SMS seks, politik dan bom Bali
Khidmat pesanan ringkas (SMS) boleh juga diguna untuk komunikasi seksual, kalau mahu. Di Filipina, dalam usaha menentang rasuah presiden Joseph Estrada, SMS digunakan untuk menghimpun orang ramai.
Gangguan seksual melalui SMS, sama ada grafik atau teks, pernah dilapor di negara ini. Bagaimana pula jika SMS seksual itu komunikasi peribadi dua pengguna telefon bimbit, seperti peranan bilik sembang di Internet?
Menurut beberapa pembekal utama talian telefon mudah alih negara kita, komunikasi peribadi pengguna 'dirahsiakan' walau syarikat boleh memantaunya, jika mahu dan perlu.
SMS menggunakan piawaian telefon mudah alih digital GSM (sistem mudah alih sejagat). Ia popular di Eropah, Timur Tengah, Asia, Afrika dan sebahagian Amerika Utara.
SMS merupakan satu perkhidmatan simpan dan hantar. Dengan perkataan lain, pesanan-pesanan ringkas tidak dihantar langsung daripada pengirim kepada penerima, sebaliknya ia melalui Pusat SMS. Setiap telefon bimbit yang menyokong SMS mempunyai satu (atau lebih) pusat bagi mengurus pesanan.
Berbeza sistem kelui (paging), pengguna tidak boleh berharap pesanan SMS yang dihantar akan diterima secara langsung. Sebaliknya pengirim boleh menerima satu mesej balas dari Pusat SMS yang mengesahkan sama ada pesanannya itu telah dihantar atau tidak.
Khidmat pesanan ringkas (SMS) boleh juga diguna untuk komunikasi seksual, kalau mahu. Di Filipina, dalam usaha menentang rasuah presiden Joseph Estrada, SMS digunakan untuk menghimpun orang ramai.
Gangguan seksual melalui SMS, sama ada grafik atau teks, pernah dilapor di negara ini. Bagaimana pula jika SMS seksual itu komunikasi peribadi dua pengguna telefon bimbit, seperti peranan bilik sembang di Internet?
Menurut beberapa pembekal utama talian telefon mudah alih negara kita, komunikasi peribadi pengguna 'dirahsiakan' walau syarikat boleh memantaunya, jika mahu dan perlu.
SMS menggunakan piawaian telefon mudah alih digital GSM (sistem mudah alih sejagat). Ia popular di Eropah, Timur Tengah, Asia, Afrika dan sebahagian Amerika Utara.
SMS merupakan satu perkhidmatan simpan dan hantar. Dengan perkataan lain, pesanan-pesanan ringkas tidak dihantar langsung daripada pengirim kepada penerima, sebaliknya ia melalui Pusat SMS. Setiap telefon bimbit yang menyokong SMS mempunyai satu (atau lebih) pusat bagi mengurus pesanan.
Berbeza sistem kelui (paging), pengguna tidak boleh berharap pesanan SMS yang dihantar akan diterima secara langsung. Sebaliknya pengirim boleh menerima satu mesej balas dari Pusat SMS yang mengesahkan sama ada pesanannya itu telah dihantar atau tidak.
Orang tengah
Ringkasnya, SMS melalui 'orang tengah' dan 'tidak selamat' untuk operasi kerahsiaan, sama ada maklumat politik, komunikasi seks peribadi (kepada mereka yang ingin berahsia) atau jenayah terancang.
Pesanan ringkas boleh dikirim dan diterima serentak dengan panggilan-panggilan data, suara dan faksimili yang menggunakan gelombang radio dalam tempoh panggilan. SMS menggunakan saluran isyarat yang melampaui gelombang radio. Sebab itu, kita terdengar semacam gangguan ketika berbual dengan telefon tangan apabila pesanan SMS diterima.
Dalam rencana 'Hypertext Revolution' ( The Investigative Reporting Magazine , Jan-Mac 2001), penulisnya Alecks P Pabico menulis e-mandirigmas , atau pejuang siber, di Filipina mengirim banyak teks SMS, selain mengirim melalui mesin faksimili dan e-mel.
"Syarikat-syarikat pembekal khidmat talian telefon mudah alih [Filipina] menganggarkan kira-kira 160 juta mesej SMS beredar sepanjang empat hari protes, yakni tiga kali ganda jumlah mesej pada hari-hari biasa," tulisnya.
Pada malam 16 Jan 2001, SMS mengajak orang ramai berkumpul di sebuah gereja tersohor di tengah Manila. "Sebilangannya sudah berpakaian tidur, ramai pula yang memegang telefon tangan," tambah Pabico.
