Pertama kali dalam sejarah laporan tahunannya, Bank Dunia memasukkan satu bab khas, kepentingan media bebas untuk kemajuan ekonomi. Laporan Pembangunan Dunia menggariskan tiga faktor yang menambah keberkesanan media untuk kebaikan politik, ekonomi dan sosial: kebebasan, mutu dan keluasan sebaran (jangkauan).

"Aliran maklumat melalui media boleh mempengaruhi idea orang ramai, memantau perlakuan mereka, dan oleh itu membentuk khalayak pengundi [yang mendesak] untuk perubahan dan reformasi institusi," hujah bab 'Building institutions for markets' dalam laporan edisi 2002 yang terbit bulan lepas.

Kebebasan media, di tangan pemiliknya, menjadi faktor utama keberkesanan media kerana pemiliklah yang mengawal aliran maklumat dan justeru itu menghasilkan natijah ekonomi, politik serta sosial, tambah laporan berpengaruh itu lagi.

Penganalisis media yakin kawalan kerajaan "menyerong dan memperalat maklumat agar memihak kepadanya (kerajaan), memperkecilkan [peranan] pasaran dan menghalang pengguna serta pengundi daripada membuat keputusan yang arif maklumat."

Para pengarang laporan ini menunjukkan bukti wujudnya corak meluas pemilikan negara terhadap media di seluruh dunia. Selepas mengkaji lima akhbar dan lima stesen televisyen terbesar di 97 negara, didapati purata 30 peratus lima akhbar utama dan 60 peratus lima stesen dikuasai kerajaan. Manakala 72 peratus saham stesen-stesen radio pula di tangan kerajaan.

Laporan Bank Dunia itu berhujah, pembolotan maklumat di tangan kerajaan, atau kawalan ketat, merendahkan keberkesanan media untuk bertindak sebagai ejen 'semak dan imbang' sektor awam.

Kebebasan media

Atau dalam ungkapan lain, laporan bank itu menyebut "[media tidak bebas akan menyebabkan] lebih meluas rasuah, pentadbiran ekonomi yang lemah, pasaran kewangan yang kurang berkembang, hak politik terbatas untuk rakyat, dan hasil yang rendah dalam bidang pendidikan dan kesihatan."

(Di negara kita, isu kawalan media di tangan kerajaan atau parti kerajaan sudah jelas. Lihat misalnya tulisan-tulisan Malaysia: Ownership as control oleh pensyarah komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Wang Lay Kim atau Malaysia: In the grip of the government oleh wartawan BBC, Kean Wong)

Laporan Pembangunan Dunia itu juga menyatakan mutu media menjadi unsur utama masyarakat yang demokratik dan bebas, sementara persaingan pula penting untuk menatijahkan penghasilan media yang bermutu tinggi. Laporan itu mendapati di negara-negara yang mengawal media, kesan politik, ekonomi dan sosialnya jauh lebih buruk berbanding negara yang bebas persaingan medianya.

Capaian kepada maklumat, misalnya kempen sejagat untuk Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) boleh menjamin mutu media. Tanpa kebebasan maklumat, media gagal menyiasat isu-isu berbangkit dengan berkesan dan tidak berjaya menyalur berita kepada rakyat.

Oleh itu, pada hemat penulis ini, beberapa kumpulan kecil wartawan, seperti Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), Inisiatif Wartawan atau Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami) harus memberikan tumpuan khas kepada kempen FOIA khususnya dalam konteks menentang Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sikap rasuah

(Saya sendiri, bersama seorang teman, akan menerbitkan buku khas tentang isu ini, awal tahun depan, bertajuk Rahsia Kotak Ezam . Ia memuatkan wawancara eksklusif dengan ketua pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor, yang kini dipenjara, tentang sikap rasuah Perdana Menteri dan juga temubual tentang kebebasan maklumat dengan peguam hak asasi, Sivarasa Rasiah, selain laporan tentang kes-kes OSA sejak 1976.)

Faktor ketiga untuk meningkatkan keberkesanan media menurut laporan itu lagi ialah sebaran meluas. Buat masa ini, berdasarkan edaran akhbar, rakyat di negara-negara maju 'mempunyai peluang 25 kali ganda untuk membaca akhbar harian' berbanding misalnya rakyat di negara-negara Afrika. Oleh itu, Bank Dunia menyarankan sekatan untuk pengedaran dan perniagaan media (seperti kawalan permit) harus dihapuskan.

Bab kebebasan media dalam laporan pembangunan Bank Dunia jelas sekali menunjukkan keyakinan institusi antarabangsa terhadap peranan media dalam kesejahteraan manusia. Bank ini juga - walau bukan sebuah institusi kerajaan - sedang berusaha untuk melaksanakan FOIA, instrumen ketelusan yang selalunya digunakan untuk mengukur kebebasan maklumat kerajaan.

