Ketika itu Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya kepada pemimpin pembangkang dan aktivis reformasi, dalam keadaan cemas. Menjelang 14 April 2001 operasi tangkapan ISA (Akta Dalam Negeri). Dia datang lagi ke kota ini dan kami bercerita panjang tentang Soeharto dan Dr Mahathir Mohamad.

Santoso, atau Tosca saja di kalangan teman-teman, pernah ke mari sebagai pelarian politik. Lari daripada kerakusan Soeharto ketika wartawan ini sedang mengusahakan Suara Independen , majalah bulanan yang menggantikan Independen . Majalah ini diterbit selepas majalah Tempo , Detik dan Editor diharamkan pada 1994.

Tiada siapa menduga, ia menjadi titik sejarah terpenting dalam proses pendemokrasian dan perjuangan kebebasan media di Indonesia. Tosca, ketika ditemui awal Disember lalu, sudah jauh berjaya. Kini memimpin stesen radio bebas, Namlapanha atau 68H di Utan Kayu, beliau ke mari atas jemputan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selama seminggu sebelum bertolak ke sebuah negara Eropah.

"Kenapa saya perlu takut, saya 'kan tetamu PBB," kata Tosca bergurau, apabila diunjukkan kepadanya buku saya (bersama Badaruddin Ismail), Rahsia Kotak Ezam . Seorang teman menakut-nakutkan wartawan ini, "hati-hati, anda boleh ditangkap kerana membaca dokumen rahsia yang ada dalam buku ini (dokumen sulit yang menyebabkan Mohamad Ezam Mohd Nor dipenjara dua tahun)."

Kesempatan ini kami habiskan dengan bertukar-tukar cerita tentang kebebasan akhbar di republik itu dan bagaimana aktivis media independen Malaysia boleh belajar sesuatu daripada pengalaman Indonesia.

Katanya, kes-kes pembredelan (tarik semula permit penerbitan) sudah agak biasa sebelum 1994. Tempo sendiri sudah dua kali menghadapi keadaan itu, 1978 dan 1982.

Izin penerbitan

Tetapi bezanya, pembredelan sebelum itu diselesaikan dengan "meminta maaf dan berjanji" kepada kerajaan, Kementerian Penerangan di sana, untuk tidak memuatkan lagi laporan seumpama itu. Pemimpin media akan 'berunding' dengan pegawai kerajaan untuk mendapatkan semula izin penerbitan, macam Malaysia.

"Tetapi kali ini (1994), kami wartawan muda ambil sikap tegas," kata Tosca.

Kira-kira 120 wartawan berhimpun pada 21 Jun dan mengumumkan Deklarasi Sirnagalih yang menuntut kebebasan akhbar, menuntut pembebasan daripada organisasi induk PWI (Persatuan Wartawan Indonesia) dan pembatalan konsep izin penerbitan.

Walaupun ramai yang hadir, daripada pelbagai penerbitan, hanya 55 wartawan yang berani menurunkan tandatangan menyokong perisytiharan itu. Ramai wartawan menjadi korban, dipecat daripada PWI dan juga syarikat penerbitan masing-masing. Tidak ketinggalan Tosca.

Siri-siri protes digerakkan kemudiannya, disertai lebih 1,000 wartawan dan aktivis sebagai membantah penutupan Tempo , Detik dan Editor . Pada 7 Ogos tahun itu, Aliansi Jurnalis Independen (AJI) ditubuhkan daripada kesedaran sekelompok wartawan muda itu dan Tosca dipilih sebagai pemimpin pertama. Pemimpin serta pengasas Tempo , Goenawan Mohamad, berada di belakang gerakan ini tetapi beliau berfikir lebih kedepan.

Majalah Independen diterbitkan, tanpa permit, tidak lama selepas pembredelan itu, dengan cetakan 3,000 hingga 5,000 naskhah sahaja, tetapi cepat tersebar melalui amalan fotokopi di kalangan aktivis. Wartawan yang mengendalikannya tidak lagi anggota PWI dan termasuk yang dipecat. Satu langkah untuk mencabar amalan kongkongan media zaman Orde Baru (Orba) Soeharto.

Mas Goen, gelaran Goenawan di kalangan aktivis, bersama beberapa tokoh, menubuhkan pula ISAI (Institut Studi Arus Informasi) bagi menggerakkan kajian dan latihan kepada wartawan yang tidak mempunyai tempat dalam PWI dan juga penggerak AJI.

