Bahang pilihanraya umum semakin panas walaupun ia tidak mungkin diadakan dalam tempoh sebulan dua ini. Senario politik semasa yang menyaksikan media propaganda kerajaan saban hari memburuk-burukkan PAS dan mengangkat-angkat jasa bakti Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad serta kejayaan negara jelas menunjukkan kepimpinan Barisan Nasional sedang mencongak tarikh paling sesuai untuk membubarkan parlimen.

Lidah propaganda kerajaan, RTM hampir setiap hari menyusun agenda memburuk-burukkan PAS dan kepimpinannya. Jika tiada isu yang dicetuskan oleh para pemimpin Umno terhadap PAS, RTM secara sendiri akan mencipta isu untuk menghentam parti pembangkang itu.

Teraju politik di RTM tidak pernah kekeringan idea untuk membesar-besarkan isu-isu berkaitan dengan PAS, umpamanya isu membenarkan suami meliwat isteri, syaitan bisu, bekalan air kotor di Kelantan dan manifesto pilihanraya umum parti itu.

Rakyat disogok dengan istilah-istilah negara Islam ala-PAS, hukum hudud ala-PAS dan sebagainya oleh strategis Umno yang diletakkan di RTM. Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang nampaknya menjadi sasaran utama dalam kempen jentera propaganda Barisan Nasional itu.

Tidak cukup dengan itu, kempen menjulang Perdana Menteri Malaysia yang akan bersara, Dr.Mahathir dilakukan seiring dengan propaganda buruk terhadap PAS itu. Sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-46 telah dieksploitasi secara halus untuk mengangung-agungkan Wira Dunia Ketiga .

Sekali lagi RTM memainkan peranannya. Kita disogok dengan slot-slot mengenang perjuangan dan jasa Dr Mahathir setiap hari. Sampai bila mesti penonton dipaksa menerima program-program yang memualkan ini? Sehingga akhir Oktober depan..jawapannya hanya ada pada minda Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin.

Belanjawan pilihanraya

Semua propaganda ini menjurus kepada pilihanraya umum. Bahangnya mungkin makin dirasakan selepas pembentangan Bajet 2004 Jumaat ini. Bajet terakhir Dr Mahathir ini dijangka akan menjadi satu belanjawan pilihanraya, penuh dengan insentif dan "gula-gula" untuk memenangi hati rakyat khususnya kakitangan awam.

Dr Mahathir mungkin bermurah hati memberikan "hadiah selamat tinggal" yang akan mengembirakan semua pihak. Kakitangan awam tentunya tertunggu-tunggu pengumuman bonus, kenaikan gaji dan tambahan elaun manakala rakyat di luar sektor awam mengharapkan potongan cukai pendapatan dan pelbagai cukai lain serta kemudahan-kemudahan awam lain yang memberi kesan terus kepada kehidupan mereka.

Sektor swasta pula seperti biasa mahukan potongan cukai korporat, taraf perintis dan pelbagai insentif dan rebat cukai lagi. Harapan rakyat terlalu besar. Mampukan Dr Mahathir memuaskan hati semua pihak?

Dan yang paling penting dapatkah belanjawan pililihanraya itu mendatangkan kemenangan besar yang gemilang kepada Barisan Nasional? Akan tersungkurkah PAS di Kelantan dan Terengganu oleh penangan propaganda RTM dan belanjawan pilihanraya itu?

Keghairahan pucuk pimpinan BN melawat Kelantan dan Terengganu kebelakangan ini turut membayangkan bahawa pilihanraya umum semakin hampir. Dr Mahathir akan menghadiri perasmian jambatan baru di Tedong, Pasir Mas, Kelantan pertengahan bulan ini manakala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melancarkan kempen Gelombang Biru yang keempat di Dungun.

Sementara itu lawatan Pengerusi BN ke Sabah dan Kedah baru sahaja selesai. Sesi "pemimpin bersama rakyat" ini sarat dengan agenda politik dan diberikan liputan meluas oleh media massa arus perdana.

Semua ini adalah satu bentuk kempen yang berterusan. BN sebenarnya sudah lama bersedia.

Apabila Parlimen dibubarkan nanti dan Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan tempoh seminggu untuk berkempen, BN tidak perlu lagi berkempen bermatian-matian. Tempoh seminggu itu nanti akan digunakan untuk memperkenalkan calon kepada para pengundi sahaja.

Modal berkempen

Tetapi bila agaknya Parlimen akan dibubarkan? Sukar sekali untuk menekanya. Para Pak nujum politik juga kebingungan. Tetapi ada beberapa pemerhati politik yang berani meramalkan ia mungkin diadakan selepas sidang kemuncak Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam OIC.

Rasional mereka ialah Barisan Nasional mahu mengeksploitasi suasana positif yang ditinggalkan oleh persidangan itu sebagai modal berkempen. Menurut mereka, jentera propaganda kerajaan akan mewar-warkan kenyataan-kenyataan para ketua negara Islam yang memuji-muji Malaysia sebagai negara Islam contoh bagi menyerang negara Islam ala-PAS.

Mereka akan berhujah, kejayaan Malaysia menganjurkan persidangan itu dan terpilih sebagai Pengerusi OIC dilihat sebagai satu kelebihan besar kepada BN dalam memenangi hati rakyat khusus, para pengundi muda.

Memandangkan PAS menjadi saingan utama BN/Umno dalam pilihanraya umum nanti, isu yang berkaitan dengan agama, seperti kejayaan persidangan OIC, dirasakan sesuai dan mampu untuk mematahkan hujah-hujah PAS.

Pemerhati politik berkenaan berkata, taktik mengeksploitasi suasana dan imej positif dari persidangan antarabangsa, sudah pernah digunakan oleh BN satu ketika dulu. Parlimen telah dibubarkan sebaik sahaja tamat Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM) pada 1990. Selepas sidang kemuncak itu, imej Malaysia dan Dr Mahathir melambung naik. BN memperolehi kemenangan besar dalam pilihanraya itu.

Oleh itu, berdasarkan pengalaman CHOGM, tidak mustahil kalau selepas selesai sidang OIC nanti dan sebaik sahaja Dr Mahathir bersara, Parlimen akan dibubarkan.

Itu semua adalah ramalan dan andaian. Terpulang kepada Perdana Menteri Malaysia yang baru untuk menentukannya. Cukup jantankah Pak Lah untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja merasai kerusi empuk di Putrajaya itu?