Segala-galanya berjalan lancar, proses peralihan kuasa yang menjadi agenda utama Perhimpunan Agung Umno 2003, nampak seperti sudah selesai. Bakal presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah nampaknya tidak akan menghadapi sebarang masalah dalam memilih siapa orang nombor duanya.

Jaminan yang diberikan oleh calon-calon utama untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden parti - Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhammad Mohd Taib untuk tidak akan mencabar mana-mana tokoh yang dipilih untuk menjadi timbalan Pak Lah tentunya amat melegakan presiden Umno sekarang, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir terlalu bimbang sepeninggalannya nanti, akan berlaku perebutan jawatan yang akan menghancurkan Umno. Beliau bimbang peristiwa tahun 1987/1988 akan berulang.

Setelah mendengar jaminan daripada ketiga-tiga naib presiden itu, beliau yakin Umno akan selamat di tangan Pak Lah. Ini jelas terbayang dalam ucapan penggulungannya di mana beliau kelihatan begitu tenang, ceria dan yakin.

Tiada "tension"di wajah, tiada juraian air mata mengiringi ucapan dan pantun-pantunnya. Hanya ketika menghentam Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat beliau nampak agak marah dan geram sedikit.

Itulah senarionya buat masa ini. Umno nampak berpadu kuat. Namun, tunggulah selepas November ini. Empat bulan lagi kita akan tahu siapa akan jadi orang nombor dua Pak Lah. Ketika itu baru kita tahu adakah ketenangan dan kedamaian yang dikecapi oleh Umno akan berpanjangan atau janji hanya tinggal janji.

Membuat kejutan

Penulis yakin seluruh ahli Umno sudah bulat untuk menerima sesiapa sahaja dari kalangan naib presiden yang ada. Kalau Najib dipilih, ia tidak mengejutkan langsung kerana beliau memang mempunyai segala kelayakan untuk menjadi timbalan perdana menteri.

Kalau Muhyiddin dilantik, juga tidak mengejutkan kerana beliau juga layak dan berpengaruh. Jika Muhammad "Mike Tyson" diangkat oleh Pak Lah, ia mungkin satu "upset" kerana beliau adalah calon "underdog". Namun pemilihannya tetap boleh diterima oleh ahli-ahli Umno kerana beliau sama hiraki dengan Najib dan Muhyiddin.

Sebenarnya kata sepakat dan jaminan-jaminan yang diberikan oleh ketiga-tiga naib presiden itu belum menyelesikan sepenuhnya masalah Pak Lah dalam memilih timbalannya. Ramai pemerhati berpendapat kata sepakat itu cuma di peringkat naib presiden. Mereka sepakat untuk tidak cabar-mencabar berebut jawatan jika yang dipilih dari kalangan hiraki mereka.

Bagaimana kalau Pak Lah membuat kejutan, memilih timbalannya dari kalangan yang di luar hiraki naib presiden Umno? Adakah jaminan yang diberikan oleh Najib, Muhyiddin dan Muhammmad untuk menyokong " sesiapa sahaja yang dipilih oleh Pak Lah " itu akan terus dikotakan?

Adakah mereka akan terus memberi sokongan kalau ditakdirkan Datuk Seri Dr Rais Yatim atau Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang dipilih oleh Pak Lah?

Kalau mengikut tradisi parti memanglah yang akan dipilih oleh Pak Lah nanti ialah antara Najib, Muhyiddin dan Muhammad. Tradisi ini tidak pernah dilanggar oleh presiden-presiden Umno yang lalu.

Kematangan

Allahyarham Tun Hussein Onn pernah berura-ura mahu melantik Tan Seri Ghazali Shafie menjadi timbalannya tetapi telah ditentang oleh tiga orang naib presiden Umno ketika itu. Ku Li, Ghafar Baba dan Dr Mahathir telah memberi kata dua kepada Tun Hussein supaya menggugurkan cadangannya itu dan mesti memilih calon timbalan perdana menteri dari kalangan mereka sahaja. Tun Hussein akhirnya akur, beliau memilih Dr Mahathir.

Bagaimana kalau Pak Lah melanggar tradisi kali ini? Adakah janji yang dibuat oleh ketiga-tiga naib presiden pada hari penutup perhimpunan agung 2003 itu akan ditepati. Atau mungkin mereka berpakat bertiga untuk berpaling tadah, menubuhkan "team" sendiri menentang Pak Lah dengan timbalan perdana menteri pilihannya itu?

Ini adalah politik, segalanya mungkin. Tiada yang mustahil, tiada siapa pernah terfikir Dr Mahathir akan memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada parti dan kerajaan.

Pak Lah juga licik dan bijak. Beliau mungkin mempunyai perhitungannya sendiri. Apabila beliau menegaskan untuk mengumumkan siapa timbalannya November nanti, sudah terbukti kematangan dan kebijaksanaan politiknya.

Walaupun didesak oleh pelbagai pihak termasuk Dr Mahathir supaya segera menamakan calon timbalannya, namun Pak Lah tetap tenang dan tegas dengan keputusannya untuk menamakan timbalannya hanya selepas kuasa berada di tangan.

Ketika ini tentu ramai yang menjangka Najib mempunyai peluang cerah untuk dipilih oleh Pak Lah. Dr Mahathir secara terus terang mahukan Najib. Dalam ucapan penggulungannya Sabtu lalu, sekali beliau memberi kredit kepada Najib apabila tertarik dan menyokong cadangan Najib supaya ditubuhkan sebuah institusi mengkaji cara hidup dan sejarah orang Eropah.

Ramai juga yang yakin Muhyiddin akan menjadi pilihan Pak Lah kerana "keselesaan" hubungan antara kedua-duanya manakala Muhammad pula dikatakan tidak berpeluang langsung kerana mempunyai rekod peribadi yang kurang baik.

Rais Yatim

Namun tiada siapa menolak kemungkinan Dr Rais juga termasuk dalam senarai teratas pilihan Pak Lah.

Kalangan pemerhati politik berpendapat Dr Rais mempunyai segala-galanya untuk dipilih sebagai orang nombor dua Perdana Menteri. Kelayakan, kebolehan dan pengalaman kerjanya sudah terbukti. Hubungannya dengan Pak Lah juga baik.

Dr Rais adalah "outsider" yang menggugat Najib, Muhyiddin dan Muhammad. Apa salahnya kalau kali ini Perdana Menteri Malaysia yang baru, merangkap pemangku presiden Umno, melanggar adat

Selama 22 tahun ini kita sudah diajar supaya berani " berkurang ajar ", mesti sanggup menerima perubahan dan menjadi Melayu Baru! Beranikah Pak Lah melanggar tradisi ini?