Busung yang membusut itu akhirnya meletup! Terbongkar segala kebusukan dan penyelewengan dalam pihak berkuasa tempatan. Tabik untuk Datuk M. Kayveas kerana berani membongkar kepincangan yang cuba ditutup oleh kerajaan-kerajaan negeri sebelum ini.

Walaupun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang menjadi sasaran dan kerajaan negeri Selangor dan Datuk Menteri Besarnya yang panas punggung, namun secara umumnya "peluru" yang ditembak oleh timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu mensasar ke semua

negeri.

Pembongkaran Kayveas itu mendedahkan kepada kita rupa-rupanya terdapat ramai "tonto" di dalam pihak berkuasa tempatan. " Tonto" mengikut fahaman umum ialah singkatan kepada individu yang bersifat "Tolong orang untuk tipu orang".

Maka "tonto-tonto" yang berada di dalam pihak penguatkuasa ini jauh lebih merbahaya dan lebih keji daripada "tonto-tonto" yang berkerja secara langsung dengan tauke VCD cetak rompak atau tauke judi lumba kuda haram. Mereka inilah yang patut diperangi dahulu kerana selagi mereka menjadi gunting dalam lipatan, operasi-operasi serbuan atau penguatkuasaan tidak akan berjaya.

Bagaimana mahu berjaya kalau "spy-spy" yang bergaji hingga RM70,000 sebulan itu membocorkan maklumat. Oleh itu apa yang dilakukan oleh Kayveas adalah suatu yang wajar dan tepat. Memang patut beliau disokong.

Para peminpin negara termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim nampaknya berdiri teguh di belakang Kayveas - kecuali Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang nampaknya cuba melindungi MPAJ dan para pegawainya.

Tuduhan rasuah

Sebenarnya apa yang diperjuangkan oleh Kayveas ini bukanlah perkara baru. Rais sendiri pada tahun lalu menyuarakan rasa tidak senangnya terhadap pihak-pihak berkuasa tempatan. Secara terbuka beliau pernah menuduh pegawai penguatkuasa tempatan menerima rasuah kerana pendatang haram bebas berniaga di pasar malam dan gerai serta bengkel haram tumbuh macam cendawan di mana-mana sahaja.

Malahan selama ini orang ramai sudah berbuih mulut mengadu kepada pihak berkenaan dan menulis kepada akhbar tentang ketidakberkesanan dan penyelewengan pihak-pihak berkuasa tempatan.

Namun teguran Rais tidak diambil peduli. Entah di mana silapnya perkara serius yang dibangkitkan oleh Rais itu dimatikan begitu sahaja. Namun kali ini bertemu buku dengan ruas. Kayveas tentunya telah mempunyai segala maklumat dan bukti, jika tidak masakan beliau berani mendedahkan nama pegawai MPAJ yang didakwanya menerima sogokan RM70,000 sebulan.

Sebagai seorang peguam, tentunya beliau tahu kesan daripada tindakannya itu jika ia dibuat secara melulu. Kini Kayveas telahpun membuat laporan polis dan mengadu kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Terpulang kepada pihak polis dan BPR untuk mengambil tindakan selanjutnya. Diharapkan pihak berkuasa ini, khususnya BPR menjalankan kerjanya dengan amanah dan profesional. Jangan nanti selepas dua bulan, polis dan BPR menyepikan diri atau mengeluarkan kenyataan "tidak cukup bukti."

Kita tahu BPR selama ini selalu tiada taring apabila berhadapan dengan kes-kes yang melibatkan kroni para pemimpin negara atau orang kuat parti. Jalankanlah kerja dengan penuh tanggungjawab. Cukuplah dengan adanya "tonto" di dalam pihak berkuasa tempatan, jangan pula ia menular ke dalam pasukan polis dan BPR kita.

Kuasa melantik

Kayveas juga telah mencadangkan supaya kuasa melantik yang dipertua pihak berkuasa tempatan dipindahkan kepada kerajaan pusat bagi memudahkan prestasi pemegang jawatan itu dipantau secara adil dan saksama. Syor beliau itu wajar dipertimbangkan tetapi adalah lebih baik kalau struktur ahli majlis pihak berkuasa tempatan itu dirombak seluruhnya.

Selama ini perlantikan menjadi ahli majlis daerah, majlis perbandaran atau dewan bandaraya telah dijadikan tempat untuk "membalas budi" oleh parti-parti politik yang berkuasa hingga mengenepikan kepentingan penduduk setempat. Parti-parti seperti Umno, MCA, MIC, Gerakan malah PPP yang dipimpin oleh Kayveas sendiri sering berebut-rebut untuk mengisi kerusi ahli majlis.

Semua komponen Barisan Nasional mahu orang mereka dipilih. Akhirnya senarai anggota majlis akan dipenuhi oleh Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undngan Negeri, Ketua dan Timbalan Ketua bahagian Umno atau ahli-ahli jawatankuasanya, ketua-ketua cawangan MCA, Gerakan dan MIC. Tiada wakil persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih.

Mengapa wujud senario sebegini? Adakah kerana mereka mahu berebut elaun bulanan yang tidak seberapa itu? Bukan! Itu bukan jawapannya. Jawapan yang paling tepat ialah jawatan ahli majlis itu adalah "lombong emas" yang sangat lumayan.

Jawatan sebagai ahli majlis akan membuka ruang dan peluang kepada ratusan kotrak dan peluang perniagaan yang wujud di dalam sesebuah daerah atau perbandaran itu. Kawasan Ampang Jaya misalnya, begitu luas dan penduduknya begitu ramai. Taman-taman perumahan berselerak. Bayangkan berapa banyak kontrak mengangkut sampah, menebas rumput, mengorek longkang dan sebagainya yang boleh direbut?

Lumayan

Kontrak-kontrak ini nampak remeh dan kecil tetapi mempunyai nilai ringgit yang besar. Sudah ramai

kontraktor mengangkut sampah, memotong rumput dan mengorek longkang yang sudah menjadi kaya raya.

Kalau mereka ahli perniagaan yang tulen, tidak mengapa tetapi sebahagian besarnya adalah sahabat handai atau kroni atau proksi ahli-ahli majlis. Mereka menjadi orang kaya baru semata-mata kerana mempunyai "kabel" yang kuat di pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Itu sebabnya ramai orang Umno, MCA, MIC dan lain-lain berlumba-lumba mahu menjadi ahli majlis pihak berkuasa tempatan ini. Lumayannnnnn...

Sebenarnya apa yang dibongkar oleh Kayveas itu hanya "setitik air di lautan". Terlalu banyak kepincangan di dalam pihak berkuasa tempatan kita. Rasuah dan penyelewengan di dalam institusi ini berselerak dari bawah hingga ke atas. Tidak mungkin ia boleh dihapuskan kalau yang berjuang itu hanya Kayveas seorang.

Begitu jugalah, selagi pihak berkuasa tempatan terutamanya keanggotaan ahli majlisnya dipolitikkan, perjuangan, Kayveas ini hanya ibarat anjing menyalak bukit.