Ketua UMNO bahagian Chenderoh, Datuk Mohd Nazri Aziz boleh dianggap sebagai hulubalang UMNO yang paling berani sekarang ini. Sudah dua kali beliau muncul dalam debat politik dengan pemimpin-pemimpin PAS. Satu tindakan yang tidak berani dilakukan oleh para pemimpinUMNO yang lain.

Beberapa bulan lalu Nazri yang juga Menteri Perusahaan Awam muncul di pentas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk berdebat dengan Naib-Ketua Pemuda PAS, Salahuddun Ayub.

Walaupun tiada siapa yang menang dan kalah dalam perdebatan mengenai penutupan sekolah agama rakyat itu, namun secara peribadi ia menjadi satu kemenangan moral yang besar bagi Nazri. Di kacamata ahli-ahli UMNO, Nazri adalah wira mereka.

Sekalipun beliau gagal memukau lebih 500 hadirin yang terdiri daripada khalayak pilihan dengan hujah-hujah yang bernas dan kuat, namun sekurang-kurangnya beliau membuktikan dirinya adalah " anak jantan " kerana berani berhadapan dengan pemimpin dan para penyokong PAS secara terbuka.

Pada minggu lalu sekali lagi beliau menyahut cabaran untuk berdebat dengan pemimpin muda PAS, Syed Azman Syed Nawawi, kali atas isu penutupan dua buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Terengganu.

Kali ini Nazri lebih berani, beliau turun ke kubu lawannya di Kuala Terengganu. Kalau dalam debat dengan Salahudin tempoh hari ia berlangsung di gelanggang berkecuali Kuala Lumpur kali ini Nazri pergi menyerahkan lehernya di negeri yang dikuasai oleh PAS.

Pemimpin UMNO Terengganu sendiri tidak berani mengambil risiko ini.

Faktor keselamatan

Bagaimanapun Nazri bernasib baik kerana debat itu dibatalkan atas perintah polis. Khabarnya di atas faktor keselamatan, debat itu tidak boleh diteruskan. Kira-kira 1, 000 orang sebahagian besarnya adalah penyokong PAS memenuhi Kompleks Seri Iman di Kuala Terengganu pada malam itu.

Difahamkan Nazri agak kecewa debat itu terpaksa dibatalkan kerana ia sangat penting bagi dirinya. Beliau menganggap debat serta majlis-majlis penerangan untuk menjelaskan sebab musabab kedua-dua MRSM itu ditutup adalah tanggungjawab peribadinya setelah UMNO Terengganu sendiri gagal menangani isu ini.

Oleh itu debat ini lebih merupakan agenda dan inisiatif peribadi Nazri. UMNO Terengganu khabarnya tidak merestuinya. Bagi para pemimpin UMNO Terengganu, MRSM itu adalah perkara kecil dan sudah lapuk, tidak perlu digembar-gemburkan lagi.

Malahan ada di kalangan pemimpin UMNO negeri yang menyalahkan Nazri di atas tindakan penutupan MRSM itu kerana beliau yang beria-ia mahu kedua-dua kolej itu ditutup.

Nazri sendiri mengakui beliau sendiri yang mahukan kedua-dua MRSM itu ditutup setelah kerajaan Terengganu mengarahkan premis kolej itu dikosongkan pada bulan Januari lalu. Malah sumber-sumber MARA sendiri mengesahkan, Nazri pernah menyuarakan hasrat mahu menutup kedua-dua MRSM itu sebaik sahaja PAS menang di Terengganu dalam pilihanraya umum 1999.

Bagaimanapun hasrat beliau itu ditentang oleh sebahagian besar pegawai kanan Mara yang tidak mahu MRSM dijadikan mangsa kegelojohan politik.

Beban lain

Pemimpin dan ahli UMNO Terengganu menganggap Nazri sebagai "pengacau" kerana menambah beban untuk mereka galas.

Bagi UMNO Terengganu, "bala" yang dibawa oleh isu royalti minyak, kes-kes penyelewengan dalam kerajaan UMNO yang lalu, penyelewengan dana PPRT serta kegiatan maksiat yang didakwa oleh Menteri Besar, Datuk Seri Hadi Awang yang dilindungi oleh polis sudah cukup berat untuk dipikul.

Oleh itu tidak perlulah Nazri menambah beban mereka dengan menimbulkan isu MRSM ini.

Oleh itu apabila debat itu dibatalkan, ia tidaklah mengejutkan ramai pihak. Malah ia telah dijangkakan lebih awal lagi kerana beberapa hari sebelum debat dilangsungkan, sudah ada desas-desus mengatakan UMNO Terrengganu mahu ia dibatalkan.

UMNO negeri tahu jika debat itu diteruskan, yang akan mendapat faedah dan keuntungan politiknya ialah Nazri dan PAS. Jika debat berlangsung dengan baik, PAS akan mendapat laba besar, lebih-lebih lagi jika Nazri gagal menyakinkan hadiri dengan hujah-hujah dan fakta-faktanya.

Kalau senario perdebatan itu memihak kepada Syed Azman, tentunya perkara ini akan menjadi isu besar di negeri penyu menangis itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

UMNO Terengganu tidak mahu ini berlaku, malah kalaupun Nazri "menang", ia juga merupakan satu tamparan kepada saf kepimpinan UMNO negeri kerana terpaksa mengimport orang luar untuk menangani isu itu.

Ini tentunya akan menyerlahkan lagi kelemahan dan kepincangan dalam UMNO Terengganu dan menjejaskan agenda " Gelombang Biru " yang sedang kuat diwar-warkan sekarang.

Pembawa masalah

Nazri kecewa dengan pembatalan debat ini kerana gagal membersihkan nama dan imejnya di negeri itu.

Beliau kini lebih dianggap sebagai pembawa masalah kepada UMNO Terengganu. PAS dan Syed Azman tetap untung walaupun debat dibatalkan, kerana pembatalan itu boleh digembar-gemburkan sebagai tindakan "pengecut" kerajan dan UMNO.

Pihak yang mengurut dada berasa sangat lega ekoran pembatalan program debat perdana itu ialah pemimpin UMNO Terengganu. Jika tidak mereka akan dianggap sebagai pengecut dan lemah kerana terpaksa bergantung pada "hero" UMNO dari Perak untuk menundukkan PAS Terengganu.

Walaupun apa pun, syabas kepada Nazri kerana berani berterus terang dan berhadapan dengan risiko walaupun tindakannya itu mungkin akan menjejaskan masa depan politiknya.