Selain laporan tahunan ini, Bank Dunia turut menerbitkan laporan khas bertajuk The right to tell - the role of the mass media in economic development awal bulan ini. Buku yang memuatkan 19 bab itu menunjukkan dengan jelas serta meyakinkan analisis dan kajian saintifik peranan media bebas dalam merancakkan kemajuan ekonomi serta mengurang kemiskinan.

Antara pengarang buku ini, pemenang Hadiah Nobel dan bekas ketua ekonomi bank itu Joseph Stiglitz, pengarang Irrational exuberance Robert Shiller, dan penerima Hadiah Nobel kesusasteraan Gabriel Garcia Marquez. Penulis dari negara-negara membangun seperti bekas Soviet Union, Thailand, Bangladesh, Mesir dan Zimbabwe turut menyumbang.

Keselamatan negara

"Kajian ini lahir di saat-saat paling sesuai, sekurang-kurangnya kerana dua sebab," kata Timothy Balding, ketua pengarah Persatuan Akhbar Sedunia (WAN), sebuah badan aktivisme media di Paris, ketika melancarkan buku ini pada 7 Nov.

"Pertama, selepas serangan 11 Sept di Amerika Syarikat, kebebasan maklumat sering menjadi mangsa dalam kempen yang dikatakan untuk menentang keganasan, apabila kkerajaan [di seluruh dunia] mengambil langkah untuk membataskannya [kebebasan maklumat] atas nama keselamatan negara.

"Sebenarnya, seperti hasil kajian Bank Dunia ini dan memang sering dihujah WAN, media bebas serta tidak terkongkong mempunyai peranan yang sangat positif untuk merancakkan ekonomi dan pembangunan masyarakat dan oleh itu, akibatnya, menolong merendahkan tahap kemiskinan, kawalan maklumat dan ketandusan debat awam, yang membiakkan serta menyegarkan keganasan."

Tambahnya, "kedua, laporan Bank Dunia ini juga mematahkan banyak lagi hujah, yang disebar oleh kerajaan-kerajaan menindas serta autokratik, bahawa [kononnya] pembangunan ekonomi dan masyarakat dihalang oleh kewujudan media bebas, atau bukan keutamaan untuk menegakkan kebebasan maklumat serta kebebasan bersuara sehingga tahap ekonomi maju dicapai."

Buku ini memuatkan bukti-bukti prestasi media dan peraturan yang berkaitan dengannya di seluruh dunia dan mengetengahkan dasar-dasar awam serta keadaan ekonomi yang boleh menyekat (atau memajukan) media ke arah menyokong kemajuan ekonomi.

Ia menyentuh peranan media sebagai pengesan (watchdog) kerajaan serta sektor korporat, kuasa media mempengaruhi pasaran, peranan media untuk menyalur maklumat serta idea baru, keupayaannya untuk memberi suara kepada si miskin.

Kebebasan maklumat

Pengarang-pengarang turut mengupas bahaya yang diakibatkan oleh akhbar-akhbar yang tidak beretika serta tidak bertanggungjawab, undang-undang yang menghalang kebebasan menulis serta dasar-dasar awam yang menyekat operasi media bebas.

"Kami mengemukakan alat (hujah) untuk meyakinkan kerajaan, ahli politik dan penggubal dasar di serata dunia bahawa media bebas serta terbuka sangat diperlukan untuk memastikan kejayaan reformasi ekonomi," kata Mark Nelson, seorang pengurusan program Institut Bank Dunia dan juga seorang penyumbang buku ini.

Buku ini, kepada aktivis media Malaysia, harus dijadikan rujukan asas khususnya dalam berdepan dengan 'kegilaan' negara kita untuk maju menjelang 2020. Tidak cukup lagi berhujah dengan menunjukkan kawalan serta penindasan yang sedia ada tanpa kita menzahirkan kesan positif media bebas.

Laporan bank ini mengingatkan saya kepada satu tesis kedoktoran (siap tahun lepas) di Universiti Maryland, Amerika Syarikat yang menunjukkan kemajuan ekonomi berkait rapat dengan kebebasan maklumat. Kajian di 78 buah negara, menggunakan data-data sepanjang 20 tahun lepas, gagal mengesan hubungan kemajuan ekonomi dengan angkubah-angkubah lain.

"Satu-satunya angkubah untuk mengukur negara yang sedang berkembang demokrasi dan juga meningkat kadar pertumbuhan ekonominya adalah kebebasan maklumat," rumus Joseph Siegel dalam Democratization and economic growth: The contribution of accountability institutions .

Apakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh diyakinkan dengan hujah-hujah ini?