Air oh airkeranamu dua jiran bermasam muka. Kerana isu air, dua negara bertelagah. Begitulah Malaysia dan Singapura sekarang, sama seperti budak-budak yang bergaduh.

Perbezaannya, anak-anak bergaduh tidak lama, mereka tidak berdendam. Lazimnya sejam atau sehari kemudiannya, mereka akan berbaik semula. Tetapi Malaysia dan Singapura sudah lama bermasam muka. Walaupun masih bertegur sapa, namun hubungannya penuh curiga dan prasangka.

Kini pertikaian antara kedua-dua negara berhubung isu air ini sudah berlarutan lebih lima tahun.

Bukannya menghampiri titik penyelesaian, tetapi semakin meruncing. Kedua-dua negara kini semakin hilang pertimbangan, menjadi emosional apabila saling balas membalas mengiklankan fakta-fakta dan hujah masing-masing.

Apabila Singapura mengeluarkan buku kecil bertajuk "Water Talks? If Only It Could" untuk mempertahankan kepentingannya dalam isu berkenaan, Malaysia pula menerusi agensi pemikir utamanya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah menyiarkan iklan di media massa tempatan untuk menjelaskan fakta sebenar mengenai perjanjian air antara kedua-dua negara.

Tidak cukup dengan itu, sebuah buku kecil bertajuk "Air: Pertikaian Singapura-Malaysia Fakta-Fakta Sebenar" diterbitkan dan dijual kepada orang ramai pada harga 3 sen senaskah.

Kos pengiklanan

Lantas, Singapura yang merasa tidak senang dengan tindakan penyiaran iklan oleh Malaysia itu telah mengambil langkah lebih jauh, menyiarkan iklan airnya di akhbar antarabangsa, Asia Wall Street Journal pada 25 Julai lalu. Iklan tersebut turut disiarkan di semua akhbar tempatan semalam ( kanan ).

Apabila mengeluarkan belanja yang besar dalam kempen media yang tidak berfaedah ini, kedua-dua negara sebenarnya tidak meraih apa-apa keuntungan. Publisiti ini hanya merugikan rakyat kedua-dua negara kerana wang pembayar cukai yang terpaksa menanggung semua kos pengiklanan itu.

Kita tidak tahu berapa ribu ringgit dihanguskan oleh MTEN apabila menyiarkan iklan semuka penuh dalam akhbar-akhbar tempatan. Kerajaan Singapura juga tentunya menanggung kos pengiklanan yang tinggi apabila membeli ruang dalam Asian Wall Street Journal .

Yang pasti meraih keuntungan daripada kempen media ini ialah syarikat-syarikat akhbar berkenaan sedangkan rakyat terus keliru. Kini isu air ini tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Kedua-dua pihak menunjukkan kedegilan dan "kekiasuan" masing-masing. Seolah-olah ruang rundingan sudah tertutup.

Kalau pintu rundingan sudah tertutup, apakah penyelesaiannya? Adakah isu ini akan menerima nasib

yang sama seperti isu Pulau Batu Putih? Terpaksa dirujuk ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk ditimbangtara dan ditentukan keputusannya?

Kalau isu air ini juga terpaksa dibawa ke The Hague untuk diselesaikan, ia jelas menunjukkan

ketidakmatangan Malaysia dan Singapura atau lebih ketara lagi ia menunjukkan kepura-puraan kedua-dua negara dalam hubungan diplomatiknya selama ini.

Perjanjian lapuk

Sebenarnya, hipokrasi Singapura khususnya, tidak boleh dibendung lagi, lebih-lebih lagi apabila persaingan

antara kedua-dua negara dalam segala sektor semakin sengit. Persaingan ini telah melahirkan bibit-bibit cemburu dan kebimbangan terhadap dominasi satu sama lain hingga berlarutan kepada isu air yang sepatutnya dapat diselesaikan di meja rundingan.

Kedua-dua pihak mungkin tersilap kerana terikat dalam satu perjanjian lapuk yang sudah tidak sesuai dengan keadaan semasa. Kalau kedua-dua pihak terutamanya Singapura menggunakan budibicara untuk mengenepikan perjanjian yang ditandatangani pada awal alaf yang lalu itu, merangka bersama dengan Malaysia satu perjanjian baru yang lebih adil dan munasabah, menetapkan satu harga yang patut bagi kedua-dua pihak, mungkin isu ini sudah lama selesai.

Wajarkah Singapura membayar cuma 3 sen untuk 1,000 gelen air? Tidakkah ini ibarat menerima air percuma-untuk bekalan sepanjang tahun dari Malaysia? Malaysia tidak menuntut harga pasaran yang kompetitif, apa yang kita mahukan hanya harga yang wajar dan suatu formula yang saksama dan sejati.

Singapura memang berhak menikmati harga 3 sen untuk 1,000 tetapi tidak bererti ia harus menutup mata pada keadaan ekonomi semasa di mana kos membekalkan air untuknya sudah naik berlipat kali ganda sedangkan harga air tetap 3 sen.

Para pemimpin Singapura tidak patut hanya melihat pada aspek undang-undang sahaja dalam menyelesaikan isu ini sebaliknya ia harus melihat bekalan air dari Malaysia itu dari aspek kemanusiaan. Sewajarnyalah sikap murah hati Malaysia membekalkan air kepadanya dibayar dengan harga yang setimpal sesuai dengan kos semasa, bukannya berdegil mempertahankan dan mengikuti apa yang tertera di dalam perjanjian yang ketinggalan zaman itu.

Sebenar dalam menyelesaikan isu ini, berapa harga yang ditawarkan oleh Singapura bukanlah perkara pokok tetapi yang ingin dilihat oleh Malaysia ialah keseriusan dan keikhlasan untuk menyelesaikannya.

Memutarbelitkan fakta bukan cara untuk menyelesaikan konflik ini, sebaliknya ia menunjukkan betapa "kiasu" dan tidak bersopan Singapura terhadap jiran-jirannya terutamanya Malaysia.

Dan sampai bila kita mahu diperlekehkan oleh negara yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat dan Israel ini?