Anwarisme lawan Mahathirisme di kampus
Penghujung 1995, tiba-tiba meledak debat hangat antara penasihat sains Perdana Menteri dengan seorang profesor matematik. Penasihat ini nampaknya cukup terganggu dan sedikit beremosi selepas mendengar idea "pemperibumian sains" profesor itu. Debat panas ini melibatkan isu peribadi, "misalnya tidak tahu berbahasa Inggeris", sedikit sebanyak meresahkan para peserta di satu seminar Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM).
Tetapi mungkin tidak ramai peserta, juga wartawan, menyedari debat itu bukan menyentuh dua tokoh ini sahaja atau perbezaan tafsiran sains serta pendekatan kemajuan negara berlandaskan teknologi. Ribut idea itu sebenarnya juga mewakili dua aliran besar akademia, agama, "tradisi Melayu", pendekatan pembangunan dan juga tokoh tertinggi politik negara ini, Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Anwar Ibrahim.
Profesor Shaharir Mohamad Zain mewakili mazhab "sains Islam", lebih dekat dengan "jiwa Melayu" (kebetulan anak Kelantan) mengemukakan idea bahawa sains itu tidak bebas nilai; sains tertakluk pada konteks budaya sesuatu bangsa. Ketika menyampaikan ucapan keprofesorannya di Universiti Kebangsaan Malaysia, dia telah membahaskan idea ini dengan menarik dalam Simbiosis antara Sistem Nilai dengan Tabii Matematik (1990).
Dalam menentang asakan kempen penggunaan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran sains dan matematik, sejak 10 tahun lepas, profesor ini sering bersama pejuang bahasa serta sastera di pihak bukan kerajaan. Selain profesor Osman Bakar, dulu di Universiti Malaya, Shaharir tokoh utama di balik Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi). Turut menyokong idealisme akademi ini, Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim dari Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) - antara tulang belakang projek pembangunan IT yang rancak sekarang.
[Namun, saya tidak pasti sama ada Asasi sedar atau tidak usaha "sulit" kerajaan untuk menukar bahasa pengantar di UKM, sebuah kampus yang dibina atas semangat nasionalisme Melayu (termasuk pejuang bahasa), kepada bahasa Inggeris - satu lagi usaha sistematik untuk mengginggeriskan bahasa (dan kemudiannya buah fikiran serta budaya?) selepas projek penukaran bahasa pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah awal tahun ini.]

Penasihat sains itu (sehingga 2001), Omar Abdul Rahman, tentunya mewakili pandangan dominan kerajaan, khususnya yang datang dari mulut Dr Mahathir sendiri. Sains dan teknologi wajib dikejar demi kemajuan bangsa (baca: kekayaan ekonomi) agar kita boleh setanding dengan negara-negara maju. Untuk itu, pemikiran tradisi dan juga bahasa Melayu wajar dikesampingkan.
Pemikiran maddiyah
Berbeza dengan pendukung Asasi, mereka menganut mazhab sains itu neutral. Kita boleh mengimport sains dan teknologi Barat (baca: Anglo-Amerika) tanpa menimbulkan sebarang kekacauan dalam bidang nilai, asas pemikiran dan budaya Melayu-Islam. Agama, pemikiran dan budaya Melayu harus dinilai semula dalam konteks mengejar kekuatan ekonomi, khususnya menggunakan sains dan teknologi (industri) tinggi.
IKIM, satu projek Islam Dr Mahathir, bertujuan untuk memenuhi agenda ini, seperti dia pernah memberi komen "gejala sosial (remaja) boleh membantutkan ekonomi orang Melayu" ketika muncul gejala bohsia kira-kira 10 tahun lepas. Jerebu atau denggi, dua isu kesihatan awam yang serius, tidak boleh dilaporkan kepada media kerana kononnya "menakutkan pelancong" - sumber pendapatan negara yang penting. Gejala ini disebut pemikiran maddiyah (materialisme) oleh PAS dalam satu muktamar.
Mazhab sains-agama-pembangunan-politik inilah yang disebut "Mahathirisme". Khoo Boo Teik telah menjelaskan konsep seumpama ini dalam The Paradoxes of Mahathirism (1995) tetapi kita belum mendengar mazhab "Anwarisme" - tanggapan-tanggapan bekas pemimpin negara ini, juga diwakili oleh teman-temannya, dalam isu-isu ekonomi, bangsa, sains, agama dan bahasa.
Saya percaya, cabaran terunggul dalam bidang pemikiran terhadap Mahathirisme adalah "Anwarisme" seperti terzahir dalam perselisihan antara penasihat sains PM dengan profesor matematik UKM itu.
Pertentangan ini diungkap dengan baik, walau belum cukup mendalam, dalam buku profesor Hairudin Harun Kosmologi Melayu dalam Era Teknologi Maklumat (2001). Ahli akademik UM ini juga sebahagian penggerak sains Islam khususnya dalam bidang pemikiran teknologi maklumat. Buku ini elok dibaca bersama karya Anwar sendiri, The Asian Renaissance (1996) dan teman rapatnya Siddiq Fadil, Minda Melayu Baru (1992) sebagai mana Mahathirisme dapat dicapai, selain ucapan dan dasarnya, melalui The Malay Dilemma (1970) dan Menghadapi Cabaran (1974).
Dalam bidang kemajuan intelektualisme Melayu, pada hemat saya, tidak pernah ada serangan paling profound dan authentic terhadap pemikiran arus perdana kerajaan (baca: Mahathirisme) kecuali daripada ahli-ahli akademik yang bersama Asasi.
