Akhirnya debat perdana antara PAS dan Umno terlaksana juga, walaupun kali ini dalam skel yang kecil tanpa liputan akhbar, jauh sekali siaran secara langsung. Debat SAR (Sekolah Agama Rakyat) itu menamatkan debar dan penantian dua dekad orang Melayu untuk melihat kedua-dua parti beradu dalam satu majlis ilmu.

Dewan debat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu penuh dengan hadirin yang diundang dengan kad jemputan khas. PAS dan Umno masing-masing diberikan 300 kad jemputan. Sebanyak 300 kerusi yang diperuntukkan kepada PAS digunakan sepenuhnya oleh parti itu untuk membawa masuk para penyokongnya.

Tetapi Umno bertindak sebaliknya. Ketua Umno bahagian Chenderoh, Datuk Nazri Aziz yang menjadi pendebat Umno memilih untuk datang seorang diri. Khabarnya di atas permintaan beliau, Pemuda Umno telah melarang ahli-ahlinya daripada menghadiri majlis itu. Alasan yang

diberikan ialah kerana tidak mahu berlaku pertembungan kedua-dua penyokong parti yang kemungkinan menyebabkan ketegangan.

Lantas DBP mengedarkan kad jemputan yang ditolak oleh Umno kepada jemputan lain yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, profesional dan pemerhati politik. Akhirnya debat yang dijangka hangat pada awalnya itu berlangsung dalam suasana lapang, penuh bijaksana dan terkawal.

Syabas DBP dan Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Deraman kerana berani dan berjaya mejayakan wacana ilmu itu. Walaupun debat itu tidak mendatangkan apa-apa kesan besar kepada perpaduan Melayu atau memberi faedah kepada usaha menyelamatkan SAR, namun ekurang-kurangnya ia dapat membukti dua perkara besar.

Sikap terbuka

Pertama, Umno dan PAS boleh duduk di pentas yang sama membahasakan apa isu sekalipun asalkan kedua-dua pihak bersikap terbuka dan berdisiplin. Walaupun tiada titik pertemuan dalam sesuatu isu itu, namun ia membuktikan kedua-dua masih boleh duduk berbincang.

Bertemu, berbincang dan kemudian berbeza pendapat adalah lebih baik daripada bertegang urat di dada akhbar yang berat sebelah itu. Siapa tahu debat SAR ini akan menjadi perintis kepada langkah yang lebih besar antara Umno dan PAS.

Tentunya masih segar dalam ingatan kita bagaimana dua pemimpin besar, Datuk Seri Mahathir Mohamad dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor berdiri di pentas yang sama tahun lalu berbicara mengenai isu Palestin. Kita boleh menganggp debat SAR ini sebagai lanjutan kepada sikap terbuka Dr Mahathir dan Fadzil itu.

Mungkin selepas ini DBP tidak akan keberatan untuk menganjurkan majlis-majlis ilmu yang lebih bermakna, bukan sekadar debat politik tetapi perbincangan dan dialog-dialog yang mungkin merintis jalan perpaduan dan penyatuan antara kedua-dua parti.

Perkara kedua yang berjaya ditonjolkan oleh debat SAR ini ialah sikap terbuka kerajaan terhadap acara-acara politik. Sekurang-kurangnya kerajaan Barisan Nasional boleh mendakwa ia tidak mengekang majlis-majlis politik (walaupun ceramah politik terus diharamkan) kerana DBP dibiarkan bebas menganjurkan majlis itu.

Kurang serius

Kerajaan tidak menghalangnya walaupun ia berpotensi menjatuhkan maruahnya jika wakil atau pendebatnya gagal berhujah dengan baik bagi mempertahankan pendirian kerajaan.

Sekarang PAS tidak boleh lagi menuduh kerajaan menyekat kebebasan bersuara kerana sekurang-kurang majlis-majlis politik secara tertutup masih dibenarkan.

Tiada siapa yang menang dalam debat ini walaupun timbalan ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang menjadi pencadang pada malam itu nyata lebih menyerlah bakat dan ketokohannya daripada Menteri Perusahaan Awam, Nazri yang menjadi pembangkang dalam debat tersebut.

Salehuddin lebih serius dan bersiap sedia. Beliau datang dengan fakta dan bukti untuk menegakkan hujah manakala Nazri bersahaja dan kurang serius. Kesan daripada debat ini, kini wujud fenomena cabar mencabar untuk berdebat.

Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar telah meminta DBP menganjur semula debat 'debat perdana' antaranya dengan rakan sejawatannya dari Umno, Datuk Hishamuddin Hussein o­nn, yang sepatutnya berlangsung pada 1999 tetapi tidak menjdi kenyataan.

Kebebasan berhimpun

Lima hari selepas debat SAR itu, Nazri yang nampaknya tidak puas berdebat dengan Salahuddin mengajak pula ahli Exco negeri Terengganu, Datuk Musatapha Ali untuk berdebat dengannya mengenai isu penutupan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Adakah ini bermakna kita akan berdepan dengan beberapa siri perdebatan politik yang hangat? Mungkinkah majlis debat akan menggantikan ceramah-ceramah politik yang ditelah diharamkan itu?

DBP tentunya tidak berupaya untuk terus dibebani dengan tanggungjawab sebagai penganjur. Pihak-pihak lain perlu tampil bersama untuk memikul tanggungjawab ini. Tetapi adakah sesiapa yang seberani DBP itu?

Debat SAR ini membuktikan kerajaan BN dan Umno tidak perlu takut pada bayang-bayang. Lihatlah, walaupun debat di antara Salahuddin dan Nazri telah berlangsung, penyokong kedua-dua parti tetap rasional dan berdisiplin. Kembalikanlah kebebasan bersuara dan berhimpun!