Pakatan wartawan

Hujah Mas Goen, cerita Tosca kepada saya, AJI yang lantang dalam kempen menentang kerajaan melalui protes-protes, tentu sukar mendapat dana. Oleh itu, ISAI melalui sokongan dana berfungsi sebagai organisasi yang menggerakkan kempen melalui latihan dan kajian.

Pada Februari 1995, ketika anggota AJI mengadakan majlis sambutan Hari Raya, polis menyerbu dan melakukan tangkapan. Tiga orang kemudiannya didakwa di mahkamah dan semuanya dikenakan hukuman tiga tahun penjara. Tosca, yang mengetuai pakatan wartawan itu, berjaya memboloskan diri.

Ketika perbicaraan, protes terus berlangsung sebagai menyokong anggota AJI yang didakwa. Melihat kepada gerakan yang semakin berkembang, kerajaan pimpinan Soeharto akhirnya mengambil tindakan terhadap Independen .

Tosca, yang bergerak 'di bawah tanah' untuk mengelak tangkapan, mengambil alih majalah itu dengan nama baru, Suara Independen pada Jun 1995. Majalah ini juga mendapat sambutan hangat.

Tetapi ia tidak bertahan lama. Lebih kurang setahun kemudian, polis mengambil tindakan terhadap pemilik syarikat percetakan majalah itu pula. Pada Okt 1996, dua pemiliknya dihukum dua setengah tahun penjara atas tuduhan 'menghina presiden' dan 'menyebar rasa kebencian' .

"Kasihan mereka," kata Tosca. "Mereka baik dan berani (menolong)."

(Berbeza daripada negara kita, syarikat percetakan di Indonesia tidak memerlukan permit untuk beroperasi. Oleh itu, Suara Independen dengan secara terbuka senang sahaja mendapatkan syarikat percetakan. Tetapi kerana terdesak, pemiliknya dipenjara juga!)

Kemelut ekonomi

"Selepas itu, kami sukar mendapat syarikat percetakan. Ramai yang menolak. Saya mula memikirkan cara untuk memasang mesin percetakan di bawah tanah," cerita Tosca lagi.

"Iya, memang di dalam tanah. Kami [merancang] menggali sebuah lubang di suatu tempat sulit dan tidak disangka polis," tambahnya, ketawa, apabila ditanya apa maksudnya 'mesin percetakan di bawah tanah'.

Tidak lama kemudian, keadaan politik Indonesia menjadi lebih tegang dan kelam-kabut. Ekonomi republik itu semakin lemah sepertimana negara-negara Asia Timur yang dilanda krisis mulai Julai 1997. Kepaduan kepimpinan dalam kerajaan Soeharto dan juga partinya Golkar mulai retak.

Presiden itu bimbang Megawati Soekarnoputri, dari PDI (Partai Demokrasi Indonesia), mencabarnya dalam pemilu (pilihanraya) yang bakal diadakan pada tahun itu. Lalu, diktator itu menggerakkan kempen sabotaj dari dalam PDI.

Ketegangan itu sebetulnya bermula setahun lebih awal daripada krisis ekonomi Asia lagi, dalam satu kejadian rusuhan yang dikenali sebagai 'Peristiwa 27 Julai'. Kantor PDI di Jakarta diserang oleh kumpulan penyokong parti itu yang kononnya berketuakan Soejardi, pemimpin yang mendakwa ketua umum yang sah bagi PDI, bukan Mega, hasil mesyuarat yang diadakan di Medan.

Kerusuhan di kantor itu dipercayai dirancang polis. Malah perlantikan Soejardi dan mesyuarat di Medan itu juga ditafsirkan campurtangan langsung Soeharto dalam PDI. Dalam keadaan panas itu, ramai aktivis ditangkap.

Demonstrasi pelajar

Malah, tidak kurang juga yang hilang begitu sahaja (ada juga hingga sekarang gagal dikesan). Aktivis-aktivis muda yang menyertai PRD (Partai Rakyat Demokratik) menjadi mangsa. Situasi tegang ini menyulitkan Tosca. Pergerakannya sangat terbatas.

"Hidup saya tidak menentu, saya sedang dicari polis. Teman-teman yang dipenjara memberitahu (melalui nota) bahawa nama saya memang dikehendaki," ceritanya.

