Kita berpesta lagi. Pesta Merdeka. Saban tahun itulah yang kita lakukan dan kini tiba kali yang ke-46 Malaysia merdeka. Sambutannya setiap tahun penuh kemeriahan, penuh semangat, sarat dengan kibaran Jalur Gemilang di sana-sini dan Allahyarham Sudirman Haji Arshard "hidup semula" dengan lagunya, Tanggal 31 Ogos.

Begitulah kita, setiap tahun diajar mengenang kemerdekaan negara, diajak menghargai penat lelah para pejuang negara, ditiup semangat patriotik dan menghargai kemakmuran dan kamanan yang ada sekarang. Media massa terutamanya radio dan stesen televisyen tidak jemu-jemu meniupkan propaganda kemerdekan ini.

Hebat, hebat sekali dan tahun ini ternyata sambutan yang paling hebat. Tahun ini sambutannya luar biasa, buat pertama kalinya akan diadakan di Putrajaya. Mengapa kali ini ia begitu hebat, apa istimewanya jika dibandingkan dengan sambutan pada tahun-tahun yang lalu?

Tidak perlu menggaru kepala memikirkan jawapannya. Sambutan kemerdekaan kali ini secara tidak langsung dibuat seolah-olah majlis "Selamat Tinggal" untuk Perdana Menteri. Kebetulan ia disambut dua bulan sebelum Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya, maka acara sambutan kemerdekaan kali ini diisi dengan program-program mengenang jasa bakti beliau.

RTM - setiap hari sejak dua minggu lalu - menyelitkan slot mengenang Dr Mahathir dalam berita televisyennya. Rakyat Malaysia diajak mengimbau balik jatuh bangun pembangunan negara bersama Dr Mahathir. Selain itu, acara sambutan di Putrajaya nanti akan juga mempunyai program khas mengenai Dr Mahathir.

Rasional kepada semua program puji-puja terhadap Perdana Menteri Malaysia yang keempat ini ialah untuk menghargai jasa beliau sebagai bapa permodenan negara ini. Seolah-olah kerajaan Barisan Nasional ini terlalu takut rakyat melupakan siapa Dr Mahathir dan jasa baktinya selepas beliau bersara nanti.

Lebih bernasib baik

Sambutan tahun ini memang cukup luar biasa. Selama sebulan tidak henti-henti pelbagai karnival, pameran, program jelajah merdeka dengan basikal, motosikal, kayak, berjalan kaki, berkerusi roda, program-program bendera terpanjang dan terbesar, pesta puisi, konsert, pertandingan memancing dan yang terbaru, lumba kereta tahan lasak selama 12 jam - Merdeka Millennium Endurance.

Pesta merdeka di negara lain tidak mungkin sehebat dan selama seperti di negara kita yang tercinta ini. Malaysialah satu-satunya tempat di bumi ini yang sambutan kemerdekaannya sama meriah dengan sambutan Hari Raya atau Tahun Baru China. Bukan kerana penduduk negara lain kurang patriotik kalau dibandingkan dengan kita.

Rakyat negara lain juga teringin berbuat seperti kita, cuma mereka tidak mempunyai kesempatan untuk melakukannya. Bagaimana mereka mahu melakukannya kalau kemerdekaan yang mereka kecapi dipenuhi dengan perang saudara keganasan etnik dan kemelesetan ekonomi?

Alangkah malang saudara-saudara kita di Afghanistan. Berjuang bertahun-tahun mendapatkan kemerdekan tetapi apabila berjaya, mereka gagal mengisi hakikat kemerdekaan itu. Kebebasan dipenuhi dengan perang saudara, akhirnya kini mereka dijajah semula.

Begitu juga dengan rakan-rakan kita di Iraq. Mereka tidak pandai menghargai kedaulatan sendiri, lebih rela bersekongkol dengan kuasa asing untuk mengkhinati negara sendiri. Kini Iraq di bawah takluk Amerika dan kota seribu satu malam Baghdad dipenuhi 1001 mala petaka siang dan malam.

Berpandangan jauh

Di bumi Palestin, perjuangan menuntut sebuah negara merdeka tidak berkesudahan. Israel tidak juga

berundur, malah semakin hari semakin ganas. Umat Islam tidak mampu melakukan apa-apa. Kerana apa? Sebab sebahagian besar umat dan negara Islam masih "dijajah". Umat Islam tidak punya maruah diri, tiada kekuatan, tiada perpaduan, malah saling bersengketa dan iri hati.

Sebenarnya kita di Malaysia ini lebih bertuah, lebih bernasib baik daripada saudara dan rakan-rakan kita di negara lain kerana kemerdekaan yang dirintis oleh Tunku Abdul Rahman al-Haj itu diisi dengan pembangunan, kemajuan dan keamanan.

Terima kasih bapa Malaysia kerana membawa kemerdekaan negara dan membina asas perpaduan kaum. Syabas Tun Razak Hussein kerana merintis kemajuan negara dengan wawasan pembangunnnya dan tahniah Tun Hussein Onn yang berjaya mengekalkan keamanan dan kestabilan Malaysia. Terima kasih, syabas dan tahniah kepada Dr Mahathir kerana memodenkan negara dengan wawasan 2020nya.

Sewajarnyalah kita mengucapkan syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada para pemimpin negara yang berpandangan jauh itu. Jasa dan bakti mereka sama besarnya, tiada siapa boleh mendabik dada mendakwa "Malaysia maju kerana aku".

Oleh itu, sewajarnyalah sambutan ulang tahun kemerdekaan setahun sekali ini disambut dengan meriah

dan diserikan dengan pelbagai program yang menyedarkan rakyat terhadap harga sebuah kemerdekaan. Dalam keghairahan dan kegembiraan kita, anak-anak muda kita mesti diperingatkan bahawa kemerdekaan yang dikecapi sekarang bisa diragut andainya kita lalai.

Penjajahan bentuk baru tidak memerlukan masa dan pertumpahan darah untuk menjajah kita. Ia boleh

dilakukan dalam sekelip mata menerusi pelbagai dogma globalisasi, demokrasi dan hak asasi manusia. Dunia tanpa sempadan ini membolehkan ekonomi dan politik kita bertukar tangan ketika kita sedang asyik menonton Akademi Fantasia di ruang tamu kita.

Merdeka jasad ! Mereka jiwa! Merdeka minda!