Di mana kredibiliti media sekarang? Kalau dulu kita dimomokkan dengan tohmahan terhadap sekatan bersuara dan berkarya pada media massa tempatan, kini kita berdepan dengan media antarabangsa yang sudah hilang wibawanya.

Lebih parah lagi apabila yang hilang maruah dan kredibiliti ini adalah pihak yang selama ini menjadi juara kebebasan akhbar. Nampaknya pencerobohan ke atas Iraq telah mendedahkan 'pekung' media-media antarabangsa.

Kegagalan pemilik atau syarikat media ini untuk bersikap bebas, seimbang dan melaporkan perkara yang benar, bukan sahaja menjadikan orang ramai keliru, malah hilang kepercayaan terhadap maklumat dan fakta yang dihidangkan.

Apabila keadaan ini berlaku, salah satu fungsi media massa telah terlucut. Stesen televisyen dan agensi berita antarabangsa kini tidak lagi dianggap sebagai penyalur maklumat semasa kerana kesahihannya diragui.

Jadilah ia semata-mata saluran hiburan, tempat berhibur dan bersantai yang mudah, murah dan selesa. Apa yang dihidangkan oleh stesen televisyen antarabangsa terutamanya drama, soap opera, filem cereka dan ruangan hiburan, masih diterima baik oleh para penonton tetapi slot beritanya, diterima dengan penuh kesangsian, curiga dan tanda tanya.

Sedikit masa dulu media tempatan, terutamanya akhbar berbahasa Melayu dicop sebagai alat propaganda parti pemerintah. Media massa ini dijadikan alat untuk menyebarkan agenda dan dakyah pihak tertentu.

Tauke media

Hanya berita positif mengenai parti dan kerajaan sahaja mendapat tempat manakala cerita mengenai parti pembangkang ditapis atau dihalang terus.

Apabila begini senario media massa tempatan, maka muncul 'tok guru-tok guru' dari Amerika dan dunia barat mahu mengajar pengamal media tempatan cara-cara yang betul dan berkesan untuk menulis berita, rencana dan analisis.

Mereka mengkritik kerajaan dan media massanya seolah-olah segala yang dilakukan di sini adalah salah dan segala yang mereka amalkan di tempat mereka, betul dan sesuai utntuk dipraktikkan di sini.

Namun setelah kita menyaksikan apa yang berlaku semasa pencerobohan ke atas Iraq ini, barulah terdedah siapa sebenarnya pengamal media dan tauke mereka itu.

Media massa Amerika terutamanya, penuh dengan propaganda, berita yang tidak tepat serta tunduk pada tekanan pihak penceroboh hingga menyebabkan wartawan perang veteran, Peter Arnett disingkirkan daripada stesen televisyen NBC.

Nampaknya, mereka yang selama ini menjadi juara demokrasi, juara kebebasan media dan hero hak asasi manusia, telah tidak bertaring lagi. Mereka seperti 'ketam yang mengajar anaknya berjalan betul'.

Kewibawaan dipertikai

Stesen CNN contohnya, yang dikagumi selama ini kerana keberanian, ketepatan dan kepantasan pemberitaannya, kini bertukar menjadi media yang paling tidak dipercayai oleh para penonton.

Stesen NBC yang sebelum ini mempertahankan setiap laporan dan kakitangannya, telah tunduk kepada tekanan George W Bush hingga sanggup menyingkirkan Peter Arnett.

Kini CNN dan NBC tidak lagi menjadi idola masyarakat dunia. Stesen televisyen baru seperti al-Jazeera dan al-Arabia mengambil alih tempat CNN . Walaupun belum tentu laporan stesen yang berpangkalan di Asia Barat itu tepat 100 peratus, namun penonton lebih mempercayainya.

Penonton di negara Asia Barat khususnya, menumpukan perhatian kepada stesen bangsa mereka sendiri. Ini terjadi kerana penonton semakin matang dan kritis. Mereka mahukan perubahan dan alternatif.

Sikap penonton yang menganggap jenama dari Amerika dan Barat itu tidak semestinya yang terbaik dan betul, telah menyebabkan berlaku perubahan dalam arus media antarabangsa ini.

Apabila rakyat Amerika sendiri mempertikaikan kredibiliti CNN , ini bererti demokrasi dan kebebasan media di seluruh dunia perlukan perubahan.

Nasib CNN dan NBC

Ini juga bererti media massa antarabangsa bukan lagi tempat rujukan atau 'sekolah' yang sesuai untuk pengamal media dan para pelajar bidang komunikasi massa.

Oleh itu, kiblat demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan media perlu diubah. Amerika tidak sesuai lagi untuk dijadikan contoh. Amerika bukan lagi paksi kebebasan bersuara dan berkarya.

Rakyat dan pengamal media kita juga harus lari daripada mencontohi Amerika. Media massa tempatan mesti membentuk acuan kebebasannya sendiri yang sesuai dengan norma dan keadaan setempat.

Al-Jazeera

atau al-Arabia juga bukan acuan sesuai buat kita. Kita perlu ingat dasar imperialis Amerika dan Barat tidak akan membiarkan mana-mana stesen media atau negara menongkah arus mereka.

Tidak mustahil satu hari nanti pengaruh Uncle Sam menyerap dalam stesen televisen itu. Satu hari nanti, al-Jazeera atau al-Arabia mungkin senasib dengan CNN dan NBC - menjadi alat propaganda Amerika. Oleh itu awaslah!