan akhbar hari ini, tidak boleh dilihat cuba bersekongkol dengan KKN di kalangan pemimpin PAS semata-mata kerana ia diamalkan oleh 'sahabat kita' atau 'bukan musuh utama kita.' Sampai bila?

Satu hal lagi yang membantutkan pendedahan KKN ini, sama ada dalam PAS atau BN, ialah kemahiran amalan kewartawanan siasatan di kalangan media bebas (maksudnya, mereka benar-benar yang jujur). Nampaknya kita harus mempertingkatkan kemahiran setanding dengan kecanggihan selok-belok KKN itu sendiri.