Sejarah selalu berulang. Mungkinkah kali ini kita akan menyaksikan satu lagi sejarah diulang tayang sejarah debat politik PAS dan Umno. Sepanjang sejarah politik Malaysia, sudah dua kali 'debat perdana' antara kedua-dua parti politik Melayu itu dibatalkan atas sebab-sebab tersendiri.

Pada tahun debat perdana mengenai isu kafir mengkafir antara kedua-dua parti dibatalkan pada saat-saat akhir walaupun persiapan rapi, termasuk siaran langsung di RTM telah dibuat. Ia dibatalkan atas titah Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum itu, kedua-dua parti bertikam lidah, saling mendakwa mereka lebih Islam daripada yang lain. Barisan pendebat masing-masing telah dipilih. Setiap pihak membariskan tiga pendebat. PAS antara lain, telah menyenaraikan Haji Hadi Awang sebagai salah seorang wakilnya manakala Umno membariskan Ustaz Nakahie Ahmad dan dua ulamanya.

Setelah rancangan itu debat itu digembar-gemburkan lebih sebulan lamanya, tetapi ia dibatalkan di saat-saat akhir. Begitu jugalah dalam sejarah debat yang kedua, pada hujung tahun 1999 di antara Ketua Pemuda kedua-dua parti. Haji Mahfuz Omar mencabar Datuk Hishamuddin Hussein o­nn untuk berdebat berhubung isu kepentingan Melayu.

Kali ini, liputan mengenai cabar-mencabar untuk berdebat ini lebih hebat kerana sebuah stesen televisyen asing bersetuju menyiarkannya secara langsung. RTM pula enggan berbuat demikian.

Namun setelah pelbagai syarat diletakkan oleh kedua-dua pihak, Mahfuz dan Hishamuddin saling bermain tarik tali, akhirnya debat itu dibatalkan begitu sahaja.

Adakah kali ini debat mengenai sekolah agama rakyat (SAR) antara Timbalan Ketua Pemuda PAS, Salehuddin Ayob dengan tokoh Umno, Datuk Nadzri Aziz akan mengulangi cerita lama itu? Berdasarkan perkembangan semasa, peluang untuk terlaksananya debat itu adalah 65:35.

Penjelasan

Jika dibandingkan dengan dua debat agung yang terbatal dulu, peluang debat SAR diadakan adalah lebih besar, kerana isu yang bakal diperdebatkan nanti tidak begitu sensitif seperti isu kafir-mengkafir.

Isu ini juga tidak begitu berat bagi Umno dan relevan untuk diperdebatkan kerana ia mempunyai banyak 'manfaat' untuk kerajaan. Isu pendidikan ini, yang jika dijelaskan secara telus dan terperinci oleh Nazri, boleh dijadikan modal untuk menyakinkan rakyat tentang perlunya SAR diubahsuai selari dengan kemajuan zaman.

Kedua, 'masanya' juga dianggap sesuai, kerana Umno ketika ini sedang mengasak PAS dari pelbagai sudut. Oleh itu, debat ini wajar diadakan untuk dijadikan medan untuk terus mengasak PAS yang kebelakangan ini nampak agak defensif dan terdesak.

Tambahan pula, isu ini dijangka dijadikan isu besar PAS dalam pilihanraya umum akan datang. Oleh itu, wajarlah masa-masa yang terluang menjelang pilihanraya umum akan datang, isu ini diperjelaskan sebaik-baiknya.

Ketiga, ia juga merupakan soal maruah Nazri dan Umno. Setelah dua kali debat perdana dibatalkan, mahukah Umno melihat debat ini dibatalkan sekali lagi, lebih-lebih lagi selepas

Nazri memberi kesanggupan untuk pergi ke markas tarbiah PAS di Taman Melewar Gombak, walaupun seorang diri.

Salehuddin telah menegaskan beliau tidak akan menetapkan sebarang syarat. Beliau bersetuju walaupun debat itu tidak dapat disiarkan secara langsung oleh RTM. Beliau akur walaupun Profesor Diraja Ungku Aziz dan Tan Sri Zahir Ismail tidak mahu mempengerusikan debat itu.

Kini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) muncul sebagai penyelamat dengan membenarkan premisnya digunakan untuk debat itu dan Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Deraman pula menawarkan diri menjadi pengerusinya.

Mangsa

Banyak tolak ansur dalam urusan debat kali ini walaupun PAS meminta kebenaran untuk menyiarkannya secara langsung melalui TV web parti itu. Rasanya, ia tidak akan menjadi masalah besar.

Andai kata siaran langsung menerusi TV web tidak dibenarkan, Salahuddin tidak boleh menjadikannnya alasan untuk berundur. Kalau Nazri sanggup ke markas PAS seorang diri untuk menegakkan isu SAR, Salahuddin juga mesti sanggup pergi walaupun seorang diri ke PWTC untuk menegakkan hujahnya.

PAS harus melihat isu debat ini sebagai satu alternatif terbaik untuk menjelaskan sebaik-baiknya mengapa ia mahu mempertahankan SAR. Kalaupun tidak mendapat liputan secara langsung dan terpaksa diadakan secara tertutup, keuntungan yang boleh diraih masih lumayan.

Terdapat pelbagai cara untuk merakamkan majlis perdebatan itu. Rakaman itu kemudiannya boleh diedar dan dijual dalam pelbagai bentuk cakera padat (vcd), pita video, kaset dan sebagainya. Jangan biarkan sejarah lama berulang.

Pihak yang akan untung besar, tanpa mengira siapa yang kalah atau menang dalam debat itu ialah PAS kerana isu ini ada kaitan dengan agama. SAR telah dilihat sebagai satu institusi agama. Oleh itu, mana-mana pihak yang cuba mempertahankannya, akan dilihat sebagai hero manakala pihak yang memperlekehkannya, sama ada secara halus atau jelas, akan dipandang serong.

Oleh itu, tidak timbul soal siapa menang atau kalah dalam debat SAR ini. Kedua-dua pihak tidak akan menang tetapi yang pasti akan menjadi mangsa ialah institusi SAR dan para pelajarnya. Beginilah jadinya bila soal pendidikan dipolitikkan.