Dua buah Maktab Rendah Sains MARA ditutup dan yang menjadi korbannya ialah 400 orang Melayu. Pertelagahan dua parti politik yang mengaku memperjuangan nasib orang Melayu telah mengorbankan sendiri masa depan orang Melayu. Inikah yang dinamakan perjuangan menegakkan hak bangsa dan agama?

PAS dan Umno menunjukkan ego masing-masing dalam isu ini. Kedua-dua pihak bermain tarik tali, berkeras kemudian berlembut dan akhir sekali berdegil, hilang pertimbangan bila masing-masing hanya mengejar keuntungan politik dari isu ini.

MRSM Besut dan Dungun yang beroperasi di atas tanah dan bangunan milik Yayasan Terengganu diputuskan akan tetap ditutup walaupun kerajaan Terengganu masih membuka pintu rundingan. Menurut Menteri Perusahaan Awam, Datuk Mohd Nazri Aziz, rundingan dengan kerajaan Terengganu mengenai isu itu hanya membuang masa.

Orang Melayu merasakan apa yang berlaku itu adalah suatu yang amat mendukacitakan. Ia adalah satu tragedi dan sabotaj kepada usaha untuk mencemerlangkan bidang akademik orang Melayu. Ia adalah satu kerugian besar kerana institusi pengajian peringkat menengah yang begitu cemerlang terpaksa ditutup lantaran perbalahan dua parti politik.

MRSM Besut dan Dungun telah menunjukkan pencapaian sungguh cemerlang dalam peperiksaan PMR tahun lalu. MRSM Besut muncul sebagai MRSM terbaik di kalangan semua MRSM apabila lebih 88 peratus pelajarnya memperolehi keputusan 8A. Ia juga menjadi salah sebuah daripada 10 sekolah terbaik di seluruh negara. Begitu juga MRSM Dungun, ia mencatatkan keputusan terbaik dalam sejarah peperiksaan PMR..

Kepentingan parti

Tidakkah kecemerlangan ini membuka mata Umno dan PAS untuk berkompromi, menyelamatkan kedua-dua sekolah ini? Sepatutnya kedua-dua maktab ini tidak ditutup tetapi dibuka lebih banyak lagi MRSM di Terengganu dan di seluruh negara.

Sedarkah Nazri bahawa sebahagain besar daripada para pelajar yang menjadi korban itu, yang terpaksa dipindahkan ke maktab-maktab lain, adalah anak-anak penyokong Umno?

Sentimen dan emosi nampaknya telah mengatasi kewarasan. Sepatutnya Umno dan PAS meletakkan sempadan yang jelas di antara kepentingan bangsa dengan kepentingan parti!

Apa yang jelas ialah keputusan yang dilakukan itu bukannya satu keputusan akademik. Ia adalah keputusan politik yang berdasarkan sentimen cemburu dan kemarahan. Sumber-sumber memberitahu hasrat untuk menutup MRSM Besut dan Dungun bukan baru-baru ini disuarakan olkeh Nazri. Difahamkan beliau telah mengsyorkannnya sejak daripada awal tahun lagi tetapi ditentang oleh sebahagian besar pengurusan MARA.

Nazri jelas tidak senang untuk melihat MRSM yang dimiliki oleh Yayasan Terengganu terus menikmati pembiayaan daripada MARA kerana yang mendapat nama ialah kerajaan Terengganu, bukan kerajaan Pusat.

Menjadi mangsa

Pembabitan kerajaan Terengganu dalam kedua-dua MRSM ini menyebabkan Nazri dan Umno tidak senang. Di atas alasan itu hanya dua MRSM ini menjadi mangsa sedangkan MRSM di Kuala Terengganu, Pasir Tumboh, Jeli dan Pengkalan Chepa (semua di Kelantan), walaupun terletak di negeri yang diperintah oleh PAS, tidak diusik, kerana ia dimilik sepenuhnya oleh MARA.

Nazri menggunakan alasan kuota pengambilan anak Terengganu untuk menghalalkan tindakan menutup kedua-dua MRSM itu. MARA mahu mengurangkan kuota untuk anak Terengganu yang sebelum ini sebanyak 80 peratus. Lebih ramai pelajar dari luar Terengganu mahu dimasukkan ke situ.

Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menentangnya dengan alasan ia akan mengurangkan peluang anak Terengganu ke MRSM kecualilah jika MARA memberi jaminan untuk menambah kuota anak Terengganu di MRSM-MRSM di luar Terengganu.

Itulah alasan yang tertera di atas kertas tetapi di sebaliknya ia adalah satu agenda politik. Ini adalah suatu yang tidak wajar sama sekali. MARA telah dijadikan kuda tunggangan dan masa depan 400 - 500 orang anak Melayu terkorban.

Nazri mungkin boleh menjawab lebih banyak MRSM akan dibuka di negeri-negeri lain bagi menggantikan dua MRSM yang ditutup itu. Tetapi soal pembinaan MRSM baru bukan jawapan kepada kes ini. Persoalannya sekarang ialah keegoaan dua parti politik Melayu mengorbankan bangsa Melayu sendiri.

Wang ehsan

Sudahlah 10 peratus tempat di MRSM akan diberikan kepada pelajar bukan bumiputera, 400 tempat lagi dikorbankan untuk membuktikan keperkasaan Umno melebihi PAS. Dendam Umno terhadap PAS di Terengganu nampaknya tidak pernah reda. Daripada soal royalti minyak (wang ehsan), pembinaan lebuh raya dan kini melarat ke bidang akademik.

Sepatutnya dendam itu dilepaskan di gelanggang pilihanraya, bukannya di dewan sekolah atau pada bangunan Tadika. Jadi 'gentlemanlah', berbalah dan "bergocohlah" dalam pilihanraya umum yang dijangka diadakan sebelum atau selepas Oktober ini.

Yang jelasnya siapa yang meraih keuntungan dan kerugian daripada isu ini belum dapat dipastikan. Tetapi yang pasti kerugian besar ialah anak-anak Melayu. Dan yang dikenal pasti sombong ialah PAS dan Umno.