Nik Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan, dikatakan 'kebingungan' berdepan dengan konsep kebudayaan dan kesenian dalam satu pertemuan dialog tahun lepas dengan sekumpulan kecil seniman dan budayawan yang selesa atau pro-pembangkang.

Sementara kerajaan PAS Terengganu pula dikatakan tidak pernah mempunyai peruntukan, dan juga dasar budaya, sejak mentadbir negeri itu mulai lewat 1999. Sehingga tahun ini (Mei), rungutan pegawai kerajaan dan penggiat seni di negeri itu tentang hal yang sama masih lagi jelas kedengaran.

"Kerajaan (negeri) boleh berbelanja untuk (pembangunan) itu dan ini, sedangkan (peruntukan) untuk kesenian dan kebudayaan langsung dilupakan," tulis Dinsman dalam Tamadun . "Ertinya alasan kerajaan (Terengganu) kekurangan dana, maka peruntukan kepada kesenian terpaksa 'di-zero-kan' itu tidak dapat mereka terima."

Barisan Alternatif dan Gerakan Reformasi umumnya, sama juga gerakan kepolitikan lain seperti parti kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO), tidak suka kehidupan berkesenian dan berkebudayaan seni dan budaya dalam erti popular, lazim dan 'dangkal'.

Seni dan budaya sebagai 'produk' popular dalam bentuk muzik, filem, teater, lukisan, ukiran atau puisi. Lebih senang, dalam ungkapan akademik, ia disebut budaya pop.

Sementara kelompok seniman dan budayawan sama ada muda, baru berjinak-jinak, popular, sudah bertapak atau dalam arus perdana pula tidak mahu dikaitkan sepenuhnya dengan hal-ehwal politik. Mereka hanya mahu mengisi slot hiburan atau "seni" kepada khalayak politik dan masyarakat.

Tulang belakang pembangkang

Mereka rela seni dan budaya yang ' politically correct ' dan ' sanitised ' seperti dibingkaikan oleh pihak berkuasa untuk mengukuhkan autoritarianisme sedia ada, bukan demokrasi dan mengangkat darjat kemanusiaan kita yang tercalar kini. Tetapi mereka ini sering pula bercakap soal kemanusiaan, jiwa yang manusiawi, maruah bangsa dan harga diri!

Maka, mudahlah pemetakan dua dunia ini, seni dan politik, berlaku tanpa sebarang komunikasi sebagaimana Nik Aziz tidak tahu memahami, apatah lagi menyelami, kehidupan berkesenian dan berkebudayaan itu. Boleh atau tidak boleh persembahan wayang kulit di negeri-negeri di bawah PAS datang daripada kekaburan Nik Aziz ini.

Sebab itu tiba-tiba kita mendengar beliau berhujah persembahan wayang kulit diperbolehkan (mengikut versi dan rundingan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka) jika ia tidak membawa hikayat Hindu, Mahabharata . Hikayat Hang Tuah tidak mengapa!

Kenapa tidak berhujah begitu awal-awal, kenapa perlu menunggu selepas lebih 10 tahun, selepas didesak dan ditekan oleh kumpulan penggiat persembahan ini (dengan sokongan kerajaan pusat)? Apakah ini hujah politik, hujah agama atau hujah seni?

Tetapi tidaklah kita mengatakan hanya PAS sebagai tulang belakang pembangkang tidak cakna soal-soal seumpama ini. Malah, semua kegiatan berpolitik tiada jiwa atau sumbangan nilai kesenian dan kebudayaan.

Parti-parti lain dalam gerakan pembangkang memang tidak pernah mempunyai wawasan seni yang jelas. Bahkan tanggapan seninya masih retorika atau konservatif. Misalnya, jawapan setiausaha agung PAS Nasharuddin Mat Isa dalam sesi soal-jawab di malaysiakini Jun lalu.

Janji Wan Azizah

Lihat ucapan Dr Wan Azizah Ismail ketika merasmikan parti baru, Parti Keadilan Rakyat, sebuah parti yang diharap lebih liberal, proreformasi sosial dan realistik.

"Kepada masyarakat kreatif dan budayawan, kita menjanjikan ruang dan kebebasan berkarya dan meluahkan jeritan hati nurani individu dan rakyat. Mereka melafazkan suara kemanusiaan, dan karya mereka adalah ibarat cermin bagi bangsa Malaysia melihat dirinya," katanya, dalam dua baris ayat ini sahaja. Leterannya terhadap kebobrokan Dr Mahathir atau Barisan Nasional jauh lebih panjang.

Teks ucapan ini disediakan antaranya oleh Khalid Jaafar, seorang pemikir yang berwawasan luas dalam hal-hal kebudayaan dan intelektualisme dan juga tulang belakang majalah kebudayaan Siasah , tetapi cara parti ini melontarkan idea itu jelas sekali sarat retorika memancing undi!

Ucapan Wan Azizah ini gaya biasa seorang ahli politik, sungguh laih, tiada gagasan sama sekali, tidak jauh bezanya persembahan teater pada majlis itu yang dibuat tanpa persediaan sungguh-sungguh, sekadar tempelan.

Ada beberapa nama yang boleh dikaitkan dengan seni, sastera dan budaya bersama Gerakan Reformasi dan Barisan Alternatif; antaranya, Hishamuddin Rais, penyair Dinsman, kartunis Zunar, pelakon Nasir Jani, penyanyi Ito, seniman negara Syed Ahmad Jamal dan juga sasterawan negara Shahnon Ahmad. Kelompok yang terbabit termasuklah beberapa anak muda bersama 'Universiti Bangsar Utama' (UBU).

