Anwar Ibrahim bukannya banduan biasa. Beliau mendapat layanan yang lain daripada yang lain. Layanan ke atasnya sangat luar biasa. Layanan ke atasnya sangat 'istemewa'. Sejak dari awal kesnya meletup, beliau tidak dilayan sebagai banduan. Beliau adalah tahanan politik yang dikurung bagaikan penjenayah ganas yang tidak boleh dihukum mengikut prosidur biasa.

Seluruh dunia tahu bekas Timbalan Perdana Menteri ini tidak mendapat perbicaraan yang adil. Sepanjang kesnya disebut beliau dinafikan hak untuk dijamin sedangkan tuduhan ke atasnya membenarkannya dijamin dan berada di luar penjara sementara menunggu keputusan perbicaraan. Banyak kali bukti dan keterangan dalam perbicaraannya dianggap "tidak relevan".

Tempoh remannya tidak dianggap sebahagian daripada tempoh hukuman sedangkan pesalah lain sering diberikan kelonggaran itu.

Dalam kes bekas Timbalan Presiden Umno ini mahkamah hilang budi bicaranya. Kononnya prosidur yang ada dipatuhi sepenuhnya, itu sebabnya tempoh reman hampir setahun itu tidak diambilkira sebagai sebahagian daripada hukuman sedangkan dalam kes-kes lain termasuk jenayah berat seperti membunuh, merogol dan sebagainya, hukuman diringankan.

Kini heboh pula spekulasi mengatakan Anwar akan dibebaskan pada 14 April. Beliau yang dihukum penjara enam tahun di atas kesalahan rasuahnya telah menjalani satu pertiga daripada tempoh hukuman. Mengikut prosidur biasa, mana-mana banduan yang berkelakuan baik akan dibebaskan selepas tempoh satu pertiga itu.

Bodoh

Apa bodohkah mereka yang meniupkan dan mempercayai spekulasi ini? Tidakkah mereka sedar siapa Anwar? Jangan mengharapkan buah yang tidak mungkin gugur. Menunggu Anwar dibebaskan dalam tempoh terdekat adalah seperti menunggu kucing bertanduk!

Kalau ada pemimpin negara yang sanggup melihat Anwar keluar bebas pada 14 April ini, itu adalah satu tindakan paling bodoh. Membiarkan Anwar di luar penjara, walaupun beliau tidak boleh berpolitik secara aktif atau dalam perkataan lain bertanding dalam pilihanraya samalah seperti menggali kubur sendiri.

Walaupun telah 'menyepi' diri di penjara Sungai Buloh sejak empat tahun lalu namun 'taring dan kukunya' masih berbisa. Walaupun kalangan pemimpin Umno menyatakan Anwar Ibrahim bukan satu isu besar lagi namun, tiada siapa di kalangan mereka berani mengambil risiko membiarkan Anwar bebas?

Pastinya Anwar tidak akan dibebaskan pada 14 April ini walaupun beliau berkelakuan baik. Pelbagai alasan akan dicari untuk memanjangkan tempoh hukumannya. Malah Ketua Pengarah Penjara, Datuk Mustapa Osman telah menegaskan Anwar perlu menjalani hukuman hingga tahun 2009, bagi menghabiskan tempoh hukuman bagi kesalahan kes liwatnya.

Anwar sedang menunggu rayuan kes liwatnya pada 24 Mac ini. Mengikut prosidur atau precedent biasa, beliau sepatutnya diberikan ikat jamin sementara menunggu rayuan kesnya didengar. Bagaimanapun beliau terus disumbat di belakang tembok Sungai Buluh. Kerana apa? Kerana Anwar bukannya 'banduan'!

Kelembutan Pak Lah

Kini orang ramai mengharapkan sedikit 'kelembutan' daripada pemangku Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menangani isu Anwar ini. Percutian Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad diharapkan mencerahkan harapan kes Anwar ditangani dengan seadil-adilnya. Namun isyarat yang ada tidak menampak sebarang sinar.

Abdullah seperti juga Dr Mahathir, tidak mampu menangani Anwar secara politik. Lebih-lebih lagi bila pilhanraya umum 2004 semakin hampir, jangankan diri Anwar, kalau boleh namanya juga mahu dilenyapkan terus. Bayang-bayang mata lebamnya sentiasa menghantui para pemimpin Umno.

Oleh itu Anwar perlu terus dipenjara.

Pemuda Keadilan patut hentikan sahaja persiapan untuk menyambut kebebasan Anwar kerana beliau terlalu 'istimewa' untuk dibiarkan berada di luar. Anwar Ibrahim sudah tiada tempat di luar sana.

Jasadnya terpenjara namun jiwanya merdeka. Anwar nampaknya terpaksa mengabadikan terus kata-kata keramatnya, "jangan sebut tentang perjuangan kalau takut menanggung risiko"!