Aku masih teringat lagi, bagitu jelas, Laut Tengah dan kota Beirut pada tahun 1975. Masih dapat aku dengari ledakan mortar dan rentetetan klanshinkov. Bunyi hingar-bingar, hiruk-piruk perang masih berdengung dalam kepala. Wajah Phantom Isreal yang menceroboh ruang udara Lebanon masih jelas dalam ingatan.

Rasanya seperti semalam aku mengambil pesawat MEA (Middle East Airline) yang membawa aku ke Baghdad. Aku meninggalkan kota Beirut yang indah - kota pertembungan dua budaya-Eropah dan Arab - ini bukan kerana aku melarikan diri dari perang, aku telah dimandatkan untuk membawa jemputan rasmi dari ASA (Asian Students Association) kepada pelajar Timur Tengah. ASA ingin melamar semua kesatuan kebangsaan pelajar Timur Tengah untuk menjadi ahli gabungan kesatuan pelajar ASA ini. Ini tugas aku.

Baghdad, semenjak aku di bangku sekolah lagi telah berligar dalam mimpi, khayalan dan harapan. Anak sekolah mana yang tidak berkhayal dengan Hikayat Seribu Satu Malam. Siapa yang tidak mengenali dan bersimpati dengan Shareezat, gadis yang akan dipenggal kepalanya.

Atau tidak terdengar nama Abu Nawas 'tukang lawak' untuk Khalifah Harun Aminul-Rasheed. Ini ditambah pula dengan wayang Holywood The Thief of Baghdad dan watak-watak Sinbad dan Alaadin yang aku tonton pada tahun 50-an di panggung Ruby Theater, Kuala Klawang.

Surahnya bagini: Pada tahun 1972 aku telah berkenal baik dengan konsular Iraq di Kuala Lumpur, Tarik Shalal. Aku diperkenalkan dengan Tarik oleh Abu Yaacob, wakil tidak rasmi dari pertubuhan Palestin, Al-Fateh.

Perhubungan kami bertiga agak intim, malah semasa menjadi 'orang yang dikehendaki', aku telah menginap di rumah Tarik (pasti tempat yang paling selamat) - mungkin di Setapak - aku tidak lagi pasti (ia berlaku hampir 30 tahun dahulu. Kawasan ini telah aku cuba cari semula tetapi tidak lagi aku temui).

Dawai berduri

Dari sinilah bermulanya cinta aku terhadap Baghdad dan Iraq. Apabila Iraq di serang kali pertama pada tahun 1992, aku sedang berada dalam kapal menyeberang Selat Inggeris dari Ostend ke Dover. Dan apabila Iraq diserang kali kedua, aku berada dalam kem tahanan Kamunting.

Banyak perkara yang menjalar dan berselirat dalam kepala aku apabila aku melihat suasana perang yang sedang dikonstruk oleh kuasa imperial Anglo-Amerika. Sayang sekali ketika itu tidak ada satu pun yang dapat aku suarakan. Aku tidak dapat menyertai solidariti gerakan anti-perang atau mengeluarkan satu apa pun pandangan.

Di belakang dawai-dawai berduri Kamunting, aku merasa bagitu kecewa sekali. Kenapa tidak? Iraq adalah negara angkat aku, seperti Belgium dan United Kingdom:

Orang berbudi kita berbahasa

Orang memberi kita merasa

Nan kurik ialah kundi

Nan merah ialah sago

Yang baik ialah budi

Yang indah ialah bahaso

Bila pesawat MEA itu merendah ke kota Baghdad, aku melihat kelipan lampu-lampu seperti kelipan lampu ajaib Aladin. Di lapangan terbang (lama) aku telah disambut oleh seorang anak mahasiswa yang dihantar oleh NUIS (National Union of Iraqi Students) menyambut ketibaanku.

Faris, nama anak mahasiswa ini, tinggi dan kurus (mengingati aku kepada Adi Satria Penolong Setiausaha PMUM yang pada ketika itu sedang ditahan di bawah ISA di Kamunting).

Ahlan wasahlan - ini saja yang aku dengari. Tidak banyak yang kami labunkan. Aku tidak fasih berbahasa Arab dan Faris tidak memiliki tatabahasa Inggeris yang cukup untuk kami berlabun panjang. Kami hanya ketawa dan tersenyum - bahasa Esparanto - untuk setiap insan yang baru berkenalan.

