Aliran Kesedaran Negara (Aliran) berhempas-pulas mendapatkan permit penerbitan (PP) untuk majalah berbahasa Melayu, selain Aliran Monthly , pada pertengahan 1980-an. Namun, selepas lama berjuang, majalah ini gagal diteruskan kerana, antara faktornya, tidak mendapat sambutan di kalangan pembaca Melayu!

Parti Rakyat Malaysia (PRM) hampir-hampir ''berperang'' dengan Kementerian Dalam Negeri beberapa tahun lalu apabila permit penerbitan Suara PRM gagal diperbaharui. Tetapi selepas mendapat PP, akhbar ini masih tidak berjaya diusahakan dengan baik isi dan sambutan.

Di Filipina selepas kejatuhan presiden Ferdinand Marcos pada 1986 dan di Indonesia selepas kejatuhan Suharto pada 1998, landskap media dikawal oleh syarikat gergasi tradisi, antaranya termasuk yang mendukung kerajaan diktator sebelumnya atau mempunyai hubungan kronisme dengan dua pemimpin politik itu.

Mendapat permit penerbitan, jika itu sejenis lambang ''kebebasan'', atau menjatuhkan diktator, belum tentu menjamin kita mengecapi nikmat kebebasan akhbar sebaik-baiknya. Belum tentu, "ruang" itu berjaya mengubah amalan politik anti-demokrasi dan mencetuskan kebebasan akhbar yang kita impikan.

Oleh itu, saya ingin menarik perhatian yang sama-sama relevan dengan isu-isu tekanan kerajaan yang kita sama-sama sedar dan arif. Gerakan menuntut kebebasan akhbar sejak lima tahun lalu, 1998, nampaknya lupa satu lagi dimensi penting. Kita terlupa isu-isu "lain" yang tersembunyi.

Ruang kebebasan

Menentang tekanan kerajaan dan mendesak kebebasan pada satu matra sebenarnya sejenis perjuangan menuntut "ruang awam". Tetapi persoalan mengisi ruang kebebasan itu dengan mutu dan profesionalisme tidak kurang pentingnya. Dalam konteks media berbahasa Melayu, khususnya media alternatif (politik), kedua-dua isu ini harus kita bicarakan sekarang.

Saya menjadi ragu-ragu apakah kebebasan yang harus menjadi keutamaan, yang mendorong kelahiran mutu dan profesionalisme akhbar berbahasa Melayu? Atau, mutu dan profesionalisme (baca: keinginan bersuara dan keghairahan menulis) yang ada akan menolak pembukaan ruang kebebasan?

Saya tidak bermain-main dengan "teori kosong" apabila bertanya soalan yang kelihatan mentah ini. Tentunya, sebagai aktivis media, saya tidak menolak sama sekali peranan ruang kebebasan kita menjerit selama ini untuk mewujudkannya. Tetapi saya juga terganggu dengan mutu dan profesionalisme yang ada, yang boleh dicapai tanpa terlebih dahulu menunggu "ruang" kebebasan.

Ada pihak berhujah, mutu serta profesionalisme datang bersama kebebasan. Apabila wujud ruang ini, akan wujud pelaburan (kelicinan aspek perniagaan) dan wartawan profesional.

Sekarang, menurut pihak ini, tekanan sistematik kerajaan menakutkan pelabur dan oleh itu semua kegiatan penerbitan diadakan secara ala kadar modal yang tidak mencukupi dan wartawan tidak terlatih.

Pernyertaan ramai

Hujah mereka, media alternatif wujud semata-mata untuk memenuhi ruang sempit yang menyempitkan ini, "hidup segan, mati tidak mahu", kata pepatah Melayu.

Tetapi apakah hujah atau analisa ini sepenuhnya benar, boleh dipertahankan? Apakah tidak mungkin kita meningkatkan mutu dan profesionalisme dengan keterbatasan yang ada? Atau, hujah tekanan kerajaan ini "tidak sejati", hanya sejenis alasan kita untuk kekal tanpa mutu dan profesionalisme? Ini isu pertama.

Isu kedua, ruang kebebasan harus datang bersama penyertaan ramai. Tetapi, seperti juga isu mutu dan profesionalisme, penyertaan awam dalam media berbahasa Melayu, khususnya media alternatif, sangat mengecewakan.

