Pakatan cerdik pandai untuk membisu?
Kita berdepan dengan kemelut - antara "memurnikan" kesedaran politik dengan membentuk sikap politik yang tidak berparti.
Memaknakan di sini, ertinya bukan sekadar "memberikan" kesedaran berpolitik, mengajak orang ramai mengetahui isu semasa dan terbabit berfikir serta bertindak daripada maklumat politik itu; tetapi menyampaikan erti yang lebih mendalam daripada maklumat atau peristiwa politik pada landasan yang wajar dalam hubungan antara rakyat, orang ramai, dengan pemerintah serta parti politik.
Hari ini, kemelut ini benar-benar jelas. Orang ramai kelihatan lebih suka berkiblat sepenuhnya kepada orang politik dan tunduk rela, menyerahkan "kepercayaan", kepada orang politik.
Kita berdepan dengan kemelut - antara "memurnikan" kesedaran politik dengan membentuk sikap politik yang tidak berparti.
Memaknakan di sini, ertinya bukan sekadar "memberikan" kesedaran berpolitik, mengajak orang ramai mengetahui isu semasa dan terbabit berfikir serta bertindak daripada maklumat politik itu; tetapi menyampaikan erti yang lebih mendalam daripada maklumat atau peristiwa politik pada landasan yang wajar dalam hubungan antara rakyat, orang ramai, dengan pemerintah serta parti politik.
Hari ini, kemelut ini benar-benar jelas. Orang ramai kelihatan lebih suka berkiblat sepenuhnya kepada orang politik dan tunduk rela, menyerahkan "kepercayaan", kepada orang politik.
Pihak-pihak lain masih wujud tetapi tenggelam, tersembunyi, di balik penguasaan orang politik. Mereka tidak boleh berdiri sendiri tanpa dicurigai atau bertopang pada orang politik.
Mereka boleh berdiri sendiri tetapi pengaruhnya sangat terbatas. Untuk itu, untuk merasai nikmat berkongsi pengaruh serta kekuatan atau setidak-tidaknya untuk mencari khalayak, nampak ketara kecenderungan pihak-pihak lain ini (bukan politik secara langsung) untuk mengasosiasi diri dengan orang politik.
Jika tidak begini, isu-isu yang ingin disuarakan terbatas khalayaknya (dan kesan awamnya). Oleh itu, rela atau tidak, pihak-pihak lain telah membingkai buah fikirannya dalam konteks yang ditakrif, atau difikir begitu, oleh parti-parti politik.
Tidak popular
Orang politik mengupas terlalu banyak isu, sementara suara pihak-pihak lain tenggelam. Media lebih senang mengutip kenyataan orang politik. Pihak lain akan digunakan untuk menyokong wacana (atau lebih tepat, pembingkaian wacana) orang politik melalui media atau pentas politik.
Kita pula dengan rela membaca, secara sedar atau tidak, dan melanjutkan wacana itu (walau secara terbatas) seperti yang telah dibingkaikan itu. Pihak-pihak lain boleh keluar, atau berdiri di luar daripada pembingkaian wacana ini, tetapi akhirnya mendapati khalayaknya kecil dan tidak popular.
Sikap berdiam diri, khususnya melalui media massa, kumpulan bukan politik, telah menzahirkan lagi kepentingan serta penguasaan orang politik dalam kehidupan kebangsaan kita.
Gejala ini sungguh ketara sejak krisis politik 1998. Sebelum krisis ini, beberapa dekad sebelumnya, suara pihak-pihak lain masih lagi kedengaran dan mendapat tempat. Tetapi malangnya, ia telah "mati" hari ini.
Saya tidak mahu menyalahkan orang politik atas penguasaan berlebihan isu-isu kemasyarakatan; barangkali juga pihak-pihak lain harus sedar sikap berdiam diri mereka, sikap tidak berminat menyanggah atau menyertai isu-isu bernegara secara awam (melalui media massa, misalnya) akan menenggelamkan suara mereka.
Gejala ini juga perlu diteliti, perlu diberikan perhatian serius -- kenapa dan bagaimana boleh wujud hal sedemikian. Apakah kerana mereka berasa tidak perlu turut bertarung di pentas nasional, membabitkan diri dalam debat nasional?
Terkena tempias
Jika tidak perlu, mengapa mereka berfikir demikian -- apakah kerana suara mereka tidak diberikan perhatian atau saluran untuk menyuarakannya sangat sempit (atau tidak ada)? Atau, mereka sudah bersetuju dan berpuas hati dengan apa yang dibicarakan oleh orang politik, kerajaan dan pembangkangnya?
