Sepuluh komputer malaysiakini telah dipulangkan minggu lepas. Sembilan lagi, termasuk tiga pelayan (server), masih di tangan polis untuk kajian forensik. Operasi rampasan ini dipertahankan Ketua Polis Negara, "kami tidak berniat untuk menutup laman web itu".

Merampas semua komputer di bilik berita malaysiakini ditafsirkan sebagai satu usaha menutup operasi dan juga jalan belakang untuk menapis (censor) akhbar web ini. Cepat-cepat Norian Mai menafikannya.Bagaimanapun, setakat artikel ini ditulis, polis masih lagi 'berhutang' sembilan komputer dengan akhbar web popular ini.

Episod rampasan ini menarik sekali untuk dikaji. Berbagai-bagai penjuru boleh dilihat, sama ada isu hasutan dan keistimewaan Bumiputera (seperti dakwaan Pemuda Umno) atau isu kebebasan media dan tindakan polis.

Dua penjuru ini boleh lagi dikembangkan, misalnya soal pilihan raya umum, keberkesanan kempen media independen dan sejauh mana reaksi orang ramai terhadap isu-isu ini kini, tiga tahun selepas pilihan raya 1999.

Tetapi sepucuk surat dalam akhbar web ini, ditulis Kim Quek ('Support speaks volumes for free speech', 24 Jan), merumus perkembangan ini dengan sungguh tepat. Walau ringkas, ia menunjukkan dengan baik kedudukan, peranan serta dampak malaysiakini di negara kita.

Hubungan akhbar web ini dengan media cetak, atau media arus perdana, juga dapat diperjelaskan.

Krisis yang dialami malaysiakini , termasuk arahan mengosongkan bangunan daripada pemiliknya, PC Suria, mendedahkan beberapa penjuru yang tidak kelihatan selama ini, antaranya, sejauh manakah akhbar ini membawa kesan kepada parti-parti komponen Barisan Nasional dan beberapa pihak dalam establishment.

Tindakan melampau

Saifuddin Abdullah, seorang tokoh belia, dan ketua-ketua Pemuda parti komponen BN terang-terangan menggesa polis mengamalkan sikap yang lebih berpada-pada. Walau mereka tidak mengkritik Pemuda mno atau membahas isi kandungan surat 'Petrof' tetapi tindakan merampas semua komputer itu nampaknya disepakati "sangat melampau."

Menarik dan menonjolkan isu kebebasan akhbar daripada krisis ini, bukannya isu Pemuda Umno dan hak istimewa Melayu, satu peperangan propaganda yang menguntungkan gerakan kebebasan media, setakat hari ini.

Keadaan ini dibantu oleh sikap media arus perdana yang tidak sepakat dalam serangannya, atau ungkapan lebih lembut 'liputan', terhadap malaysiakini.

Oleh itu, rampasan polis itu dilihat sangat buruk dan kasar.

Sementara siasatan terhadap lima wartawan kanannya, termasuk ketua pengarang Steven Gan, di bawah Akta Hasutan membawa isu ini dalam kerangka hubungan antara kebebasan akhbar dan halangan undang-undang - satu isu yang berulang-ulang selama ini.

Setakat seminggu lepas, saya kira, malaysiakini (jika dianggap sedang berlawan dengan Pemuda Umno dan polis) boleh dianggap 'menang' siri pertama.

Dari segi isu, malaysiakini dianggap mangsa tekanan politik yang berjaya mendapat sokongan positif sehingga membawa imej buruk kepada polis, Pemuda Umno dan Malaysia, khususnya di peringkat antarabangsa.

Tetapi jika malaysiakini ingin bergerak lebih jauh ke depan, misalnya apabila Pemuda Umno membangkitkan semula isu hak istimewa Melayu atau polis enggan memulangkan baki komputer yang dirampas atau seorang dua wartawan malaysiakini didakwa di mahkamah, apakah pertarungan ini boleh dikuasai akhbar web ini?