Kira-kira 200 laman web dan beratus-ratus lagi kumpulan diskusi siber dibangunkan untuk menentang Estrada.
Menentang rejim komunis
Di China, dalam usaha siswa melancarkan perhimpunan protes di Dataran Tiananmen pada 1989, mesin faksimili digunakan untuk menggerak kempen. Antaranya, mereka mendesak kebebasan media, penghapusan rasuah dalam kerajaan dan pendemokrasian sistem politik.
Selepas pembunuhan besar-besaran siswa di dataran itu pada 4 Jun, wujud pula satu usaha peribadi dari negara-negara Barat untuk mengirim secara besar-besaran dan sistematik risalah satu halaman (berita) bertulisan Cina melalui faksimili. Kerajaan republik komunis itu kemudiannya menapis semua faksimili dari negara luar.
China hari ini yang memandang penuh curiga penggunaan Internet di kafe-kafe siber mula mengetatkan dan menyekatnya daripada terus berkembang dengan alasan, antaranya, 'tidak berlesen.' Kumpulan rohani Falungong, yang dituduh sesat dan diharamkan, kini menggunakan kemudahan Internet untuk menentang rejim komunis, dari dalam dan luar republik itu.
Di Indonesia, sumbangan Internet untuk menggerakkan kempen menentang presiden Soeharto turut diiktiraf. Beberapa senarai alamat e-mel, misalnya Apakabar, dan kumpulan diskusi siber digunakan untuk bertukar idea-idea demokrasi dan mendedahkan kongkongan rejim itu.
Laman-laman web juga digunakan untuk menyebar KKN (rasuah, kolusi dan kronisme) Soeharto, selain tuntutan reformasi serta berita protes siswa selama beberapa bulan sebelum tumbang pada Mei 1998.
Tedjabayu, seorang penggerak Institut Studi Arus Informasi (Isai) mengupas peranan Internet di negara jiran itu dengan agak panjang lebar dalam sebuah artikel di sebuah jurnal.
Imam Samudra
Walau bukan seorang pemimpin diktator atau presiden korup, Imam Samudra turut 'dijatuhkan' akibat SMS, teknologi yang sama dia guna untuk menyusun keganasan sebagai seorang penggerak Jemaah Islamiah (JI) Indonesia. Imam alias Abdul Aziz yang disyaki terbabit dalam pengeboman di Bali, mula dikesan hasil siasatan polis ke atas komunikasi SMS dia dengan Amrozi.
Amrozi seorang yang tidak begitu terlatih dan suka bersembang. Dalam siasatan polis dia mudah berbicara. Dia memberitahu polis, arahan untuk menyediakan kenderaan dan bahan kimia bagi membuat bom, disampaikan oleh Imam Samudra melalui SMS. Amrozi juga masih menyimpan pesanan itu (dan nombornya) di dalam telefon tangannya.
Mereka sering berkomunikasi melalui SMS selepas bersemuka di Surakarta, Jawa Tengah pada tahun 2000. Selain Bali, mereka turut terbabit menyediakan bom untuk beberapa operasi pengeboman di negara itu, termasuk di pulau Ambon yang dilanda konflik antara agama.
Ketika disiasat, Amrozi memberitahu dua telefon bimbit Nokia model 5110 digunakan sebagai alat pencetus dua bom yang lebih kecil di luar pejabat konsul Amerika Syarikat di Denpasar dan Paddy's Bar di Kuta pada 12 Oktober sebelum bom utama meledak di depan Kelab Sari.
Dari sini, polis memantau simpanan (log) SMS antara dua operator yang sangat dikehendaki berikutan kejadian itu. Seorang wartawan kanan di Jakarta memberitahu saya awal bulan ini, log SMS boleh disimpan sehingga tiga bulan sebelumnya. Wartawan ini pernah membaca kertas transkrip siasatan ini (yang tidak diumumkan sepenuhnya kepada media).
Log ini saya kira sama peranannya dengan log nombor IP (protokol Internet) pengguna dari sesuatu lokasi dalam masa-masa tertentu.
FBI gelidah pusat media
Operator laman web Pusat Media Bebas (IMC) di Seattle, Amerika Syarikat cuba digelidah oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan log di pelayannya cuba dirampas (melalui perintah mahkamah) dengan alasan laman web itu pernah menerbitkan maklumat keselamatan sensitif yang dicuri dari polis Kanada. Ertinya, semua pengguna yang memasukkan mesej (posting) pada laman web itu akan dapat dikesan.