Tumpang pengaruh

Tetapi semua mereka tidak terbabit memberikan arah dan tafsiran seni dalam konteks kehidupan bernegara dan berpolitik. Seniman dan budayawan ini yang mempersembahkan teater atau mendeklamasikan puisi bukanlah penentu arus utama gerakan itu.

Mereka hanya bertenggekkan pengaruh serta simpati daripada pembangkang. Mereka dikenali sebagai aktivis pembangkang; misalnya Hishamuddin ditahan mengikut akta ISA bukan kerana kepengarahannya, kefilemannya atau gerakan kebudayaannya tetapi demonstrasi, sejenis kerja yang sangat tinggi nilai politiknya.

Tidak jauh bezanya kedudukan Siti Nurhaliza atau kumpulan nasyid Raihan di pentas acara kerajaan atau Barisan Nasional sejenis kedudukan yang membuktikan lagi betapa 'hinanya' seniman dan budayawan di mata orang politik. 'Artis Dataran Merdeka' ini, sama sahaja nama-nama besar yang bergelumang bersama pembangkang, tujuannya untuk menghiburkan orang politik dan memanjangkan pengaruh puak masing-masing.

Tidak ubah peranan raja dangdut Indonesia, Rhoma Irama, ketika melompat daripada berkempen untuk parti PPP pada 1980-an kepada parti kerajaan, Golkar pada 1990-an! Seniman dan budayawan kita walau segelintir nama yang disebut tadi sudah berani mengkritik kerajaan bukan Iwan Fals, Rendra, Wiji Thukul atau Pramoedya Ananta Toer.

Seniman dan budayawan kita, jauh berbeza daripada rakan-rakan karyawan Indonesia, suka bermanja-manja dan melutut di kaki kuasa, mengapa? (Lihat buku yang baik mengupas hubungan seni budaya dan politik di republik itu dalam 'Media, Culture and Politics in Indonesia ')

Sebab itu, persoalan-persoalan seperti seni sebagai luahan politik, sebagai gerakan counter-hegemony , kedudukan serta peranan seniman-budayawan sebagai intelektual awam, dan kedudukan serta peranan seni dalam wawasan pembangunan politik parti masing-masing, juga kedudukan serta peranan seni dalam kehidupan berbangsa dan bernegara menjadi misteri awam di negara kita.

Ketiga-tiga tokoh besar bersama pembangkang Shahnon, Dinsman dan Hishamuddin lebih seronok menghentam Dr Mahathir daripada memandu arah intelek dalam bidang kesenian, kesusasteraan dan kebudayaan.

Karya remeh

Tidak cukup dengan Shit , Shahnon menulis lagi karya-karya remeh seumpamanya selepas itu. Begitu juga puisi Dinsman dan tulisan Hishamuddin. Bagaimana mungkin orang ramai tidak menganggap mereka ahli politik (atau alat?) pembangkang, bukannya seniman?

Perbualan saya dengan seniman, sasterawan dan budayawan sama ada tua atau muda di luar lingkungan pembangkang, apatah lagi yang sedang bergelumang dengan arus perdana, jauh lebih merosot. Mereka tidak mempunyai wawasan seni, tidak tahu meletak peranan sendiri dalam krisis politik mutakhir dan berkongsi rasa takut yang tidak masuk akal.

Mungkin inilah yang cuba dirumuskan oleh Nur Hanim M Khairuddin: "Bangsa seniman kini mengalami satu periode yang sangat menggusarkan bila mana hampir tiada penjanaan discourse (wacana) yang sihat dan mantap, yang boleh menyokong dan mengangkat pengkaryaan mereka."

Tambahnya, " seniman berasa selesa hidup dalam konteks 'keluarga' mereka sahaja, sendiri-sendiri menganggap mereka golongan elitis, merasakan diri sangat istimewa dan gifted dan berkarya untuk kepuasan nafsu berseni semata-mata, tanpa mengambil endah peranan besar seni itu sendiri dalam membina masyarakat yang ideal."

Penyakit ini tidak diwarisi oleh kelompok wartawan misalnya. Kumpulan wartawan arus perdana tidak seperti sasterawan dan seniman kita menyuarakan rasa tidak berpuas hati kepada kerajaan pada 1999 dan 2000.

Wujud pula kajian, ulasan sistematik, kempen dan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) daripada kumpulan-kumpulan kecil wartawan bukan arus perdana mengenai pencabulan dan beberapa aspek peraturan yang perlu dikaji untuk membentuk sedikit sebanyak 'ruang kebebasan akhbar'.

Seni sangat ke seniman, budayawan dan sasterawan kita sehingga hal-hal aktivisme politik seni dan arah tuju seni dalam konteks bangsa tidak boleh dirumus dan diperjuangkan? Kenapa tidak berlaku hal seumpama ini di Indonesia, jiran kita yang 'berjaya' dengan reformasinya?


Rujukan

Dinsman (2003) 'PAS ambil tindakan serius terhadap seni', dalam Tamadun , Mei

Nur Hanim M Khairuddin (2003) 'Pendahuluan' dalam Persoalan Seni Rupa Sezaman? , Ipoh: Yayasan Kesenian Perak

Sen, Krishna dan Hill, David (2000) Media, Culture and Politics in Indonesia , Melbourne: Oxford University Press