Majalah antarabangsa The Economist terbitan 5 April telah menyiarkan rencana yang memperlekehkan sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Menurut majalah dari London itu, sumbangan terbesar Dr Mahathir kepada negara ialah bersara buat selama-lamanya.

Artikel itu juga menyebut: "Menempatkan Dr Mahathir di Jeddah, di mana OIC beribu pejabat akan memberi satu lagi kelebihan, sekurang-kurangnya bagi Malaysia; ia akan membawa beliau keluar dari negara itu."

Rencana tulisan Christopher Lockwood itu telah menyebabkan para pemimpin negara melatah. Daripada Pemangku Perdana Menteri hinggalah diperkatakan oleh pemimpin di peringkat bahagian. Masing-masing mengambil peluang untuk 'mengipas' Perdana Menteri.

Ulasan mereka pastinya membela Dr Mahathir dan mengutuk The Economist . Bagaimanapun di peringkat akar umbi Umno dan di kalangan rakyat jelata lain, mereka tidak begitu ambil peduli terhadap tulisan itu.

Kerana apa? Sebab 99.9 peratus rakyat negara ini tidak membaca majalah asing itu. Bahkan sebahagian besar daripada mereka tidak tahu pun bagaimana rupa majalah itu, apa lagi isu kandungannya!

Publisiti percuma

Jika para pemimpin Umno tidak melatah saban hari di media massa tempatan mengutuk The Economist , pastinya tiada siapa yang tahu mengenainya.

Bagaimanapun, hujah para pemimpin Umno, majalah itu tetap perlu ditegur dan diajar walaupun ia tidak begitu meluas edaran dan pengaruhnya di dalam negeri kerana ia memberikan gambaran buruk mengenai Malaysia dan Dr Mahathir kepada para pembaca di luar negara.

Tidak semena-mena The Economist mendapat publisiti percuma di media massa tempatan. Rakyat yang tidak pernah mendengar namanya, tiba-tiba menjadi arif mengenai majalah itu.

Kini ramai yang tercari-cari artikel itu, mereka ingin tahu apa sebenar yang ditulis di dalam The Economist . Majalah yang tidak seberapa jumlah edarannya di pasaran tempatan itu telah 'habis terjual'.

Kini petikan rencana itu diedar di kalangan rakyat Malaysia menerusi Internet dan di Fotostat untuk bacaan umum. Tidakkah tindakan mengecam dan memberi publisiti murahan kepada The Economist telah menikam diri sendiri?

Reaksi berlebihan

Sepatutnya pemimpin negara menerima tulisan bertajuk " A Qualified Success...." itu dengan hati terbuka. Biarkan sahaja ia senyap dan tenggelam begitu sahaja di rak-rak majalah di kedai-kedai buku.

Ataupun kalau tetap mahu diulas dan ditegur, lakukan secara profesional dan berhemah, bukan secara melulu oleh pelbagai pihak.

Kita bertindak keterlaluan apabila memberi reaksi berlebihan kepada tulisan picisan dalam The Economist itu. Bukan sahaja para pemimpin malah rakyat dan dunia luar tahu siapa Dr Mahathir.

Kita semua tahu apa sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat dunia ketiga dan negara-negara Islam. Rencana yang tidak berasas itu hanya sedap untuk dibaca tetapi tiada siapa akan mempercayainya.

Kita hilang kerasionalan apabila mahu mengharamkan atau menyekat edaran majalah itu di sini semata-mata kerana penyiaran rencana tersebut.

Tegur KDN

Kita sebenarnya termasuk ke dalam perangkap majalah ini khususnya dan media-media Barat amnya, jika terlalu sensitif terhadap tulisan mereka yang memburuk-buruk pemimpin dan negara ini.

Layanan buruk dan sikap negatif media asing terhadap negara bukannya perkara baru. Sudah banyak kali majalah antarabangsa memburuk-buruk pemimpin negara ini. Sepatutnya kita sudah lali dengan layanan dan sikap mereka itu.

Mereka sengaja menyiarkan tulisan negatif itu dengan niat buruk, mahu menguji kematangan kita dan mahu melihat kita melatah dan akhirnya berkonfrantasi dengan mereka. Apabila ini berlaku, maka akan lebih mudahlah agenda untuk memburuk dan menekan kita.

Memang wajar kita berhati-hati, mengecam dan bertindak balas terhadap perbuatan negatif pihak asing terhadap negara ini, tetapi sebelum semua tindakan kontroversi dan berkonfrantasi dilakukan, adalah lebih wajar diperbetulkan dahulu organisasi sendiri.

Dalam kes penyiaran artikel dalam majalah The Economist ini, pihak yang pertama sekali kali patut ditegur dan diperbetulkan ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kementerian ini yang bertanggungjawab terhadap permit, bahan cetak dan pengedaran, sepatutnya memantau dengan teliti bahan-bahan yang dimuatkan di dalam majalah itu.

Yang tersirat

Jika kementerian ini menjalankan tugas dengan betul, pastinya bahan yang sensitif itu dapat ditapis sebelum ia memasuki pasaran kita.

Mengapa rencana itu tidak ditapis sedangkan prosidur biasa memerlukan semua bahan itu diteliti dan ditapis dahulu oleh pegawai berkenaan? Adakah ia sengaja dilepaskan dengan niat dan tujuan tertentu?

Mungkinkah satu sabotaj sengaja dirancang terhadap Dr Mahathir menjelang hari-hari terakhir perkhidmatannya?

Kalau ini satu sabotaj, ia adalah satu kerja yang sia-sia. Dr Mahathir sendiri tahu semua usaha untuk memadamkan rekod baiknya itu tidak akan berjaya.

Barangkali itulah sebabnya mengapa beliau (sehingga rencana ini ditulis) hanya mendiamkan diri. Belum ada sebarang ulasan darinya mengenai rencana itu. Perdana Menteri tentunya lebih tahu dan faham apa yang tersurat dan tersirat.