Tanda-tanda akan berlaku perebutan jawatan yang sengit dalam Umno tidak dapat disembunyikan. Walaupun antara kata sepakat para pemimpin parti Melayu terbesar itu di perhimpunan agungnya yang lalu ialah untuk mengelakkan perebutan jawatan, namun nafsu untuk mencabar dan merebut kuasa, kedudukan dan pangkat tidak dapat dibendung.

Sekurang-kurangnya itulah yang berlaku dalam sayap Pemuda parti itu. Kini sudah kedengaran ura-ura kemungkinan jawatan ketua pergerakan itu akan menjadi rebutan. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berangan-angan untuk menerajui pergerakan yang kini diterajui oleh Datuk Hishamuddin Tun Hussein itu.

Orang Dr Khir dari kalangan Umno Selangor khabarnya telah mula menghantar isyarat ke seluruh negara tentang hasrat "bos"mereka mahu menjadi ketua Pemuda Umno yang baru. Kerja-kerja "merisik khabar" ini giat dilakukan di perhimpunan agung Umno lalu. Dr Khir mahu meninjau peluangnya dahulu sebelum membuat keputusan terjun ke gelanggang.

Khabarnya Menteri Besar Selangor yang juga Exco Biro Agama Pemuda Umno itu ghairah memasang angan-angan, untuk menerajui pergerakan itu kerana beliau dan para penyokong menjangka berlaku kekosongan dalam jawatan tersebut kerana Hishamuddin akan bertanding merebut jawatan naib presiden Umno.

Kalau Hishamuddin benar-benar melepaskan jawatannya, Dr Khir tidak akan teragak-agak untuk bertanding jawatan tersebut. Beliau khabarnya bersedia mencabar sesiapa sahaja, termasuk Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang kini menyandang jawatan naib ketua Pemuda Umno.

Pertahan jawatan

Tetapi Dr Khir kemungkinan besar terpaksa menyimpan hasratnya merebut jawatan ketua Pemuda Umno andainya Hishamudddin mengambil jalan selamat untuk terus mempertahankan jawatannya sekarang.

Kalangan Pemuda Umno percaya Hishamuddin akan terus mempertahankan jawatan yang disandangnya sekarang dan melupakan hasrat untuk merebut jawatan naib presiden kerana beliau sedar peluangnya untuk memenangi salah satu jawatan itu agak tipis.

Apabila Hishamuddin terus mempertahankan jawatannya dalam Pemuda, Dr Khir tidak mungkin menentang Hishamuddin kerana keputusan itu boleh dianggap sebagai "membunuh diri". Pengaruh Dr Khir tidak sekuat mana walaupun beliau adalah seorang menteri besar, berbanding Hishamuddin yang sudah menanam pengaruh kuat di peringkat akar umbi pergerakan itu.

Kalangan Pemuda Umno juga percaya kalaupun Hishamuddin mengosongkann jawatannya dan Dr Khir bertanding menentang tokoh-tokoh lain untuk merebut jawatan tersebut, peluangnya juga tidak secerah mana. Lebih-lebih lagi kalau calon yang ditentangnya ialah Abdul Aziz atau Ketua Menteri Melaka Datuk Ali Rustam.

Naib ketua Pemuda Umno setakat ini mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Beliau mempunyai kewibawaan tersendiri untuk memimpin pergerakan itu dengan berkesan. Malah Abdul Aziz ada ketikanya dilihat lebih menonjol daripada "bosnya" dalam menangani beberapa isu sensitif.

Pemimpin pelapis

Sebagaimana Hishamuddin yang telah membina asas yang kuat di peringkat akar umbi pergerakan itu, begitu jugalah dengan Abdul Aziz. Kalangan Pemuda Umno memberitahu, sepanjang perkhidmatannya sebagai orang nombor dua, Abdul Aziz telah membina rangkaian yang kukuh dengan pemuda di peringkat negeri.

Selain itu, perlantikannya sebagai ketua Pemuda Umno Kedah baru-baru ini, juga dilihat sebagai pengiktirafan kepada kemampuannya. Dr Khir walaupun disebut oleh kalangan tertentu sebagai "orang kuat Pak Lah"di Selangor, namun keberkesanan kepimpinan beliau belum teruji.

