Tokoh Umno yang "ekstrim" dalam penentangannya terhadap PAS, Senator Datuk Zainuddin Maidin atau Zam mendedahkan parti yang sangat dimusuhinya itu akan mengemukakan dua manifesto dalam pilihanraya umum akan datang.

Zam "mengumumkan" PAS akan mempunyai manifesto khas untuk "empat negeri Melayu" Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Untuk peringkat Pusat pula, PAS akan mengemukakan satu manifesto yang berbeza.

Timbalan Menteri Penerangan ini nampaknya telah menjadi "jurucakap" PAS. Sepatutnya kita mendengar "pengumuman" itu dari mulut pemangku Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang atau setiausaha agungnya, Nasaruddin Mat Isa. Tetapi Zam telah mendahului mereka.

Terima kasih kepada Zam, sekurang-kurangnya para pengundi tidak akan terkejut lagi apabila manifesto sebenar PAS diumumkan menjelang pilihanraya umum tahun depan!

Tujuan Zam tidak lain dan tidak bukan untuk memperlekeh parti itu dan menonjolkan sikap hipokrit para pemimpinnya. Selain itu, beliau mahu mengingatkan rakyat terutama para pengundi bukan Islam atau bukan Melayu, supaya jangan terpedaya dengan janji-janji PAS.

Dan yang paling penting beliau berharap tindakan pro-aktifnya itu akan mendorong,PAS untuk membatalkan hasratnya untuk menggunakan strategi dua manifesto itu.

Walaupun suasana poliitik semasa banyak memberikan keselesaan kepada parti pemerintah namun Zam dan Umno serta Barisan Nasional (BN) masih bimbang taktik dua manifesto akan mengukuhkan kembali kerjasama antara parti-parti pembangkang dan mempengaruhi pengundi.

Rujuk semula

Para pemimpin Umno dan BN tahu strategi dua manifesto ini kemungkinan besar merapatkan kembali hubungan PAS dengan DAP yang telah retak itu. Mereka tidak mahu ini berlaku kerana gabungan Barisan Alternatif yang kuat sepertimana pada pada tahun 1999 boleh menggugat peluang BN untuk menang besar.

Kalau boleh, mereka mahu PAS terus berdegil dengan konsep negara Islamnya untuk seluruh Malaysia. Dengan cara ini mudahlah PAS dihentam dan dijauhkan dari pengundi bukan Islam dan diputuskan terus kerjasama dengan DAP.

Umno dan BN tidak mahu wujud sebarang persefahaman di antara PAS dan DAP. Mereka bimbang taktik "satu lawan satu" menjadi kenyataan sekiranya PAS dan DAP rujuk semula.

Paling penting persefahaman itu ia menggugat peluang Umno untuk menguasai semula Terengganu dan Kelantan serta mempertahankan Kedah. Isu negara Islam dan hudud menjadi perkara pokok di ketiga-tiga negeri tersebut kerana majoriti pengundinya orang Islam.

Dengan tidak menggugurkan tuntutan untuk menegakkan negara Islam dalam manifesto bagi "negeri-negeri Melayu", PAS mempunyai modal yang besar untuk menegakkan prinsip perjuangannya, sekurang-kurangnya di kawasan yang majoriti penduduknya orang Islam/orang Melayu.

PAS sedar jika tuntutan negara Islam yang diperjuangkannya selama ini digugurkan dalam kempennya di empat buah negeri itu, ia akan diperlekeh dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan oleh Umno.

Konsep negara Islam

Oleh itu, adalah tidak mengejutkan jika manifesto negara Islam dirangka di negeri-negeri berkenaan dan satu menifesto yang lebih "sekular" dibentuk bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat untuk negeri-negeri lain.

Jika PAS menggunakan taktik dua manifesto ini, ia bukanlah satu penipuan atau hipokrasi sebagaimana yang didakwa oleh Zam. Sebaliknya ia menunjukkan kematangan para pemimpinnya. Ia membuktikan PAS menyedari dan mengiktiraf hakikat politik pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Dalam politik pelbagai kaum, langkah menyediakan manifesto khas untuk "negeri-negeri Melayu/Islam" itu adalah suatu yang wajar, praktikal dan logik. PAS sedar tidak mungkin orang bukan Islam di negara ini akan menerima konsep negara Islamnya.

PAS juga sedar tuntutan negara Islam di dalam manifesto di peringkat Pusat akan menjejaskan hubungannya dengan DAP. Ia sedar kalau ia berdegil, peluang Barisan Alternatif (BA) di luar "negeri-negeri Melayu" akan terjejas.

Oleh itu, pucuk pimpinan PAS mungkin bertolak ansur, dengan menggugurkan tuntutan negara Islamnya dalam manifesto bersamanya sebagaimana pada tahun 1999. Dengan ini, DAP mungkin kembali ke pangkuan BA dan kerjasama politik dapat ditingkatkan. Pastinya kerjasama itu akan mencerahkan peluang calon pembangkang di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang.

Peluang kemenangan

Di dalam politik, tiada yang mustahil. Jika PAS mengemukakan dua atau manifesto khas untuk setiap negeripun, ia bukanlah perkara yang luar biasa. Perjuangan politik adalah suatu yang dinamik. Taktik dan strategi sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan semasa. Sebuah parti yang cerdik akan sentiasa meninjau peluang, isu dan taktik yang boleh memenangkannya.

Dalam politik juga tiada istilah hipokrit. Yang ada ialah strategi. Kalau PAS dianggap hipokrit kerana ia mengubah strateginya, maka Umno dan BN juga boleh dilabel hipokrit kerana sering mengubah isi manifesto dan taktiknya.

Malah sebahagian besar pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tengku Razaleigh Hamzah dan ramai lagi, boleh dianggap hipokrit kerana sering berubah pendirian dan kem.

Sebenarnya, dalam perjuangan politik, idealisme sudah tiada lagi, yang kekal hanya matlamat iaitu kuasa. Apa sahaja akan dilakukan oleh ahli politik bagi memperoleh dan mengekalkan kuasa.

Orang Umno amat arif tentang hakikat politik ini. Oleh itu Zam seharusnya meletakkan cermin besar di depan Umno sebelum menuduh mana-mana parti atau pemimpin pembangkang sebagai hipokrit.