Seribu Satu Malam

Lalu aku dibawa menginap ke Pondok Al-Meena di Al-Rasheed Street. Ah! bagitu romantik sekali, pasti di lorong ini, ratusan tahun dahulu Harun Al-Rasheed dengan berjubah, menyamar seperti seorang 'falah' untuk mengetahui kehidupan warga kota Baghdad. Atau mungkin juga dijalan ini Abu Nawas sesudah meminum secangkir arak akan meleser sambil bersyair untuk mencari seorang kekasih untuk ditiduri.

Aku tidak dapat memejamkan mata malam itu - bukan kerana suhu tetapi kerana aku memikirkan akhirnya sampai juga ke tempat yang ingin aku tujui. Di Kuala Lumpur, semasa aku menjadi 'orang yang dikhendaki', kota Baghdad telah menjadi negara 'target' yang akan mungkin membenarkan aku berlindung daripada ancaman kuku besi pemerintah Malaysia.

Pembantu hotel datang - seorang anak muda Kristian bernama George. Bahasa Inggerisnya agak baik. Dia bertanyakan sama ada aku memerlukan sesuatu. Lalu aku memesan minuman. Nah! di hadapan aku George mendudukkan Shareezat (gadis Seribu Satu Malam).

Lalu ingatan aku berligar ke Shareezat seorang anak mami dari Kolej Kelima Universiti Malaya yang telah aku tinggalkan pada malam 8 Disember 1974. Shareezat atau Ijat, anak mami ini cukup bergetah dan amat diminati ramai jantan dari dalam dan luar Kolej Kelima.

Jadi apabila George membuka Shareezat dan menuangkan bira ini ke dalam cangkir, aku tersenyum. Aku mengangkat cangkir dan bersalut untuk menghormati tamadun Arab yang telah menghadiahkan kepada dunia Algebra dan Alkohol. Pada malam pertama di kota Baghdad, aku meniduri diri aku dengan Shareezat.

Esoknya, aku akan memulakan apa yang telah diwajibkan kepada aku. Sebuah kereta Fiat telah datang menjemput aku untuk ke Maktab Al-Talabi al-Iraqi (pejabat NUIS). Sekretariat ini tidak berapa jauh dari Universiti Baghdad. Di wilayah ini terdapat juga universiti sukan dan Sekolah Seni Halus dan Tampak. Ertinya pejabat gerakan pelajar ini didalam wilayah ilmu.

Sungai Dajlah

Pertemuan dengan Mudher yang menjaga hubungan antarabangsa gagal berjalan rancak kerana diganggu bahasa. Ini diselamatkan apabila Mohamad Zam Zam seorang anak mahasiswa Palestin daripada jabatan sastera Inggeris Universiti Baghdad datang menjadi juru penterjemah. Melalui Mohamad Zam Zam, apa yang wajib aku sampaikan, telah aku sampaikan. Jemputan ke persidangan tahunan ASA (1975) di Chiangmai, Thailand telah aku ajukan.

Petang itu aku diraikan dengan jamuan tengahari bersama seorang pimpinan pelajar dari Morocco dan seorang pemimpin GUPS (General Union of Palestine Students) - Edward Zananiri. Eddy telah aku temui lebih awal di Beirut, malah Eddylah yang telah mengusahakan agar aku mendapat visa lawatan ke Baghdad.

Para pimpinan NUIS telah dimaklum lebih awal lagi oleh Eddy tentang ketibaanku. Semasa makan tengah hari itu, aku diberitahu secara berseloroh, jika suasana politik di Malaysia masih mengancam aku, maka aku boleh terus tinggal di Iraq. Jawapan aku hanyalah ' shukran jazilan' - ayat awal yang telah aku pelajari sebelum sampai ke Baghdad.

Kota Baghdad terletak di tebing sungai Dajlah (Tigris) dan hotel aku tidak berapa jauh dari tebing sungai ini. Istana rasmi President Ahmad Hassan Al-Bakar terletak di seberang sungai berhampiran Jambatan Merdeka.