Saya syak ada saringan sumbangan rencana (pendapat) dan surat pembaca di akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Tetapi syak ini agak sukar dihujahkan apabila media alternatif sebenarnya tidak mendapat penyertaan (sumbangan) tulisan dan surat pembaca. Edarannya meluas, bergantung pada kehangatan isu-isu semasa, tetapi sumbangan dan debatnya tidak wujud.

Begitu juga pengalaman saya ketika bertugas selama 22 bulan di akhbar web malaysiakini (sejak Disember 1999). Selain kekurangan maklum balas serta debat pembaca, terdapat kerendahan mutu tulisan serta kualiti penghujahan dalam bahasa Melayu.

Media alternatif

Tidak kurang pembaca Melayu yang suka menulis dalam bahasa Inggeris di akhbar web ini. Saya mengandaikan, di kalangan penulis surat kepada akhbar ini, generasi muda menggunakan bahasa Melayu, sementara generasi usia 40-an dan ke atas menggunakan bahasa Inggeris. Oleh itu, terdapat jurang mutu ini.

Namun, jelas sekali, semua media alternatif dan pembangkang berbahasa Melayu (mungkin tidak termasuk Harakah ) mengalami masalah ini tiadanya penyertaan aktif pembaca. Isu ini serius kerana ruang kebebasan media yang terbatas ini tidak dimanfaatkan untuk mendebatkan isu-isu yang sentiasa "panas" dalam krisis politik yang rancak sejak 1998. Kenapa?

Saya tidak nampak perlunya orang ramai (baca: aktivis) menunggu "ruang kebebasan" untuk merancakkan penyertaan. Mungkin, proses penyahpekaan (de-sensitisation) politik dan penyahpolitikan (depoliticisation) menimbulkan kesan halus dan perlahan-lahan gejala tiada penyertaan aktif pembaca.

Kita sangat sedar, kebebasan akhbar tidak berdiri sendiri perlu wujud kebebasan dalam konteks yang luas perlu wujud kebebasan akademik, kebebasan maklumat, kebebasan berhimpun dan pendemokrasian di negara kita.

Tetapi kemuncak kebingungan saya, kenapa aktivis-aktivis politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan siswa Melayu tidak rancak menyertai ruang ini? Tidakkah mereka di antara kelompok atau lapisan masyarakat Melayu yang sedar dan giat berpolitik kenapa mereka juga "membeku" vis a vis kegiatan menulis dan menyertai debat melalui media alternatif?

Tandatanya

Gejala ini sering menimbulkan tandatanya dalam minda saya selama ini dan mulai ragu-ragu apakah kebebasan media nanti (jika kita berjaya hasilkan) akan merangsang penyertaan ramai?

Dalam satu diskusi ringkas ''Kenapa aktivis malas menulis?'' (19 Mei), saya menjelaskan gejala ini sangat berbahaya kepada masa depan perjuangan kebebasan akhbar dan juga proses pendemokrasian negara.

Ruang tidak harus dibiarkan kosong, ia harus diisi dan dituntut melalui penghayatan. Jika kita menuntut kebebasan berhimpun, maka kita harus menganjurkan perhimpunan walaupun bersusah payah berdepan dengan risiko ditangkap dan dibicarakan di mahkamah.

Jika kita memilih kebebasan akhbar, kenapa kita tidak menulis, menerbit dan menterjemah? Sehingga kita sanggup menerbit bahan-bahan bermutu, dalam kuantiti yang "mewah", walaupun tanpa PP?

Proses ini belum berlaku di sini. Oleh itu, saya tidak fikir kita sebenarnya telah faham selok-belok, dinamika dan implikasi tuntutan "ruang" kebebasan akhbar. Kita masih menjerit, melafazkan niat; bukan menghayati semangat perjuangan ini dan menulis... Tugas ini tentunya, pertama-tama, harus dimulakan oleh aktivis.

Jangan terjadi seperti Aliran dan PRM, atau kelambatan menguasai ruang kebebasan akhbar di Filipina atau Indonesia, walaupin demokrasi semakin pulih selepas kejatuhan diktator masing-masing. Kita sepatutnya sedikit-sebanyak belajar dari Checkoslovakia.


Nota : Rencana ini diolah semula daripada sedutan kertas kerja bertajuk ''Isu-isu Utama Kebebasan Akhbar Berbahasa Melayu'' yang diedarkan sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia anjuran 'Save Ourselves' (SOS) di Pulau Pinang pada 4 Mei 2003. Kertas kerja ini menyenaraikan enam faktor utama yang harus diberikan perhatian serius mulai sekarang.