Kes penindasan

Apakah rakyat, atau sokongan yang diperolehi selama ini, akan bersama malaysiakini lagi? Atau, mereka mengambil sikap yang sama seperti dalam isu-isu lain, hangat-hangat tahi ayam sahaja?

Sudah banyak kes penindasan terhadap wartawan dan media terjadi sepanjang tiga tahun lepas.

Empat majalah dan tabloid berbahasa ditarik semula permitnya oleh Kementerian Dalam Negeri, bermula Detik pada Disember 1999 hingga Perdana Sari pada April 2002.

Permit Harakah ditarik balik kekerapannya, daripada lapan kali sebulan kepada dua kali sahaja.

Sementara ketua pengarangnya Zulkifli Sulong kini menghadapi perbicaraan di mahkamah mengikut Akta Hasutan selepas ditangkap pada Januari 2000.

Apakah ada kempen yang besar daripada orang ramai, badan-badan bukan kerajaan (NGO) atau parti-parti dalam Barisan Alternatif? Malah, kewujudan Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) itu sendiri, pada hemat saya, satu usaha yang lambat, lembab dan sangat terbatas.

Akhirnya, isu kebebasan akhbar menjadi idea yang abstrak, bukan kenyataan yang real didalam fikiran orang ramai.

Ambil perbandingan dengan isu kebebasan kehakiman dan kebebasan berhimpun. Ekoran perbicaraan Anwar Ibrahim dan siri-siri demonstrasi, dua hak ini menjadi perbualan umum yang sungguh meluas.

Perbincangan meluas ini berjaya membina konsep dan tanggapan kukuh perlunya kebebasan badan kehakiman dan hak untuk berkumpul. Semua orang, walau tidak begitu berpelajaran, dapat berhujah kepentingan hak ini dan bagaimana buruknya cara kerajaan menanganinya.

Bantahan

Tetapi isu kebebasan akhbar dan penindasan kerajaan masih lagi tidak popular, gagal menangkap daya imaginasi orang ramai. Kes-kes penindasan sudah wujud nyata tetapi kempen kesedaran (dan penentangan) nampaknya sangat terbatas.

Kegagalan pertama boleh sahaja disalahkan kepada PAS dan rakan-rakan gabungannya.

Kes pendakwaan terhadap Zulkifli Sulung dan penarikan semula permit tabloidnya seharusnya (waktu itu) diberikan penekanan yang utama oleh PAS dan BA. Kenyataan akhbar dan ceramah sahaja tidak mencukupi. Bantahan yang sambil lewa tidak memadai.

Apatah lagi kegiatan Kami. Ada kesan positifnya apabila Kami secara konsisten mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap isu-isu kebebasan akhbar. Kami menjadi kumpulan awal berdepan dengan krisis kebebasan akhbar di negara ini. Ia boleh menjadi model kempen kecil-kecilan, bagaimana aktivis media independen (yang tenggelam dalam lautan media arus perdana) cuba tercungap-cungap menarik nafas dan berenang ke tepian.

Isu pengambil-alihan akhbar-akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press nampaknya lebih kuat pengaruhnya berbanding isu-isu lain dalam tema kebebasan akhbar, misalnya isu Harakah dan Zulkifli. Kempen yang besar, berpanjangan, digerakkan oleh pertubuhan-pertubuhan Cina yang utama telah meledakkan kesedaran yang sangat meluas.

Sebagai aktivis media dan wartawan, saya bimbang gejala serta dinamika ini. Ia sangat mengganggu fikiran saya sejak lama dulu, sejak penulis Ahmad Lutfi Othman ditangkap pada

Oktober 1998 (siasatan ke atas buku politik) atau kartunis Zunar ditangkap pada September 1999 (kes demonstrasi proreformasi).

Sejauh mana malaysiakini dan rakyat negara ini, khususnya NGO dan BA, serius ingin mempertahankan kebebasan akhbar?