Mana-mana negara yang mempunyai ruang luas untuk pembangkang yang tidak rasional tetapi tiada ruang yang sama untuk pembangkang rasional akan menyebabkan 'terbantutnya pengembangan pemikiran politik berwibawa' dan 'kemajuan ekonomi tidak mungkin tercapai seperti dirancangkan tanpa ada kemajuan yang amat tinggi dalam pemikiran politik', hujah penulis kontroversi Astora Jabat.

Penulis yang suka sekali menghentam versi Islam PAS ini menyebut, sekurang-kurangnya ada tiga penulis yang suka mengkritik kerajaan tetapi menurut Astora, tidak seperti kumpulan pembangkang lain, mereka "agak rasional". Beliau menyebut nama Ahmad Lutfi Othman, Mohd Sayuti Omar dan saya sendiri.

"Dengan itu tidak hairan jika ketiga-tiga penulis ini bukan saja dibenci oleh orang Umno dan Barisan Nasional, tetapi juga oleh orang PAS," hujahnya lagi dalam kolum 'Bicara Agama' ( Mingguan Malaysia 16 Feb).

Dengan mengambil sikap kritis saya terhadap PAS, dan rasa tersepit saya dalam tekanan politik kerajaan-pembangkang, Astora cuba menggambarkan parti Islam menekan penulis-penulis ini.

Hanya berani kritik pembangkang

Namun dalam tulisan itu, Astora tidak menyentuh barang sepatah gejala-gejala tekanan yang ditimbulkan oleh kerajaan, bukan sahaja di kalangan penulis seperti kami bertiga tetapi juga terhadap parti pembangkang, aktivis badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta siswa, dan juga penggiat seni.

Astora, menulis dalam ruang media arus perdana yang sangat prokerajaan itu, tidak berani walau sepatah pun untuk mengungkap hal ini. Sekurang-kurangnya untuk menyusur galur rasa tersepit wartawan seperti saya, seperti beliau kutip luahan hati saya dalam artikel 'Di celah dua tebing' ( Siasah , Jan 2003).

Oleh itu, saya beranggapan Astora (mengikut takrifnya sendiri) 'tidak rasional' kerana hanya berani mengkritik pembangkang, mempertahankan kerajaan, tetapi tidak sanggup mengungkapkan realiti seadanya.

Realiti yang kabur ('tekanan' PAS) cuba digambarkan tetapi realiti yang terang-benderang (tekanan rasmi kerajaan) tidak disebut. Akibat kegagalan itu, tulisannya cacat, mengelirukan, tawar dan tohor.

Sama ada rela atau tidak, Astora harus sedar serta akur bahawa ruang sempit yang kerajaan wujudkan itu sebahagian daripada faktor penghambat untuk mewujudkan pembangkang yang rasional.

Tidak ada orang yang boleh berfikir serta berhujah jika jasadnya sendiri tidak ada jaminan keselamatan (ditangkap atau dipenjara). Bagaimana seseorang boleh bersuara dengan tenang serta matang jika sumber ekonominya, misal sebagai seorang guru, tergugat selepas bersuara?

Dalam kolum itu, penulisnya menekankan tuntutan unggul tentang ciri-ciri kepembangkangan yang dikehendaki oleh Islam. Beliau juga mengakui kepembangkangan dalam Islam (tidak semestinya parti atau ahli politik) bukan sekadar tuntutan hak asasi, tetapi juga satu tanggungjawab agama, tuntutan amar maaruf nahi munkar .

Pengkritik rasional

Dalam rencana 'Islam izinkan pembangkang', Astora mencirikan pembangkang Islam itu seperti berikut:

"Mesti ikhlas kerana Allah dan untuk kepentingan umat dan bangsa, meninggalkan kefanatikan terhadap individu dan parti, berprasangka baik terhadap orang lain, tidak menyakiti dan mencela, menjauhi debat mengutuk, dialog dengan cara sebaik-baiknya, bersikap adil dalam

menilai dan bersikap, memberi perhatian kepada apa yang dianggap utama, memakai fiqh muwazanah (pertimbangan yang matang antara yang tidak penting, penting dan lebih penting), mengutamakan perpaduan dan menjauhi perpecahan, matang dan bijaksana serta mampu mengawal emosi."

Tetapi malangnya, ciri-ciri unggul kepembangkangan itu tidak wujud di negara kita. Malah, yang membimbangkan Astora, beberapa pihak pengkritik yang rasional pula menghadapi tekanan serta kesempitan ruang. Bagaimanapun Astora gagal bertanya apakah latar belakang sosio-politik yang mendorong kehadiran 'pembangkang yang tidak rasional' (seperti takrifnya itu).