Bagi aku, kota Baghdad begitu romantik sekali. Sebuah kota budaya dan kota tamadun Arab. Kota intelektual yang melahirkan ahli falsafah, penyair, seniman, pemikir ilmu dan pengukir. Kota Maljianah, gadis yang menyelamatkan Ali Baba dengan minyak panasnya.

Jalan Al Rasheed akan bermula/berakhir di Dataran Pembebasan. Di sini terdiri dinding arca yang berukiran moden yang memperlihatkan sejarah perjuangan rakyat Iraq. Dari dataran ini, bermula pula Lebuh Abu Nawas dan Jalan Al-Saadun yang menghala ke Selatan kota Baghdad.

Syair Abu Nawas

Lebuh Abu Nawas menyisiri tebing Dajlah dengan kafe dan kasino yang di kelilingi taman bunga. Di akhir lebuh ini tersergam patung Abu Nawas yang besarnya lima kali ganda lebih daripada ukuran tubuh manusia. Abu Nawas senyum tersandar mereng di kerusi sambil tangannya sedang memegang sebuah cangkir.

Tidak ada manusia Arab hari ini yang tidak mengenali Abu Nawas. Dia menjadi sahabat karib dan penasihat Khalifah Harun Aminul-Rasheed (786-808) dan kerana setiakawan itulah, dua jalan ini dipertemukan- bagitu romantik sekali.

Khalifah Al-Rasheed ini adalah insan yang cukup toleran dan cintakan ilmu. Baginda bukan saja menerima seorang Kristian sebagai penasihat, malah menerima Abu Nawas - seorang homoseksual. Syair dan sajak klasik Abu Nawas terus dihafal hingga ke hari ini dan dikaji dari sekolah menengah hingga ke universiti.

Ah! Aku bagitu dahaga... datanglah segera dan bawa secangkir air anggur dan jika aku cinta pada anak muda itu kenapa aku rahsiakan namanya (Abu Nawas 760-816).

Di Kamunting, aku melihat kota Baghdad dimusnahkan untuk kali ketiga. Kali pertama pada tahun 1228 - kota ini dimusnahkan oleh kaum keluarga Genghiz Khan, Kublai Khan dan Hulagu yang datang dari Mongolia. Pada tahun 1992 dan 2002, datang pula keluarga Bush dari Amerika Syarikat dengan tujuan yang sama.

Dari kaca TV di belakang dawai dan tembok yang berduri, aku terlihat potongan imej kota Baghdad dimusnahkan. Banyak jalan dan wilayah yang menjadi medan tempur, telah pernah aku lalui. Ada di antara jambatan yang runtuh itu telah pernah aku lintasi.

Sekuntum senyuman

Malah aku pernah merehatkan diri di Masjid Adhamiah yang akhirnya dibedil oleh tentera Anglo-Amerika. Tidak ada apa yang dapat aku lakukan, hanya ingatan bertukar ganti. Tangan aku gagal untuk menulis sebait syair atau serangkap pantun untuk mengingati kota Baghdad.

Hanya ingatan merayau liar dan aku terus bertanya. Apa terjadi kepada kawan-kawan aku di kota itu. Apakah rumah mereka runtuh. Apakah anak isteri mereka selamat. Dan George, anak Kristian yang aku temui di Pondok Al-Meena, sudahkah dia menamatkan tugasnya sebagai seorang soldadu.

Dan apakah yang terjadi kepada tugu Abu Nawas - apakah telah terkena sasaran ledakan bom. Atau Abu Nawas masih memegang cangkir air anggurnya dan melihat anak-anak muda yang terus berligar di tebing Dajlah untuk mencari kekasih.

Iraq memiliki satu pepatah yang telah disurahkan oleh Muhamad Zam Zam kepada aku: Sesiapa yang telah meminumi air Dajlah pasti terkenang kota Baghdad dan pasti akan datang kembali ke Baghdad. Dan hari ini aku masih terkenang lorong-lorong Seribu Satu Malam, Shareezat dan Freeda, Mosul dan Karbala.

Dan yang tidak mungkin aku lupakan ialah senyuman anak gadis yang saban petang membuka tingkapnya untuk melihat aku melintas di hadapan perkarangan rumahnya.


Tulisan adalah sebahagian dari memoir Hishamuddin Rais, 'Oleh Isham Rais', yang sedang diisusun untuk diterbitkan.