Saya fikir, apa pun alasannya, sikap berdiam diri kumpulan bukan politik dalam isu-isu berkepentingan awam, dan menyerahkan tugasan ini sepenuhnya kepada orang politik, sejenis sikap tidak bertanggungjawab. Sikap ini sangat dikesali, sikap yang pendek akal, tidak tahan uji. Ia sejenis pengkhianatan melalui sikap berdiam diri atau disebut 'konspirasi senyap".
Memang benar orang politik lebih tersusun, gerak kerjanya merakyat tetapi kebijaksanaan atau hujah rasional tidak memerlukan bilangan; ia memerlukan pengetahuan dan renungan mendalam. Atau setidak-tidaknya, sudut-sudut pandang berbeza untuk mencerahkan minda awam dalam isu-isu yang hangat diperdebatkan.
Kumpulan-kumpulbukan politik tidak mati. Ia masih wujud dalam kelompok-kelompok aktif. Mereka juga terkena tempias politik, mereka turut membicarakan hal-hal semasa khususnya dalam kelompok kecil mereka ini.
Tetapi dalam konteks isu-isu semasa, khususnya yang disifatkan "kontroversi", sarat dengan nilai politik atau mencabar kebijakan kerajaan, kewujudan nasionalnya tidak dirasai orang awam.
Mereka hanya dikenali sebagai penyanyi, ahli sukan, siswa, penyajak, doktor, pelukis, pengarah filem, guru, pekerja swasta, kakitangan kerajaan, penulis cerpen, penggiat teater atau "tokoh masyarakat" yang dipandang umum tetapi tidak menyertai debat isu-isu semasa.
Mudah tersinggung
Sementara yang cakna isu-isu semasa pula, termasuk sering kelihatan dalam wacana dan aksi politik, terlalu rapat dengan orang politik sehingga dirangkumkan dalam rangkaian kerja politik, sama ada kerajaan atau pembangkang.
Mereka tidak berdiri sendiri, mereka tidak menyampai suara kewarasan-kewajaran, tetapi sebahagian daripada kelompok yang bertelagah. Mereka dilihat berpihak, ingin memenangkan atau mempertahankan suatu pihak.
Dalam waktu yang sama, ruang politik yang dikuasai kerajaan tidak senang dengan kemunculan kelompok lain bersuara, termasuk pembangkang -- kumpulan yang paling sah bersuara dalam konteks kerajaan-pembangkang. Apatah lagi kumpulan-kumpulan bukan politik. Kerajaan tidak mahu mendedahkan kebodohan mereka melalui suara kumpulan bukan politik.
Mereka tidak rela pembangkang mendapat sedikit keuntungan daripada kebijakan kumpulan bukan politik. Selama ini kumpulan bukan politik sengaja tidak diberikan ruang "mencampuri urusan politik" melalui proses penyahpolitikan (depoliticisation) dan penyahpekaan (desensitisation).
Sementara pembangkang pula mudah rasa tersinggung jika di dalam kelompoknya muncul suara kelainan, khasnya yang mendedahkan kelemahan dalaman parti atau kebijakan politiknya.
Mereka mudah rasa tergugat jika dasar-dasar kerajaannya dipertikaikan atau kebobrokan pentadbiran negerinya dibuka kepada umum. Sikap mereka tiada beza dengan kerajaan pusat. Mereka tidak mahu kita berdiri sendiri, berfikir rasional.
Kelompok kecil
Kemelut ini mesti dipecahkan. Urusan bernegara bukan di mulut orang politik sahaja. Bukan kepentingan parti politik sahaja yang harus kita berikan perhatian, urusan sebenar seharusnya pada citarasa dan kehendak rakyat.
Walau rakyat diwakili dalam pelbagai kelompok dan peringkat tetapi biarlah suara tulen mereka mengatasi kepentingan orang politik. Atau setidak-tidaknya, suara mereka dikumandangkan dan turut direnung bersama.
Debat awam seharusnya membawa natijah ini. Untuk mendengar suara hati serta minda pelbagai kelompok, dan untuk memilih kebijaksanaan. Idea dibenarkan bertanding, walau saranan atau sudut pandang seorang manusia. Agar tidak ada penindasan kelompok dominan dalam masyarakat, agar tidak wujud peminggiran berterusan kelompok-kelompok kecil.
Demokrasi kita harus melahirkan natijah ini. Dengan rela hati, dengan penuh sedar, dengan kefahaman yang mendalam, demokrasi seperti ini harus dianuti, dijadikan nilai bersama. Sesiapa yang mencanggahi nilai ini harus berasa malu pada diri.
Nota : Penulis mengalu-alukan maklum balas daripada pembaca berhubung tulisan ini, kemungkinannya untuk diterbitkan menjelang September tahun ini, sempena ulang tahun kelima 'Gerakan Reformasi'. Hubungi penulis di alamat e-mel faomar3@yahoo.co.uk