Saya telah mengupas gejala-gejala ini agak lama, walau tidak secara sistematik. Dalam kolum ini misalnya, saya telah menjelaskan dinamika tekanan kerajaan terhadap media. Pada hemat saya, kerajaan sengaja mematikan ruang independen dan menggalakkan ruang berparti (partisan politics) melalui tindakan-tindakannya. Saya juga mengupas keperluan untuk menegakkan ruang awam (public sphere) untuk intelektual awam.

Pengkritik kerajaan semuanya dirangkumkan dalam kumpulan proparti pembangkang, bekerjasama dengan pembangkang atau gerakan antikerajaan. Istilah-istilah ini digunakan, bersama berita dan konteksnya, untuk menggambarkan seolah-olah pengkritik kerajaan semuanya satu pihak, mempunyai kepentingan politik semata-mata, tidak patriotik, tidak bertanggungjawab atau ada niat tidak baik terhadap kerajaan.

Padahal dalam realiti, pengkritik kerajaan itu pelbagai sifatnya. Ada kumpulan wartawan seperti Malaysiakini.com atau Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami). Ada kumpulan NGO atau pemikir individu, misalnya Dr Chandra Muzaffar atau Dr Farish A Noor. Malah kumpulan penggiat seni atau sasterawan juga mempunyai sikap kritis tertentu terhadap dasar-dasar kerajaan.

Sebelah pihak

Dalam banyak isu, pendirian mereka tidak dapat meraikan atau bersetuju dengan mudah sama ada dalam kerangka berfikir PAS atau Umno. Ertinya, mereka bukan mewakili kepentingan, sudut pandang atau sentimen pembangkang.

Ambil satu contoh, penggiat seni menentang tindakan mengharamkan makyong serta wayang kulit di Kelantan (di bawah PAS) sama seperti mereka mempertikaikan larangan konsert rock (di Melaka) dan persembahan teater Vaginal Monologue (Kuala Lumpur).

Bagaimanapun, kritikan mereka ini tidak mendapat tempat, khususnya dalam media arus perdana.Media ini hanya berminat menyiarkan cebisan pandangan mereka yang boleh menghentam pembangkang. Pendapat mereka ini akan diminta untuk mempertahankan sikap serta dasar kerajaan.

Cara pendapat ini diolah serta dipersembahkan pula selalunya tidak menyeluruh. Oleh itu, orang ramai tidak nampak asas pertimbangan atau selok-belok idea itu dikupas berdasarkan isu-isu tertentu.

Parti-parti pembangkang, melalui media rasmi mereka serta ceramah umum, juga tidak bersikap berimbang. Tabiat berpolitik kita memang begini. Media pembangkang sama sahaja dengan media arus perdana. Oleh itu, masyarakat disumbat dengan pandangan sebelah pihak.

Dalam waktu-waktu tertentu, kedua-dua pihak ini mematikan isu serta pandangan yang menghentam orang politik, sama ada gelagat dungu di Kota Bharu atau di Shah Alam.

Wacana politik

Gejala buruk ini muncul akibat persaingan pengaruh politik antara parti kerajaan dengan pembangkang. Masing-masing cuba menggambarkan mereka 'mampu mentadbir' negara ini. Oleh itu, masing-masing cuba menggambarkan golongan siswa, teknokrat dan profesional (atau umumnya mereka yang terpelajar) bersama parti masing-masing.

Malah, mereka cuba pula menggambarkan lawan politik mereka sudah tidak menarik perhatian pemikir negara ini dan oleh itu 'tidak mampu mentadbir'.

Namun, wacana harian politik kita dan pembingkaian wacana itu tidak pula menunjukkan kehebatan akal dan rasionaliti. Sebaliknya, orang ramai dilihat mudah tertarik dengan wacana politik dan bahan bacaan yang sensasi serta menuntut penilaian akal rendah, misalnya berita misteri dan hiburan sensasi. Buku atau majalah yang berorientasikan ilmu tidak popular.

Jadi, hakikatnya Astora, kita berdepan dengan realiti yang sangat buruk, yang tidak merayakan kebebasan akliah yang matang dan waras bertunjangkan ilmu.

Tindakan kerajaan serta dasar-dasar kebebasannya dalam bidang akademik, media dan hak bersuara, dari semasa ke semasa, memantapkan lagi trend ke arah merendahkan upaya akal dan bertindak secara sebelah pihak (partisan) serta tidak rasional.

Cuba jelaskan Astora, jika semua penerbitan yang saya sertai (atau mempunyai kolum) ditarik balik permitnya dan ruang untuk saya menulis hari demi hari semakin sempit. Bermula majalah Detik , Wasilah dan kini malaysiakini . Apakah saudara bermimpi (dan memaksa) saya bertindak rasional dalam keadaan seperti itu?