Memalukan! Tidak bertanggungjawab! Inilah imej yang terconteng di muka para pemimpin Umno dan media arus perdana sekarang. Sama ada sengaja atau tidak, media arus perdana telah melaporkan suatu berita yang bertentangan dengan keadaan sebenarnya.

Ini dikuti oleh para pemimpin Umno yang telah membuat kenyataan dan ulasan yang semborono mengikut nafsu, bukannya menggunakan akal dan ilmu!

Akhirnya terserlah segala penipuan dan pemutarbelitan fakta oleh media arus perdana dan pemimpin Umno apabila Pemegang Mohor Besar Raja-raja, Engku Ibrahim Engku Ngah membuat penjelasan bahawa Majlis Raja-raja belum merestui pemberhentian bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Sebaliknya, kata beliau, majlis itu hanya menyetujui pembentukan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan isu tersebut.

Nah, siapa yang berbohong? Siapa yang melawan keputusan Raja-raja Melayu? Pemangku Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang telah dihentam oleh para pemimpin Umno apabila beliau mahu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai " restu " Majlis Raja-raja terhadap tindakan kerajaan Barisan Nasional " itu.

Para pemimpin parti pembangkang dianggap "menderhaka" sedangkan hakikat sebenarnya ialah ada pihak yang "tersalah" lapor atau "tersilap tafsiran" terhadap keputusan majlis itu.

Memohon maaf

Kini di mana para pemimpin Umno yang lantang mengkrtik Haji Hadi itu? Di mana media arus perdana mahu menyorok muka kerana melaporkan berita yang salah di muka depan tempoh hari? Salah wartawan atau pengarangnya?

Sepatutnya akhbar arus perdana ini memohon maaf pada Majlis Raja-raja kerana membuat laporan salah hingga menimbulkan silap faham rakyat terhadap Raja-raja Melayu.

Bagaimanapun akhbar-akhbar ini bertindak sebaliknya. Bukan sahaja enggan memohon maaf, malah memerapkan penjelasan pemegang mohor raja-raja itu. Hanya akhbar Utusan Malaysia menyiarkannya di muka dalamnya (mengapa tidak di muka depan?).

Bagaimanakah akhbar arus perdana yang kononnya begitu profesional ini boleh tersalah lapor? Mungkin kerana terlalu ghairah mahu memenangkan "political master" mereka hingga terlupakan etika kewartawanan yang dianuti.

Sebenarnya Majlis Raja-raja Melayu belum membuat apa-apa keputusan berhubung isu SAR kecuali menyetujui pembentukan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan isu ini.

Apa yang berlaku pada hari itu ialah Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohammad memberi taklimat mengenai isu SAR kepada Raja-raja Melayu, kemudian mencadangkan pembentukan jawatankuasa itu. Lalu Raja-raja Melayu menyetujuinya.

Sekolah swasta

Jawatankuasa itu diberi tempoh tiga bulan untuk membuat cadangan bagi menyelesaikan isu yang sangat sensitif ini. Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Murad Mohd Noor dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

Menteri Pendidikan telah menyatakan bahawa kerajaan telah mengemukakan dua cadangan kepada jawatankuasa itu untuk dipertimbangklan iaitu menghendaki semua SAR mendaftar dengan kementerian berkenaan dan bergerak sebagai sekolah swasta atau menjadi sekolah agama yang mendapat bantuan penuh kerajaan.

Begitu pantas kerajaan mengemukakan cadangannya kepada jawatankuasa itu. Adakah ini bermakna pihak-pihak lain termasuk parti-parti pembangkang juga boleh mengemukakan cadangan bagi menyelamatkan SAR?

Begitulah sepatutnya. Jika hanya kerajaan dibenarkan mengemukakan pandangan dan cadangannya, maka tiada ertinya penubuhan jawatankuasa itu.

Jawatankuasa ini sepatutnya dibiarkan bergerak bebas untuk mengkaji segala aspek SAR dan pro serta kontra pengekalan dan pembubarannya. Jawatankuasa ini patut diberi kuasa untuk menyiasat sama ada benar dakwaan Perdana Menteri bahawa SAR menjalankan kempen anti kerajaan dan menjadi sarang pengganas.

Penghapusan SAR

Hanya dengan cara ini sahaja barulah jawatankuasa ini dapat berfungsi dengan berkesan dan dapat membuat penilaian dan keputusan yang adil dan bijaksana. Tiada gunanya jika ia sekadar sebuah jawatankuasa yang menjadi "rubber stamp" kepada segala cadangan dan syor kerajaan Barisan Nasional.

Sebenarnya rakyat tidak meletakkan apa-apa harapan pada jawatankuasa ini. Seluruh negara sudah

mengetahuinya bahawa keputusan memberhentikan bantuan kewangan kepada SAR adalah muktamad. Perdana Menteri telah berkali-kali menegaskannya. Jawatankuasa ini hanya menjadi "alat dan saluran" untuk menghalalkan "penghapusan" SAR secara perlahan-lahan.

Namun, sekurang-kurangnya dengan adanya penjelasan dari Engku Ibrahim itu, rakyat kini boleh berasa lapang seketika kerana SAR masih boleh bernafas walaupun dalam keadaan yang terumbang-ambing.

Dan kesan yang paling penting dari isu SAR buat ketika ini ialah penyerlahan kepincangan media massa arus perdana dalam melaporkan sesuatu berita itu. Mungkin bukan SAR yang patut dirombak tetapi media massa arus perdana yang patut dibubarkan.