"Saya [terpaksa] berada di luar negara waktu ini [untuk meneruskan operasi Suara Independen ]. Anak sulung saya yang baru dilahirkan tidak sempat disambut. Lebih setahun kemudian, barulah saya dapat melihatnya."

Ketika ini, Tosca juga menggerakkan kempen langganan majalah ini supaya dapat mengumpul modal awal.

"Alamat [pejabat] langganannya ialah di Australia, melalui bantuan seorang teman," tambah penerbit stesen radio yang berpengaruh ini.

Krisis ekonomi-politik itu merangsang bantahan besar pelbagai lapisan rakyat. Gerakan mahasiswa mula melancarkan siri demonstrasi hampir setiap hari dari satu kampus ke satu kampus lain, dari satu bandar ke bandar.

Soeharto tumbang

Dalam satu tinjauan badan antarabangsa pemantau hak asasi Human Rights Watch (HRW) pada 1998, protes siswa mengambil masa selama hampir setengah tahun sebelum Soeharto ditumbang secara rasmi pada Mei 1998, kira-kira dua bulan selepas mengangkat sumpah presiden bagi penggal ketujuh!

"Dengan turunnya Soeharto pada 21 Mei 1998, satu tembok kukuh yang selama ini menghambat kemerdekaan [akhbar] dan kedaulatan rakyat telah runtuh," kata Lukas Luwarso, pemimpin AJI, dalam kata pengantar buku Pers (akhbar) Indonesia Pasca Soeharto (1999).

(Buku ini menarik untuk dikaji mengenai kedudukan media dan isu izin penerbitan dalam era pengganti presiden itu, BJ Habibie. Ia diterbitkan oleh AJI dan LSPP. Peranan PWI sebagai alat kawalan kebebasan akhbar dan wartawan boleh dilihat dalam Wartawan Terpasung: Intervensi Negara di Tubuh PWI (1998). Ia diselaras oleh Tosca dan diterbit oleh ISAI).

"Walaupun penentangan kami semakin hari semakin sulit [dalam tempoh 1997-98], tetapi tiba-tiba sahaja rejim [Soeharto] tumbang. Kami sendiri tidak menduga sepantas itu," cerita Tosca kepada saya ketika santai-santai di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada bulan puasa lalu. Kata-katanya ini mengingatkan saya betapa mudahnya rejim-rejim komunis Eropah Timur tumbang, di luar ramalan banyak pihak.

"Begitu cepatnya rejim komunis ambruk (tumbang) di Czechoslovakia, bahkan para aktivis prodemokrasi sendiri pun terperanjat dibuatnya," kata Alexej Fulmek, pemimpin akhbar harian Smena (Perubahan), dalam buku SME: Koran Oposisi Slovakia (terjemahan 2002) yang menceritakan kejayaan akhbar itu bebas daripada cengkaman kerajaan.

Buku Timothy Garton Ash, We the People , menghuraikan secara lebih perinci saat-saat mendebarkan kejatuhan negara-negara komunis ini.

Kebebasan berpersatuan

Seminggu sebelum Tosca ke mari, negaranya baru sahaja meluluskan akta penyiaran yang membenarkan penubuhan suruhanjaya bebas bagi media elektronik.

Tahun ini, katanya, mungkin Indonesia akan meluluskan Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) selepas draf awal daripada badan bukan kerajaan (NGO) dibawa ke DPR (parlimen) awal tahun lalu.

Sebaik sahaja Soeharto tumbang, isu permit penerbitan dan kebebasan wartawan berpersatuan tidak timbul lagi. Dalam keadaan terdesak itu, Habibie 'lebih lembut' mengawal media. Gus Dur, atau Abdul Rahman Wahid, yang memenangi pilihanraya 1999, menghapuskan terus peraturan yang mewajibkan permohonan permit penerbitan, sesuatu yang tidak sanggup dilakukan oleh Habibie.

Kini AJI dan ISAI, dua pertubuhan yang berani bekerja keras menentang (a) permit penerbitan dan (b) hak wartawan untuk berpersatuan, sudah menjadi dua nama besar di republik itu. Mereka menyertai badan-badan lain dari Thailand dan Filipina dalam Seapa (Pakatan Akhbar Asia Tenggara) yang suka dikecam Zainuddin Maidin, timbalan menteri penerangan kita.

Apakah model Indonesia ini taktik terbaik untuk kebebasan akhbar negara ini?