Gangguan FBI ini berlaku pada hari berpuluh-puluh ribu aktivis memprotes mesyuarat FTAA (Kawasan Perdagangan Bebas Amerika) di bandar Quebec pada akhir April tahun lepas. IMC dibentuk pada 1999 oleh rangkaian aktivis politik dan wartawan bebas dari enam benua yang menentang globalisasi, misalnya Badan Perdagangan Sedunia (WTO). Ia menggunakan sistem laporan berita (oleh aktivis) secara terbuka, sesiapa sahaja boleh menyumbang.
Polis Indonesia berjaya mengesan dan seterusnya memantau daerah (kabupaten) lokasi Imam Samudra. Imam juga menghubungi dua lagi aktivis JI melalui SMS, tanpa mengetahui mereka sudah ditangkap, untuk memaklumkan dia bercadang lari ke Sumatera dari daerahnya di Jawa Barat.
Dari dua maklumat yang diperolehi melalui telefon bimbit, polis berpura-pura sebagai kenalan Imam dan menjawab mesejnya. Polis akhirnya berjaya menangkap Imam Samudra dalam perjalanannya untuk meninggalkan pulau Jawa ke Sumatera.
"Gara-gara SMS, berakhir sudah petualangannya," lapor akhbar harian Kompas . "Saat itu, dia [Imam] mengirim SMS ke telefon tangan yang diguna oleh Abdul Rauf alias Yudi (yang sudah ditangkap 16 November). Polis segera menjawab SMS itu dengan berpura-pura sebagai Rauf. Dalam SMS tersebut Imam Samudra memberitahu Rauf bahawa dia berada sekitar 500 meter dari Pelabuhan Merak."
Sebelum itu, polis sudah berhasil menceroboh e-mel Imam Samudra yang memang suka bermain Internet. Dari e-mel itu, polis Jakarta mempelajari gaya bahasa aktivis JI ini dengan teman-temannya. "Mereka sering panggil kami toyol. Toyol-toyol sedang berkeliaran, begitu mereka memanggil kami," beritahu seorang anggota polis kepada akhbar itu.
Melalui e-mel itu juga, polis mengetahui istilah-istilah khas perancang-perancang pengeboman Bali untuk bahan-bahan letupan. Misalnya, mereka menyebut potasium klorat sebagai garam, sementara belerang sebagai kunyit. Bahan peledak digelar bumbu dapur.
Anak Suhaerto
Tommy Mandala Putra, anak bekas presiden Soeharto, yang dikehendaki atas tuduhan terlibat dalam pembunuhan seorang hakim kanan yang pernah mendengar kesnya, juga pernah dikesan melalui isyarat telefon tangan. Tommy agak berhati-hati dan bijak menggunakan teknologi.
Sudah beberapa kali polis Jakarta gagal menemuinya dengan tepat walau sudah berjaya mengesan isyarat daripada telefon tangannya, menurut satu laporan eksklusif mingguan Tempo berhubung siasatan polis terhadap Tommy beberapa bulan sebelum ditangkap.
Hasil siasatan polis terhadap komunikasi SMS telefon tangan Tommy tahun lepas (sebelum ditangkap), terdapat arahan-arahan kepada pemimpin pertubuhan Islam radikal di Indonesia agar menggerakkan siri-siri perhimpunan bantahan terhadap Abdur Rahman Wahid (Gus Dur), bekas presiden sebelum Megawati Soekarnoputri.
Anak manja Soeharto ini sungguh kecewa dan marah pada Gus Dur apabila enggan mengampunkannya atas kesalahan rasuah, lalu membiayai kumpulan radikal, Front Pembela Islam (FPI) sebahagiannya dipercayai mempunyai hubungan dengan tentera Indonesia untuk perhimpunan protes.
Penganalisis politik di Jakarta juga percaya Tommy mungkin terbabit membiayai kumpulan radikal ini untuk menjatuhkan Megawati. Tommy, anak kepada seorang jeneral, disyaki berperanan dalam beberapa siri bom.
Teknologi memang membantu gerakan politik, seperti kita lihat saban waktu di negara-negara China, Filipina, Amerika Syarikat atau Indonesia. Aktivis politik dan badan bukan kerajaan (NGO) negara kita mengambil manfaat besar dengan wujudnya laman web, komunikasi e-mel, senarai alamat (mailing list) dan juga telefon tangan seperti dilihat sepanjang era reformasi 1998.
Saya perhati kini pemimpin serta aktivis politik rancak menggunakan SMS untuk menyalurkan maklumat ringkas, ada waktunya strategik dan sulit. Tetapi ingat, teknologi juga, jika kita tidak cermat dan tidak bijak, boleh membocorkan banyak maklumat kepada pihak berkuasa. Siapa tahu dan siapa menduga?