Perbezaan ringkas
Malangnya, tidak ramai pemikir Melayu, termasuk aktivis muda atau ahli politik (termasuk pembangkang), menyedari pertempuran mendalam dua aliran ini. Dengan sebab itu, isi serta isu debat antara dua mazhab ini belum mencapai tahap popular, seperti mudahnya kita melihat pertembungan tafsiran agama dan pembangunan antara Umno dengan PAS, atau antara kerajaan dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) atau Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).
Malah saya percaya PAS dan JIM umumnya, begitu juga sebahagian Abim, gagal menghargai (apatah lagi menghayati) idea, sudut pandangan serta keseriusan penghujahan Asasi.
Saya bimbang wujudnya "jurang" antara intelektual sains ini dengan ahli politik atau aktivis Melayu (walau mereka suka menonton filem Matrix Reloaded ). Terasa semacam gerakan fundamentalisme Islam (kecuali beberapa kerat) dan juga aktivis badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini tidak begitu sofistikated melihat kepentingan penghujahan yang dibawa Asasi. Tanggapan ini bagaimanapun setakat pengalaman terhad penulis dengan aktivisme dan debat falsafah sains.
Apakah perbezaan asasi mazhab "Anwarisme" dengan Mahathirisme? Bezanya ringkas, landasan melihat, menilai dan memajukan bangsa. Anwarisme menggunakan landasan Islam (sejenis cabang fundamentalisme) sebagai alat menafsir semua unsur bangsa dan negara, termasuk ekonomi, sastera-bahasa, kebudayaan, sains teknologi dan pembangunan. Jadi, boleh juga kita sebut paradigma "Islamisme".
Tetapi bagi Mahathirisme, ekonomi harus menjadi jendela menafsir dunia Melayu dan Malaysia. Kita boleh katakan paradigma "ekonomisme" - sejenis cara pandang untuk melenturkan semua unsur bangsa dan negara di bawah takluk kepentingan ekonomi. Sains dan teknologi harus diimport dari Barat dan disegerakan. Kepentingan ekonomi mengatasi segala pertimbangan.
Malah, jika unsur-unsur lain seperti bahasa, pendidikan, pemikiran atau tradisi agama (juga, penerimaan masyarakat) dianggap tidak mengizinkan, unsur ini harus dicairkan mengikut acuan ekonomisme. Sebab itu, pengajaran Sains dan Matematik di peringkat rendah, bahasa pengantar di kampus serta orientasi pendidikan tinggi kita mengikut acuan teknikal sains dan dalam bahasa Inggeris.
Namun, kedua-dua mazhab ini menghargai unsur luar, khususnya Barat dan Islam. Mereka bersungguh-sungguh mengikuti perkembangan ekonomi dan sains teknologi dari Barat. Mereka juga suka kepada kekuatan Islam di peringkat antarabangsa.
Politik akademia
Apakah Mahathirisme boleh berlaku adil terhadap aliran Anwarisme dalam dunia intelektualisme, di kampus, dalam bidang penafsiran dunia Melayu dan Malaysia? Apakah selepas Anwar dipenjara, tokoh-tokoh akademik dan institusi yang mendukung alirannya juga akan berkubur perlahan-lahan?
Dr Mahathir pernah kurang senang dengan penubuhan ISTAC (Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam) di Universiti Islam Antarabangsa dan mungkin juga pengasasnya profesor Muhammad Naguib Alatas. Baca semula teks ucapan PM ketika merasmikan institut ini. Kini ISTAC telah dikecilkan peranannya di UIA berbanding dulu, seperti juga Pusat Dialog Peradaban, dulu di bawah Dr Chandra Muzaffar, di UM.
Aliran Mahathirisme, jika dalam kes Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah "menang" selepas pemecatan Anwar apabila tidak lama selepas itu sukatan pelajaran pendidikan Islam dipendekkan, dan satu mata pelajaran yang menarik, Sejarah dan Falsafah Sains Islam dibuang, seperti nasib bahasa baku dan bukunya Kebangkitan Asia (cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka). Hujahnya, sukatan lama di UiTM dianggap sejenis saluran pengembangan idea pensyarah "anti-kerajaan".
Hakikatnya ia turut melibatkan "sejenis politik akademia" taraf tinggi, yakni tafsiran saintisme sebagai ideologi kemajuan (diwakili melalui ucapan Dr Mahathir Mohamad) tetapi ditolak oleh aliran sains Islam sebagai pandangan akademik alternatif dan kritis.
Nota : Ketika seminar ini diadakan di IKIM, penulis bertugas sebagai koresponden Kuala Lumpur bagi akhbar tempatan Utusan Sarawak . Buku Kosmologi Melayu dalam Era Teknologi Maklumat sangat jelas menghuraikan ketegangan antara dua mazhab ini dan kelompongan pengikut Mahathirisme. Selain dalam bentuk buku (cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka), karya ini boleh dicapai di laman web Institut Semiotik Siber (Cyber Semiotic Institute), Kanada.
Elok dibaca untuk mengenali satu lagi dimensi - epistemologi - pertembungan antara Dr Mahathir dengan Anwar walau pengarang buku ini tidak menyebut begitu. Hairudin Harun hanya menyebut latar sejarah Abim dan Asasi tetapi hubungan antara dua badan ini dapat dilihat misalnya melalui tokoh akademik seperti Osman Bakar (tokoh utama Asasi dan juga bekas setiausaha agung Abim), peranan Asasi dalam isu-isu sosio-politik semasa dan selepas Anwar dipecat sejak 1998, dan keprihatinan Anwar "menaungi" kegiatan intelektualisme ini (ketika dalam kerajaan).
Bagi pengarang, projek teknologi maklumat (IT) kerajaan hari ini ke arah melahirkan "orang Turing Melayu" yang berfikiran sintaksis, analitikal dan reduksionis yang mampu menghakis peranan budaya fikir tradisional yang bercorak semantik, sintesis dan holistik.