Walaupun sering mendapat publisiti meluas di media massa kerana operasi memerangi maksiat, setinggan, pusat snoker dan VCD cetak rompak namun semua itu belum cukup untuk menonjolkan kredibiliti Dr Khir sebagai pemimpin pelapis Umno yang patut diketengahkan di peringkat nasional.

Kegagalan Dr Khir menangani beberapa isu besar seperti tuduhan rasuah terhadapnya yang dibongkar oleh penulis bebas Lutfi Othman dan ketidaktegasannya dalam menangani isu penyelewengan dan salahlaku dalam majlis kerajaan tempatan di Selangor, khususnya isu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) baru-baru ini, telah menjejaskan imejnya.

Dr Khir dilihat belum meninggalkan impak yang besar di Selangor walaupun beliau cuba menonjolkan imej mesra rakyat dan Islamiknya. Tindak tanduknya di dalam negeri Selangor sendiri sering diperlekeh dan dipertikaikan oleh saf kepimpinan Umno negeri. Beliau sebenarnya mempunyai ramai musuh di negeri yang diterajuinya ini.

Tunggang-langgang

Justeru, "doktor gigi" ini masih dianggap sebagai ahli politik yang mentah, belum cukup pengalaman untuk menerajui Pemuda Umno kerana keadaan di Selangor sendiri tunggang-langgang.Laluan politik Dr Khir masih jauh. Untuk membuka mata ahli Umno terhadapnya, apa yang perlu dilakukannya sekarang ialah membuktikan kemampuannya untuk memenuhi sasaran "sifar pembangkang" di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam pilihanraya 2004.

Jika beliau berjaya merampas lima kerusi yang dimenangi oleh PAS, Keadilan dan DAP pada tahun 1999 dulu, beliau boleh mendabik dada dan menutup mulut semua musuh politiknya di Selangor dan sekali gus mengukuhkan peluang dan haknya untuk merebut kerusi ketua Pemuda Umno.

Kalangan Pemuda Umno percaya, keputusan sama ada Dr Khir akan bertanding merebut jawatan itu bergantung kepada keputusan pilihanraya umum 2004. Kalau pembangkang berjaya mempertahankan kedudukan atau menambah bilangan kerusi di DUN Selangor, beliau boleh melupakan angan-angan untuk mengambil alih jawatanHishamuddin itu.

Sebenarnya pergerakan Pemuda Umno akan berada dalam dilema besar jika Hishamuddin mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya. Dilema untuk memilih ketua yang paling baik antara tokoh yang mempunyai jawatan dalam kerajaan atau tokoh yang di luar kerajaan.

Langkah Zahid Hamidi

Pergerakan ini pernah diterajui oleh orang di luar kerajaan beberapa tahun dulu apabila Datuk Zahid Hamidi memenangi jawatan itu. Ada kalangan berpendapat, sebagai sebuah sayap kanan parti yang sekaligus menjadi "watchdog" kerajaan, adalah lebih wajar Pemuda Umno diketuai seorang yang tidak terikat dengan kerajaan.

Ini bukan sahaja akan memberinya lebih masa untuk bersama pergerakan yang diketuainya, malah akan meningkat keberkesanannya memikul peranan sebagai sebuah "pressure group" kepada parti dan kerajaan.

Apabila tidak terikat dengan kepentingan dan jawatan dalam kerajaan, seorang Ketua Pemuda Umno itu akan lebih berani dan lantang menegur kerajaan dan parti.

Zahid telah membuktikan dulu apabila beliau membangkitkan isu yang sangat besar iaitu kronisme dan nepotisme dalam kerajaan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Dikhuatiri dalam keadaan politik Malaysia yang dikuasai oleh kegelojohan untuk merebut kekayaan demi kepentingan peribadi, seorang ketua Pemuda yang pada masa yang sama menjawat jawatan menteri kabinet atau Menteri Besar atau Ketua Menteri akan lebih cenderung untuk menjadi seorang "Pak Turut" sahaja.

Jika inilah sifir orang Umno, maka Hishamuddin atau Dr. Khir atau Datuk Ali Rastam memang tidak patut mengetuai pergerakan itu. Mungkinkah Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir atau Datuk Ibrahim Ali lebih layak?